KWSP Terbit Senarai Dana Unit Amanah Bagi 2019/2020

FOTO SUMBER: The Malaysian Times


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerbitkan Senarai Kelayakan Tahunan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) berkuat kuasa 1 Mac 2019 sehingga 29 Februari 2020.

Dalam kenyataan, KWSP berkata bagi tempoh 2019/2020, sejumlah 382 dana telah diluluskan di bawah SPA KWSP, tetapi hanya 282 dana, termasuk sembilan dana baharu, daripada 19 IPD yang layak telah ditawarkan, bersamaan dengan peningkatan marginal sebanyak 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata senarai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA KWSP dinilai secara tahunan berdasarkan kriteria yang ditetapkan KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“Mana-mana unit yang berada di bawah skor minimum kelayakan akan digantung dan tidak boleh ditawarkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

KWSP berkata SPA KWSP diperkenalkan sebagai opsyen kepada ahlinya untuk melabur sebahagian simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka dalam dana-dana unit amanah atau menerusi mandat persendirian yang diuruskan oleh IPD yang dilantik.

Berdasarkan umur mereka, ahli boleh pindah keluar daripada Akaun 1 KWSP mereka sehingga 30 peratus daripada amaun yang melebihi Simpanan Asas yang akan dilaburkan dalam dana-dana yang berkelayakan, katanya.

Mohamad Nasir berkata semakan dari segi kuantum simpanan asas daripada RM228,000 kepada RM240,000 pada umur 55 tahun berkuat kuasa 1 Jan, 2019, ahli dengan itu kini tertakluk untuk mempunyai simpanan lebih tinggi dalam akaun KWSP mereka bagi melayakkan mereka untuk menyertai SPA KWSP.

“Kuantum baharu itu adalah penanda aras berbanding pencen minimum bagi pekerja sektor awam, yang telah dinaikkan daripada RM950 kepada RM1,000 sebulan.

“Selain itu, KWSP ketika ini sedang membangunkan Platform Skim Pelaburan Ahli elektronik (e-SPA) yang bakal diperkenalkan pada akhir tahun ini, untuk membolehkan ahli melakukan transaksi secara dalam talian pada kos lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata ahli diingatkan bahawa pelaburan menerusi SPA KWSP adalah secara sukarela dan ahli akan bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keputusan mereka untuk menyertai skim itu.

“Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana unit amanah ini, ia tidak menandakan bahawa kami mencadangkan atau mengesyorkan kepada ahli untuk melabur dalam mana-mana dana unit amanah ini.

“Kami menggalakkan ahli untuk mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan bertauliah sebelum memutuskan untuk menyertai skim ini,” kata Mohamad Nasir.

Untuk mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, ahli boleh melayari laman web myEPF di pautan http://www.kwsp.gov.my/portal/en/web/kwsp/member/members-savings-investm....

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...