Photo by: TechNotes |
CUACA: Semua orang inginkan suasana sejuk dan nyaman. Kenapa? Ia disebabkan cuaca di Malaysia secara puratanya adalah panas sepanjang tahun dan kadang-kadang mengalami suasana musim kering dan tanpa hujan.
Agensi Berita BERNAMA pada 17 Februari 2018 melaporkan suaca sejuk yang dialami di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia merupakan fenomena sementara tetapi keadaan itu boleh berulang sekiranya angin sejuk monsun timur laut dari Siberia, China melalui Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Alui Bahari berkata cuaca sejuk dan kabus tebal di negeri-negeri pantai timur, pedalaman Kedah dan utara Perak telah kembali normal sejak 12 Februari dengan bacaan suhu minimum harian di stesen-stesen Meteorologi mencatatkan suhu 20 darjah celsius ke atas.
Katanya cuaca sejuk ini mungkin boleh berulang pada bulan Februari tahun depan sekiranya berlaku pergerakan tiupan angin sejuk monsun timur laut dari China dan langit tidak berawan pada waktu malam.
"Secara klimatologi, bulan Februari merupakan tempoh suhu minimum harian yang terendah berbanding bulan-bulan lain di negeri-negeri pantai timur, pedalaman Kedah dan utara Perak,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini bahawa Kuala Krai pada 11 Februari lepas telah mengalami cuaca luar biasa dengan mencatatkan suhu suhu terendah iaitu 18.4 darjah Celsius.
Alui berkata cuaca sejuk yang berlaku dari 9 hingga hingga 11 Februari di Kelantan itu, turut dirasai di Terengganu dan Pahang selain kawasan pedalaman Kedah dan utara Perak.
Sementara itu, Alui berkata MET Malaysia dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran sekiranya berlakunya kabus tebal akibat cuaca sejuk dan laut bergelora yang menyebabkan tidak selamat untuk aktiviti pergerakan pengangkutan di laut dan udara.
"Maklumat mengenainya akan disalurkan kepada orang ramai dan pihak yang berkaitan antaranya Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berulangnya Taufan Tembin yang melanda Filipina pada Disember tahun lepas dan kesannya kepada Sabah, Alui berkata pada ketika ini terdapat satu siklon tropika iaitu Ribut Tropika Sanba di tenggara Filipina.
Justeru itu, MET Malaysia akan mengeluarkan amaran cuaca dari semasa ke semasa untuk negeri Sabah sekiranya hujan lebat dan angin kencang diramalkan berlaku di negeri tersebut, katanya.
SUMBER: BERNAMA