Zaman Sistem Khalifah Islamiah Akan Muncul Kembali


Zaman Sistem Khalifah Islamiah Akan Kembali Lagi Membawa Keadilan dan Kemakmuran Dunia.

SATU PEMERHATIAN DAN ANALISIS KHAS

Oleh : Mohd Ezli Bin Mashut ( LL.B (Hons) UIAM )

27hb Januari 2009 M / 30hb Muharram 1430 H
Laman Blog : http://www.ezli007.blogspot.com/ / email : ezli007@hotmail.com / No Tel : 0176543974


Permulaan :

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud : Telah berlaku era pemerintahan KENABIAN, ia berlaku dan berakhir sepertimana yang Allah kehendaki. Setelah itu berlaku pula era pemerintahan KHALIFAH AR-RASYIDDIN yang berjalan mengikut manhaj (ciri) era kenabian, ia berlaku dan berakhir menurut seperti sepertimana yang Allah kehendaki. Setelah itu diganti pula dengan era pemerintahan MENGGIGIT (FITNAH) diperintah secara warisan (monarki), ia berlaku dan berakhir mengikut masa yang ditentukan oleh Allah. Setelah itu diganti dengan era pemerintahan DIKTATOR, ia berlaku dan berakhir mengikut tempoh yang Allah kehendaki. Setelah itu diganti dengan pula dengan era pemerintahan KHALIFFAH yang mendapat petunjuk di atas jalan kenabian (berjalan mengikut manhaj kenabian) Era ini ialah era kegemilangan bagi keseluruhan muka bumi :

(RIWAYAT IMAM AHMAD,Al-BAZAR dan AT-TABRANI dari Huzaifah.)

KITA BERADA DI ERA MANA ?...

Daripada hadith Rasullullah S.A.W dapat kita menyimpulkan bahawa sejak zaman Rasullullah S.A.W sehingga menjelang kiamat sistem pemerintahan akan terbahagi kepada lima zaman iaitu :


1.) Zaman Rasullullah S.A.W : Zaman ini berjalan selama 25 Tahun. Zaman ini adalah era Nubuwwah yang paling gemilang. Era ini menyaksikan Islam berkembang dengan cukup hebat.

2.) Zaman Khulafa’ Ar Rasyiddin : Zaman ini ialah zaman pemerintahan Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq,Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman dan Saidina Ali R.A . Zaman Khulafa’ Ar-Rasyidan ini berjalan dalam masa 30 tahun. Kemudian diikuti oleh zaman Saidina Hassan bin Ali (cucu Rasullullah S.A.W) selama 6 bulan. Masa antara Saidina Hassan hingga zamab Khalifah Umar Abdul Aziz ialah 60 tahun.

Selepas itu 200 tahun seterusnya ialah zaman yang mana Rasullullah S.A.W katakan bahawa zaman yang terbaik sepertimana jaminan Rasullullah S.A.W selama 3 Abad yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang bersabda :’Sebaik-baik kurun, ialah kurun aku dan kurun sesudah itu dan sesudah itu dan sesudah itu’. ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Zaman Fitnah : Zaman ini ialah zaman di mana zaman pemerintahan raja-raja yang menimbulkan fitnah. Memerintah secara sistem beraja dan monarki. Kita menyaksikan era ini umat Islam diuji dengan pelbagai cubaan dan dugaan daripada serangan pelbagai penjuru. Perang salib antara umat Islam dan Eropah berlaku cukup dahsyat ketika ini. Zaman ini juga sistem pemerintahan Islam mula jatuh satu persatu sehinggalah khalifah Turki Uthmaniah yang terakhir pada tahun 1924. Malahan negara-negara umat Islam mula mengasingkan diri dan kecil serta kuasa politiknya semakin lemah di dunia. Lama sistem pemerintahan ini ialah 700 tahun sehingga 1000 tahun.

4. Zaman Diktator : Zaman ini ialah zaman di mana zaman di mana pemerintahan berdasarkan sistem ideologi-ideologi ciptan manusia dengan pelbagai fahaman seperti komunis, sosialis,kapitalis, demokrasi, nasionalis, feudal dan lain-lain lagi.Lama zaman ini ialah lebih kurang 100 ke 200 tahun.

Pada era ini kita menyaksikan sistem diktator ini menguasai dunia. Sejarah juga menyaksikan pada ketika ini berlakunya banyak peperangan dan dua peperangan dunia yang disebabkan faktor berlainan ideologi. Rata-rata negara Islam pada zaman ini berada di bawah kuasa dan pengaruh ideologi-ideologi ini yang menguasai negara-negara Islam melalui penjajahan fizikal dan mental. Kita menyaksikan bagaimana negara-negara Amerika Syarikat, Soviet Union, Britain, Peranchis , German, Belanda dan lain-lain lagi menguasai dunia pada zaman ini.

