Apa Berita Antarabangsa Menarik 16 JAN?




Sepanyol Destinasi Pelacongan ke-2 dunia

PELANCONGAN: Sepanyol menerima kehadiran kira-kira 82 juta pelancong pada 2017 sekaligus mencabar kedudukan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi pelancongan kedua di dunia.

Ketua Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Zurab Pololikashvili memaklumkan, manakala Perancis kekal di tempat pertama.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut tentang kedudukan AS.

Malah beliau juga tidak menjelaskan kedudukan Sepanyol itu walaupun negara itu menjadi sasaran serangan pengganas pada Ogos tahun lalu dan melalui krisis kemerdekaan dari Catalonia yang merupakan tarikan pelancongan utama di negara berkenaan.

Namun kata Pololikashvili, statistik yang tepat akan dikeluarkan pada musim bunga nanti. 


UAE Tuduh Qatar 'Pintas' 2 Pesawat Awam

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menuduh musuhnya, Qatar menggunakan pesawat pejuang untuk `memintas’ dua kapal terbang penumpang yang dalam penerbangan ke Bahrain hari ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Qatar menafikan tenteranya memintas kapal terbang penumpang yang pertama dan mendakwa UAE membuat tuduhan palsu namun sehingga kini tiada penafian dilakukan terhadap kejadian kedua.

Menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita kerajaan UAE, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GCAA) negara ini telah menerima mesej dari sebuah kapal terbang tempatan pagi ini bahawa sebuah kapal terbang yang melakukan penerbangan rutin ke Manama telah dipintas oleh pesawat pejuang terbabit.

`Ini mencetuskan ancaman serius terhadap penerbangan awam dan jelas sama sekali melanggar undang-undang antarabangsa, ’’ lapor agensi itu.

Tegas Qatar, kapal terbang berkenaan melakukan penerbangan rutin yang mematuhi peraturan.

Katanya, kapal terbang kedua dipintas ketika dalam penerbangan ke lapangan terbang antarabangsa Bahrain.

UAE mempunyai empat syarikat penerbangan yang melakukan penerbangan ke Bahrain iaitu Emirates, Etihad, flydubai dan Air Arabia. 


Ribuan Penduduk Berdepan Bahaya Gunung Berapi Mayon

MANILA : Ribuan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Berapi Mayon melarikan diri daripada rumah masing-ma­sing ketika lahar mengalir keluar daripada gunung berapi itu hari ini dalam kejadian yang disifatkan pakar sebagai letusan senyap.

Pakar gunung berapi turut memberi amaran aliran lahar itu mendorong kepada letupan berbahaya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Institut Gunung Berapi Negara berkata, lahar mengalir perlahan dari kawasan Gunung Berapi Ma­yon bersama awan debu yang menjulang 1,000 meter ke udara.

Lebih 12,000 penduduk diarahkan berpindah meninggalkan zon bahaya tujuh kilometer di sekitar kawah ketika pegawai memberi amaran akan potensi aliran lahar dan asap toksik.

“Secara teknikal, gunung berapi itu sedang meletup tetapi letusan itu agak senyap. Ia mungkin meningkat kepada satu letusan berbahaya,” kata pakar penyelidikan sains di Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), Paul Alanis.

Alanis berkata, letupan berbahaya bermakna letusan lahar atau pancuran batu panas dan gas boleh bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam.

Menurut Ketua pejabat pertahanan awam wilayah, Caludio Yucot, agak berbahaya bagi keluarga untuk terus kekal dalam kawasan itu dan menghirup abu.

“Ini kerana hujan berterusan sejak minggu lalu, serpihan mendap pada lereng Mayon boleh mengakibatkan aliran lahar.

“Jika hujan tidak berhenti, ia boleh menjadi bahaya kepada penduduk,” katanya.

Gunung Berapi Mayon setinggi 2,460 meter terletak 330 kilo­meter barat daya Manila merupakan satu tarikan pelancong di Filipina.

Ia dianggap sebagai gunung berapi paling aktif di negara ini.

Mayon kali terakhir meletus pada tahun 2014 menyaksikan 63,000 penduduk berpindah daripada rumah mereka.

“Kami percaya lahar gunung berapi itu lebih cair berbanding 2014 dan bermakna aliran lahar boleh menuruni lereng dengan lebih cepat,” ketua Phivolcs, Renato Solidum. – AFP

SUMBER BERITA: AFP

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...