Jangkitan COVID-19 Melonjak 50 Peratus Di Jakarta, Sekatan Lebih Ketat


  Foto Sumber: Pexels/ 

Socrates Bangun

GLOBAL | Ibu negara Indonesia mungkin kembali mengenakan sekatan lebih ketat selepas kes jangkitan COVID-19 melonjak 50 peratus pada minggu lalu, kata Gabenor Jakarta.

 Anies Baswedan dalam kenyataan media berkata tindakan itu tidak dapat dielakkan kerana sebahagian besarnya berpunca daripada penularan varian Delta yang pantas merebak dan lebih mudarat kesannya.

Katanya kes aktif di Jakarta saja menokok kepada 17,400 pada 13 Jun berbanding 11,500 kes pada 6 Jun lalu.

"Ibu negara memerlukan perhatian tambahan, sekiranya keadaan sekarang tidak terkawal, kita akan memasuki fasa kecemasan.

"Jika ia berlaku, kita harus mengambil langkah drastik seperti yang pernah kita lakukan pada September dan Februari. Kita tidak mahu ia berlaku lagi," katanya.

Bagi mengatasi situasi itu beliau menggesa penduduk mematuhi protokol kesihatan bagi mengelak dikuatkuasakan sekatan penjarakan sosial yang ketat sekali lagi.

Katanya, menerusi ujian saringan yang dilakukan, kadar jangkitan di Jakarta meningkat kepada 17 peratus pada 13 Jun, berbanding sembilan peratus pada minggu lalu.

Jelas Baswedan, kadar saringan di Jakarta meningkat lapan kali ganda melangkaui saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengesyorkan kadar lima peratus ujian sudah memadai.

Varian Delta pertama kali dikesan di India dan mula mendominasi kes di bandar utama sehingga menyebabkan krisis kesihatan terburuk di negara itu.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, mengesahkan kes jangkitan COVID-19 meningkat di Jakarta, Kudus (Jawa Tengah) dan Bangkalan (Jawa Timur), semuanya berpunca daripada varian Delta berdasarkan ujian penjujukan genom.

Kadar penggunaan katil di wad pengasingan dekat Jakarta yang dikhaskan untuk merawat pesakit COVID-19 turut meningkat kepada 75 peratus setakat kelmarin, berbanding 45 peratus seminggu lalu.

Bagaimanapun, nisbah seorang daripada empat pesakit COVID-19 di Jakarta datang dari luar bandar berkenaan.

Ketika ini, pihak berkuasa Indonesia membenarkan pelanggan makan di premis makanan dengan kapasiti terhad manakala separuh kakitangan bukan dikategori sebagai perkhidmatan perlu dikehendaki bekerja dari rumah. 

Sumber Berita - AGENSI/15 JUN 2021

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...