TIPS Elak Jadi Mangsa Sindiket Penipuan SCAM

FOTO GRAFIK: ASTRO AWANI


DUNIA PENUH PENIPUAN. Kerugian mencecah hampir RM5 bilion direkodkan membabitkan 1.7 juta rakyat dan warga asing semenjak 2013 apabila menjadi mangsa penipuan khususnya dalam talian.

Jumlah itu direkodkan dalam tempoh hampir empat tahun, iaitu dari 2013 sehingga 11 Oktober 2017 lalu.

Manakala Polis menerima sebanyak 2,590 aduan penipuan pelaburan seperti penipuan pembelian atas talian, Love Scam, Macau Scam dan lain-lain dalam tempoh berkenaan, membabitkan 28 syarikat berbeza.

Berikut ialah saranan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (CFM) kepada pengguna untuk mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan scam:


1. Elak Menjawab Panggilan 'Asing', Luar Negara Tidak Dikenali

Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.

2. Jaga Data Peribadi, Simpan Dan Kawal Ketat

Jangan berikan sebarang maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda kepada pihak yang tidak dikenali. 

Jika pihak tersebut meminta maklumat tentang kad debit/kredit dan perbankan online anda, lebih baik anda tamatkan sahaja panggilan tersebut.

3. Berhati-hati Menerima Panggilan Daripada Bank, Agensi Penguatkuasa

Jika anda menerima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa undang-undang mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda, catat butiran daripada pihak yang menghubungi anda dan maklumkan kepada mereka yang anda tidak dapat bercakap pada waktu tersebut dan akan menghubungi mereka semula. 

Bertenang dan jangan panik. Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Alternatif lain, anda boleh ke pejabat mereka untuk menyelesaikan urusan berkenaan. 

4. Elak Muat Turun Aplikasi Meragukan

Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi Malware atau Spyware yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.

5. Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.

6. Gunakan aplikasi seperti “Truecaller” bagi mengenal pasti panggilan dan menyekat panggilan spam.

Selain itu, pengguna juga perlu mengambil beberapa langkah proaktif bagi melindungi data peribadi agar tidak terdedah dan menjadi sasaran sindiket penipuan, tanpa perlu menghentikan semua aktiviti dalam talian. Berikut merupakan beberapa tips daripada CFM:

SARANAN CFM KEPADA PENGGUNA UNTUK MELINDUNGI DATA PERIBADI

1. Jangan beri nombor telefon peribadi anda untuk mendapatkan hadiah percuma atau baucar promosi. CFM menasihati pengguna agar membuat emel alternatif jika terdapat keperluan untuk mendaftar menggunakan alamat emel yang hanya mempunyai maklumat peribadi minimum untuk boleh dikenal pasti bagi mendapatkan hadiah percuma dan baucar promosi.

2.Berhati-hati apabila mendaftar untuk sebarang pertandingan dan cabutan bertuah. Baca terma pertandingan dengan teliti sama ada penganjur pertandingan akan berkongsi data anda kepada pihak lain.

3.Sentiasa waspada apabila mendaftar maklumat peribadi anda di mana-mana laman web. Beri nombor telefon anda jika ia benar-benar diperlukan.

4.Sebelum memuat turun sebarang aplikasi pada telefon pintar anda, baca polisi privasi dan dapatkan maklumat yang tepat. Buat semakan di Google bagi mendapatkan ulasan tentang aplikasi tersebut yang akan membantu anda untuk mengenal pasti sebarang aplikasi yang mencurigakan.

Untuk kupasan lanjut mengenai perangkap penipuan scam, tonton temu bual khas CFM di dalam program RTM Suara Kita Hak Kita di pautan berikut:https://goo.gl/GLSw9o

CFM sentiasa komited untuk mengutamakan hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia. CFM adalah platform sehenti buat pengguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan tips berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. 

Pengguna boleh melaporkan aduan yang tidak diselesaikan penyedia perkhidmatan dengan menghubungi talian bebas tol CFM melalui 1-800-18-2222 atau emel ke aduan@cfm.org.my.

SUMBER : Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM)

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...