Foto Sumber: Shanghai Daily |
GLOBAL: Berita dakwaan berkenaan firma perunding data Britain, Cambridge Analytica pernah campur tangan dalam beberapa pilihan raya di beberapa buah negara memang mengejutkan.
Lebih menggemparkan dunia apabila Cambridge Analytica (CA) dilaporkan membentuk profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menggunakan satu aplikasi yang dibangunkan oleh penyelidik Aleksandr Kogan bagi membuat jangkaan personaliti pengguna media sosial.
Ekoran pendedahan itu, FACEBOOK diselar orang ramai setelah satu pendedahan dibuat mengenai Cambridge Analytica yang didakwa menyimpan data pengguna laman sosial itu.
Menurut professor perundangan, Maureen Mapp, terdapat lebih 50 juta pengguna yang datanya sudah dicuri.
"Kalau mereka membuat tuntutan ganti rugi atas pencerobohan data itu, setiap seorang mungkin akan memperolehi £12,500 (RM68,088) sebagai pampasan," katanya kepada The Sun.
Peguam perlindungan data, David Barda pula berpendapat setiap pengguna terlibat mungkin akan menerima ganti rugi maksimum £500 (RM2,723) setiap seorang.
Menurut Barda, jumlah bayaran pampasan bergantung kepada tahap kesulitan yang dihadapi.
"Tapi paling kurang pun mereka akan dapat £500 (RM2,723) dari pihak Facebook jika mereka dapat membuktikan kesulitan atau kerugian yang dihadapi selepas pencerobohan data itu," katanya.
Ini berikutan pengguna perlu membuktikan kesengsaraan yang dihadapi akibat pencerobohan itu bagi membolehkan kes mereka dikendalikan di bawah Akta Perlindungan Data.
Mark Zukerberg Mohon Maaf
Dalam pada itu, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg telah membuat permohonan maaf berhubung pengendalian data pengguna laman sosial itu.
Cambridge Analytica juga kini sedang disiasat oleh Pejabat Suruhanjaya Maklumat United Kingdom kerana didakwa menerima data lebih 50 juta pengguna dari Facebook.
Cambridge Analytica merupakan firma rundingan politik British yang sebelum ini turut dikatakan bekerja untuk kempen politik Donald Trump di Amerika Syarikat.
Kami bertanggungjawab melindungi data pengguna, dan jika kami gagal, kami tidak layak untuk melayani pengguna,” kata Zuckerberg yang pertama kali membuat kenyataan berhubung skandal pencurian data pengguna Facebook oleh syarikat British yang mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.
Zuckerberg mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani ketirisan data daripada pembangun dan aplikasi pihak ketiga dengan memberi pilihan yang lebih untuk pengguna mengawal maklumat pribadi masing-masing.
"Ini perbuatan pecah amanah dan saya memohon maaf kerana ia telah terjadi,” kata Zuckerberg dalam wawancara dengan CNN.
FACEBOOK Kerugian RM232.41 Bilion
Ekoran skandal menggegarkan dunia itu, Facebook mengalami kerugian dalam penurunan sahamnya berjumlah lebih $60 bilion (RM232.41 bilion) dalam jangka masa seminggu selepas kempen #DeleteFacebook dilancarkan.
Terbaru, Facebook juga disahkan mengutip data pengguna Android meliputi SMS, senarai pangilan dan tempoh panggilan dibuat sejak beberapa tahun lalu.
Segalanya terbongkar apabila aktiviti Facebook ini diketahui pengguna di laman Twitter ini selepas skeptikal dengan platform media sosial ini. Berdasarkan tweet yang dikeluarkan, dikatakan Facebook telah menjejak segala aktiviti yang dibuat lelaki ini sejak beberapa bulan yang lalu.
Berdasarkan maklumbalas daripada salah seorang pekerja Facebook, tujuan Facebook menyimpan data pengguna ini untuk memudahkan pengguna berhubung antara satu sama dengan yang lain.
SUMBER:
1. CNN NEWS
2. REUTERS
3. THE SUN
4. THE VOCKET