Foto Sumber: MATAF EXPANSION PROJECT |
ISU: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berpendapat hukum membuat lintas langsung menerusi laman sosial Facebook atau Instagram ketika tawaf dan sa'ie dibolehkan namun adalah lebih baik perbuatan itu ditinggalkan oleh jemaah haji atau umrah demi menumpukan ibadah kepada Allah SWT.
"Ini kerana tawaf dan sa'ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan khusyuk kepada Allah SWT," katanya.
Menurut Zulkifli, pandangan beliau adalah berdasarkan hadis nabi diriwayatkan Imam al-Tirmizi: "Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barang siapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik."
"Kebanyakan ahli ilmu termasuk Imam al-Tirmizi juga berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.
"Saya berpendapat perlakuan badan yang menjaga tatasusila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa'ie," katanya dalam artikel berjudul 'Tawaf Sambil Live Facebook Atau Instagram' disiarkan di laman web rasminya.
Berikut Adalah Kenyataan Penuh:
Soalan:
Apakah hukum menunaikan tawaf sambil melakukan live facebook atau IG?
Jawapan:
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami berpendapat melakukan aksi seperti di atas adalah dibolehkan tetapi alangkah baiknya ditinggalkan. Ini kerana tawaf dan juga sa’ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan dalam acara ibadat seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW dan tawajjuh hati kepada Allah SWT.
Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Ka’bah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barangsiapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”
Riwayat al-Tirmizi (960)
Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat kebanyakan ahli ilmu, antaranya:
Kata Imam al-Tirmizi: “Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama'. Justeru mereka berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.” (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/285)
Perlakuan badan yang menjaga tatasusila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa kehambaan dan tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa’ie. Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi diri terutamanya ketika beribadat kepada Allah SWT seperti tawaf dan sa’ie ini.
Semoga Allah kurniakan haji atau umrah kita sebagai yang mabrur. Ameen.
SUMBER: FB MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN