Lebih 200,000 Tempah Tiket AirAsia Ke Langkawi

   Foto Sumber:  Lembaga Pembangunan Langkawi

Syarikat penerbangan AirAsia menerima lebih 200,000 tempahan tiket ke Langkawi menerusi inisiatif gelembung pelancongan ke pusat percutian itu sekali gus membuktikan orang ramai kini bersedia melakukan perjalanan pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata, pada hari pertama pembukaan tempahan ke Langkawi, AirAsia merekodkan jualan 30,000 tiket penerbangan, menunjukkan orang ramai ingin kembali melakukan perjalanan pelancongan dan sentiasa memilih penerbangan sebagai kaedah pengangkutan pilihan.

Riad Asmat berkata gelembung pelancongan ke Langkawi juga, katanya dijangka dapat memberikan keputusan positif serta memberikan peluang lebih banyak destinasi dijadikan sebagai gelembung pelancongan.

"Orang ramai masih mahu melakukan perjalanan udara. Ia satu keperluan perjalanan yang sangat diharapkan oleh semua pihak.

"AirAsia sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik dan keselamatan adalah agenda utama kami," katanya pada sidang media pelancaran penerbangan AirAsia ke Langkawi secara maya pada 14 September 2021/Selasa.

Riad berkata, sebagai permulaan, AirAsia Malaysia akan memulakan semula penerbangan Langkawi dengan keseluruhan 90 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali seminggu), Ipoh (tiga kali seminggu) dan Kota Bharu (tiga kali seminggu).

Beliau berkata, lebih banyak laluan dan kekerapan penerbangan akan ditambah dengan permintaan perjalanan yang meningkat sejajar dengan pembukaan semula destinasi percutian lain tidak lama lagi.

Katanya, kumpulan melihat peningkatan jualan tiket ke Langkawi, terutama dengan tambang rendah RM12 dan kombo SNAP bernilai RM99 oleh AirAsia.

Ini, katanya jelas menunjukkan permintaan perjalanan tinggi dan AirAsia komited menyokong kerajaan, Tourism Malaysia,Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta semua peserta industri pelancongan untuk menjayakan program ini dengan menawarkan lebih daripada 90 penerbangan mingguan ke Langkawi.

"Dari segi operasi, kami melaksanakan langkah kesihatan dan keselamatan secara meluas dan komprehensif untuk memastikan tetamu dan kakitangan kami terbang dengan selamat.

"Sistem daftar masuk kendiri melalui airasia Super App adalah inovasi terbaharu yang mengintegrasikan data daripada penyedia perkhidmatan kesihatan yang diperakui untuk mengesahkan kelayakan perjalanan berdasarkan sijil ujian dan atau sijil vaksinasi mereka," katanya.

BH Online pada 14 September 2021/Selasa melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata tempahan purata hotel di Langkawi sudah mencapai 50 peratus daripada keseluruhan bilik bagi hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Beliau berkata, tempahan yang tinggi bagi hotel empat dan lima bintang ini berdasarkan kepada tawaran yang menarik diberikan kepada pengunjung dan keyakinan mengenai pematuhan SOP.

"Semua pihak mengambil peluang tawaran yang disediakan hotel bertaraf empat dan lima bintang ini. Pelbagai inisiatif disediakan seperti harga bilik yang murah dan pakej menyeluruh yang berbaloi.

"Bagi hotel bertaraf tiga bintang ke bawah pula, kadar tempahan masih rendah sekitar 20 hingga 30 peratus," katanya.

Nasaruddin berkata, inisiatif AirAsia untuk membuka laluan baharu turut akan membantu meningkatkan potensi Langkawi sebagai destinasi pulau utama di kalangan pelancong domestik.

Beliau berkata, LADA berharap ketibaan pelancong akan membantu memacu ekonomi selain memastikan Langkawi kekal sebagai tempat percutian terkemuka bagi pelancong di seluruh dunia.

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...