Deklarasi Istanbul: Baitulmaqdis Adalah Ibu Negara Palestin



GLOBAL: Pendirian tegas dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa di Istanbul apabila sebulat suara mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Gesaan juga dilakukan OIC yang mahu masyarakat dunia untuk mengambil tindakan sama.

Deklarasi Istanbul itu juga menegaskan peranan negara kuasa besar Amerika Syarikat sebagai penaja perdamaian di Asia Barat tidak lagi sah.

Pertubuhan yang dianggotai 57 negara anggota turut menegaskan, semua negara anggota komited kepada 'satu-satunya penyelesaian komprehensif bagi memastikan keamanan' di wilayah terbabit.

Deklarasi itu juga menegaskan langkah Washington menyamai 'galakan kepada Israel yang meneruskan dasar kolonialisme, pendudukan, aparteid dan pembersihan etnik.'

Sidang kemuncak negara-negara Islam itu dianjurkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi OIC sebagai tindak balas terhadap tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Persidangan itu juga mengisytiharkan tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, 'tidak sah dan terbatal dari segi undang-undang' dan 'satu cubaan melemahkan semua usaha damai' serta menggalakkan 'ekstremisme dan keganasan'.

Deklarasi Sidang Kemuncak OIC memutuskan AS perlu menarik diri daripada memainkan peranan dalam proses damai di Asia Barat.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata semua negara yang menghargai undang-undang antarabangsa dan keadilan perlu mengiktiraf Baitulmaqdis yang diduduki Israel sebagai ibu negara Palestin.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam ucapannya pada persidangan sama memberitahu pemimpin negara Islam bahawa Washington tidak lagi boleh menjadi broker damai yang jujur.

"Peranan AS dalam proses politik tidak lagi boleh diterima kerana mereka memihak kepada Israel.

"Ini adalah pendirian kami dan kami berharap anda (negara anggota OIC) menyokong kami (Palestin) dalam perkara ini," kata Abbas.

Abbas menegaskan: "Tidak mungkin wujud keamanan atau kestabilan di Asia Barat selagi Baitulmaqdis tidak diiktiraf sebagai ibu negara Palestin".

Sementara itu di Riyadh, Raja Arab Saudi, Raja Salman, berkata Palestin berhak menjadikan Timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel sebagai ibu negara mereka, menyokong gesaan dalam sidang kemuncak OIC di Istanbul yang tidak dihadirinya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel berkata, beliau `tidak senang' dengan kenyataan dikeluarkan pemimpin negara Islam, yang menggesa masyarakat antarabangsa mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

"Kami tidak senang dengan semua kenyataan yang dikeluarkan," kata Benjamin Netanyahu ketika berucap.

Dalam pada itu IAF menyerang Semenanjung Gaza (13 DIS), mencederakan tiga orang, selepas pejuang Palestin membedil roket ke selatan Israel.

Tiga penduduk Palestin cedera ringan dalam serangan itu, kata Kementerian Kesihatan di Gaza, tetapi tiada kes sama dilaporkan di pihak Israel.

Pengumuman Trump mencetuskan bantahan di seluruh wilayah Palestin, dengan empat terkorban dan ratusan lagi cedera dalam pertempuran atau serang balas udara rejim Zionis itu setakat 14 Disember.



TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...