Foto Sumber: CNN NEWS |
CUACA EKSTREM: Perubahan cuaca disebabkan ribut salji dan suhu sejuk mendadak dihadapi di Eropah pada ketika ini dianggap terburuk dalam sejarah beberapa negara di sana apabila menyebabkan banyak penerbangan terjejas dan pengangkutan tergendala sehingga ramai dilaporkan maut.
Media melaporkan setakat ini sekurang-kurangnya 21 terkorban di seluruh Eropah akibat cuaca sejuk itu. Di Poland sahaja sekurang-kurangnya 15 maut manakala enam maut di Sepanyol.
Di Britain keadaan ribut salji dan suhu sejuk ekstrem yang dianggap terburuk dalam tempoh 30 tahun memaksa negara itu mengerahkan anggota tentera membantu berhadapan situasi itu.
Selepas cuaca sejuk di Siberia yang digelar 'gergasi dari timur', timur Britain dan Ireland dilanda Ribut Emma yang tiba dari selatan dan menghalang jalan raya, penerbangan dan perkhidmatan kereta api.
Ribut yang berlaku itu menyebabkan salji setebal 90 meter di seluruh Ireland dan Scotland.
Ia turut menyebabkan seluruh rangkaian pengangkutan awam Ireland tergendala, menyebabkan lapangan terbang ditutup dan jalan raya menjadi amat bahaya.
Pada kemuncak ribut, lebih 10,000 rumah dan premis perniagaan mengalami gangguan bekalan elektrik.
Hari ini, bursa saham Ireland ditutup, selain sekolah dan kebanyakan pejabat kerajaan apabila status amaran cuaca Merah kekal di hampir seluruh negara itu.
Sementara di Britain, budak perempuan tujuh tahun maut di Cornwall selepas kereta merempuh sebuah rumah, lapor Perbadanan Penyiaran Britain.
Puluhan penumpang pula terkandas dalam kereta api semalam di selatan England.
Ribut Salji Jejas Operasi Penerbangan Di Dublin
Ribut salji yang melanda seluruh Eropah itu juga memaksa jadual penerbangan keluar dan masuk di lapangan terbang, dibatalkan dan ia dijangka kembali pulih pada 3 Mac.
Syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus dan Ryanair berkata, mereka terpaksa menggantung operasi penerbangan berikutan masalah salji.
Foto Sumber: BBC NEWS |
Lapangan terbang Dublin dalam satu kenyataan berkata, syarikat penerbangan lain turut menggantung operasi mereka akibat salji.
Namun, Aer Lingus dan syarikat penerbangan bajet, Ryanair berkata, operasi penerbangan dijangka disambung semula.
Dalam pada itu, lapangan terbang Dublin mengendalikan hampir 30 juta penumpang sepanjang tahun lalu, sekali gus menjadikan ia lapangan terbang ke-14 paling sibuk di Eropah.
Angka Korban Terus Meningkat
Seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun meninggal dunia di Cornwall, barat daya England, menjadikan angka korban akibat ribut Artik yang membadai seluruh Britain meningkat kepada 10 orang, lapor agensi berita Xinhua.
Mangsa maut apabila sebuah kereta terbabas dari jalan raya lalu merempuh sebuah rumah.
Orang ramai juga diminta bersiap sedia menerima salji tebal sehingga 50 sentimeter ketika ribut Emma memburukkan lagi keadaan selepas ribut Artik membadai Britain sejak beberapa hari lalu.
Lapangan-lapangan terbang di Britain terpaksa ditutup sekali gus menyebabkan beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan. Perkhidmatan kereta api juga dibatalkan dan sekolah ditutup, manakala banyak lebuh raya tidak dapat dilalui kerana dilitupi salji tebal.
Sementara itu, di Scotland, ratusan pemandu terkandas sepanjang malam berikutan jalan raya dilitupi salji tebal. Kira-kira 1,000 pemandu terkandas 13 jam di Lebuh Raya M80 dekat Glasgow. Ramai antara mereka bermalam di dalam kenderaan, manakala sebahagian lagi meninggalkan kereta masing-masing di lebuh raya.
Terusan Amsterdem Membeku
AMSTERDAM – Eropah masih belum pulih daripada cengkaman ribut Artik yang digelar sebagai ‘Raksasa dari Timur’ dengan suhu terus berlegar di bawah paras beku dan salji turun di seluruh benua tersebut, lapor portal MailOnline hari ini.
Namun, banyak keluarga di Amsterdam mengambil peluang untuk bermain ski dan meluncur di terusan-terusan yang membeku di bandar raya itu.
Foto Sumber: CNN NEWS |
Kota metropolitan Amsterdam mencatatkan suhu -1 darjah Celsius.
Pemandangan di terusan Prinsengracht, Amsterdam menyaksikan berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak menyarung kasut ski mereka dan meluncur atas permukaan air yang membeku.
Pihak berkuasa kaji cuaca telah melarang bot-bot daripada melakukan pelayaran di beberapa terusan di bandar raya itu pada minggu ini.
Beberapa pengunjung berjalan dan meluncur di atas terusan Prinsengracht yang beku akibat cuaca sejuk di pusat bandar Amsterdam. Foto Sumber: AGENSI |
SUMBER:
1. AFP
2. REUTERS
3. XINHUA
4. CNN NEWS
5. BBC NEWS