Foto: HSBC
BISNES | HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC) berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama dan akan memperluaskan operasi perbankan digitalnya serta mengurangkan cawangan seiring dengan perkembangan terbaharu perkhidmatan kewangan dan perbankan.
Menjalankan operasi di Malaysia sejak 1884, transformasi itu melibatkan pelaburan dalam kemampuan digitalnya dengan membuat perubahan kepada teknologi dan cawangan untuk memenuhi harapan pelanggan dan kaedah yang lebih digemari mereka untuk berniaga dengan lebih baik.
"HSBC kini fokus dalam pelaburan untuk mengubah untuk masa depan perbankan melalui pendigitalan dan sebagai sebahagian daripada transformasi ini, sebanyak 13 cawangan bank kami akan ditutup pada 31 Disember, 2021.
“Pelanggan dapat terus melakukan urus niaga perbankan mereka melalui cawangan terdekat, mesin juruwang automatik (ATM), perbankan telefon atau platform perbankan digital kami seperti aplikasi perbankan HSBC Malaysia atau perbankan dalam talian HSBC.
"Kami ingin mengulangi komitmen berterusan terhadap perniagaan HSBC di Malaysia dan mengubah masa depan perbankan," kata HSBC lapor Agensi Berita Bernama pada 15 Jun 2021.
Kumpulan HSBC menekankan bahawa cerminan komitmen itu merangkumi pelaburan US$250 juta HSBC Malaysia di ibu pejabat baharunya di Malaysia, iaitu di hab kewangan TRX.
Kumpulan itu juga telah melakukan pelaburan sebanyak US$40 juta dari tahun 2021 hingga 2023 untuk melengkapkan cawangannya dengan keupayaan digital yang dipertingkatkan dan teknologi baharu.
Ia adalah tambahan kepada US$18 juta yang dilaburkan dari tahun 2018 hingga 2020 untuk membolehkan bank itu mengembangkan format cawangan yang inovatif dan menggunakan cara baharu dalam memberi perkhidmatan pelanggan serta menyokong perjalanan kewangan mereka.
Komitmen itu melibatkan penciptaan lebih daripada 200 peranan baharu untuk menyesuaikan diri dengan landskap perbankan yang terus berkembang dan menempatkan kakitangan HSBC ke dalam peranan baharu ini dengan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan bagi menyesuaikan diri dengan trend perbankan pengguna ketika ini dan pada masa depan, katanya.
"Kami mempunyai sejarah panjang lebih daripada 130 tahun di Malaysia dan merancang untuk terus berkhidmat kepada pelanggan kami dan membuat pelaburan untuk para pekerja, rangkaian dan perniagaan,” katanya.
Sebelum ini Astro Awani pada 6 Jun 2021 melaporkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyelar tindakan pemberhentian pekerja oleh HSBC Bank Malaysia (HSBC).
Ia selepas syarikat bank antarabangsa itu mengumumkan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS) pada 3 Jun lalu, kali ketiga dalam tempoh enam tahun.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata HSBC yang terus merekodkan keuntungan, tidak sewajarnya melaksanakan VSS dan MSS yang dijangka melibatkan sekitar 600 pekerja daripada kumpulan B40 dan M40.
NUBE pada masa sama menyifatkan HSBC bertindak bertentangan dengan norma dalam melakukan pemberhentian pekerja serta bertentangan dengan Perjanjian Kolektif yang mengikat HSBC dan NUBE.
Malah, HSBC juga disifatkan tidak telus dan tidak menghiraukan keperluan rundingan ikhlas diadakan bersama NUBE sehingga keputusan bersama yang muktamad dicapai.
Dalam pada itu BH Online pada 5 Mac 2021 melaporkan HSBC mengukuhkan lagi komitmennya mengembangkan perniagaannya di Malaysia dengan tumpuan melabur dalam pembangunan teknologi digital untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia sebahagian komitmen yang dizahirkan oleh gergasi perbankan terbesar Eropah itu untuk melabur sehingga AS$6 bilion dalam usaha mengukuhkan operasinya di Asia.
Ketua Negara Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill, berkata pandemik COVID-19 banyak mengubah kebiasaan perbankan tradisional selama ini untuk menuju ke arah pendigitalan.
Lantaran itu, beliau berkata, HSBC akan menumpukan kepada pembangunan teknologi digital termasuk pengurusan data besar bagi memastikan kumpulan dapat terus memberikan pekhidmatan kepada pelanggan.
Sumber: 1. Bernama / 15 JUN 2021
2. Astro Awani/ 6 Jun 2021
3. BHOnline / 5 Mac 2021