FOTO: AIR ASIA |
BISNES: AirAsia Group Bhd memberi bayangan bahawa kumpulan berkenaan berada pada landasan kukuh untuk mencatatkan tahun kewangan terbaik pada 2019 berbanding beberapa tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pelabur perlu memerhatikan keputusan kewangan suku pertama syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.
“Perhatikan suku pertama ini. Peganglah kata-kata saya sebelum ini mengenai tahun terbaik. Akhirnya platform perniagaan kami adalah mesin pendapatan terbesar.
Masa akan memberitahunya. Mereka (pelabur) yang setia akan diberi ganjaran dividen dan peningkatan pendapatan,” katanya dalam siri ciapan di Twitter, hari ini (1 MAC 2019).
Tony berkata, AirAsia bukanlah sebuah syarikat yang bersandarkan kepada prestasi suku tahunan.
“Ambillah kesempatan daripada kekosongan slot dan pesawat yang akan mengembang sebanyak 21 peratus kapasiti yang mempunyai kesan sampingan kepada hasil,” katanya.
Harga bahan bakar yang lebih tinggi dan perbelanjaan pajakan menyebabkan AirAsia mencatatkan kerugian bersih RM394.97 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2018, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM372.65 juta sebelum ini.
Ia adalah kerugian pertama suku tahunan kumpulan sejak suku ketiga 2015.
Purata harga bahan api pada suku keempat 2018 mencecah AS$92 setong berbanding AS$69 setong tahun sebelumnya.
Perbelanjaan pajakan operasi meningkat berikutan penjualan dan pajakan balik kumpulan, dimana ia menjual pesawatnya dan menyewakannya.
Bagaimanapun, beban kumpulan pada suku keempat berkurangan kepada 84 peratus daripada 88 peratus dalam tempoh sama tahun lalu berikutan peningkatan jumlah penumpang yang dibawa adalah lebih rendah daripada 21 peratus peningkatan kapasiti, susulan rancangan syarikat untuk meningkatkan pegangan pasaran dan menjamin slot lapangan terbang.
SUMBER: BH ONLINE