Tetapi akhirnya kini kita menyaksikan kehebatan mereka mula menurun. Empayar Britain sudah tidak lagi wujud, Soviet Union telah berpecah pada tahun 1988. Kuasa Eropah mula semakin menyusut dan terbaru Kuasa Besar Amerika Syarikat sudah menuju ke era kejatuhan dan keruntuhan.

Krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat , Eropah, China, Rusia dan banyak negara-negara lain merupakan detik akan berakhirnya zaman diktator ini. Selepas ini ialah zaman kepada kebangkitan Islam yang sedang menuju Zaman Kekhalifahan Islam.

5. Zaman Kekhalifahan Islam : Kejatuhan dua ideologi atau kuasa besar dunia iaitu Soviet Union pada tahun 1988 dan Amerika Syarikat tahun 2008 iaitu bermulanya krisis ekonomi yang teruk merupakan detik dan ruang di mana ini ialah zaman kembalinya kebangkitan Islam yang gemilang sepertimana zaman kenabian dan khalifah yang hebat dahulu.

Kita yang menjadi generasi zaman ini merupakan generasi terpilih yang akan membuka jalan kepada kembalinya zaman yang hebat ini. Jadi jelas di sini kita sekarang berada di zaman peralihan kuasa pemerintahan dunia daripada sistem diktator kepada sistem Kekhalifahan Islam.


Kita Adalah Generasi Terpilih Yang Akan Membuka Jalan Kepada Sistem Kekhalifahan Islam.


Kita generasi pada hari ini amat beruntung kerana mungkin kita adalah generasi yang akan membuka jalan kepada sistem Khalifah Islam ini. Malahan kita juga sebenarnya berada dalam tempoh dan ruang waktu peralihan kuasa dunia yang akan kembali kepada umat Islam.

Satu fakta yang cukup menarik perhatian kita ialah mengenai satu laporan yang dikeluarkan oleh National Intelligence Agency Amerika Syarikat dalam laporan di 2020: Mapping In The Global Future di muka surat 83 - 91 secara jelas telah meramalkan akan berlakunya sistem khalifah Islam akan kembali. Walaupun dalam laporan ini pihak perisikan Amerika Syarikat memandang sinis kepada sistem Khalifah Islam dengan mengaitkannya dengan keganasan. Sebenarnya ia menggambarkan bahawa mereka yang melabelkan Islam itu ganas adalah bertujuan untuk berusaha menghalang berlakunya kebangkitan Islam sedunia.

Mereka kini sebenarnya sedang bersiap sedia di seluruh dunia untuk menggagalkan realiti yang akan berlaku ini. Pangkalan-pangkalan tentera di seluruh dunia Islam sudah diletakkan dalam keadaan ‘stand by’ sebagai satu strategi untuk menghalang kemaraan kebangkitan ini.

Daripada analisis dan pemerhatian, kita menjangkakan tempoh sistem Khalifah Islam ini akan menjadi sistem pemerintahan dunia akan berlaku dalam sekitar 7 – 10 tahun daripada tahun 2009 ini. Ini hanya pemerhatian sahaja dengan berdasarkan senario dunia yang berlaku mutakhir ini.

Janji Allah pasti berlaku walaupun pihak musuh-musuh Islam cuba sedaya upaya mereka untuk menggagalkannya. Pastinya untuk berlakunya peralihan ini pasti melalui Sunnatullah. Kita apabila sudah dikhabarkan dengan berita yang amat gembira ini perlu meningkatkan usaha dan tekad kita berlipat kali ganda lagi. Malahan hanya menunggu sahaja tanpa sebarang usaha menanti detik ini jauh terpesong daripada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Pemimpin Islam pada ketika ini akan menjadi pemimpin yang bersifat global dan antarabangsa. Membawa dan menegakkan prinsip keadilan dan keamanan merupakan tunjang kepada pemerintahan pada ketika itu. Ibn Khaldun dalam karya agungnya Mukaddimah telah meramalkan bahawa zaman Islam bangkit semula ialah bermula selepas tahun-tahun daripada tahun 2001. Jelas kini kita sekarang berada di zaman yang dimaksudkan itu.

Beruntung sungguh kita sebagai generasi yang dilahirkan ketika dunia sedang menunggu-nunggu pimpinan kita. Maka beruntung juga jika kita yang menjadi kepada perubahan dalam sejarah dunia ini. Kita juga wajar menjadi perintis kepada perubahan ini. Amat malang jika kita hanya menjadi saksi kepada sejarah perubahan ini.

Proses peralihan kuasa dunia kini sedang berjalan rancak di seluruh dunia dengan cukup hebat. Di pihak umat Islam usaha sedang dan terus berjalan di seluruh pelusuk dunia. Malahan di pihak satu lagi mereka juga sedang sibuk untuk menggagalkan proses perubahan tampok kuasa pemerintahan dunia.

Justeru kita menganjurkan agar semua umat Islam di seluruh dunia bersedia untuk memimpin dunia berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Persediaan ini perlu mencakupi aspek fizikal dan mental. Kita perlu bersedia dengan mempelajari dan memperkembangkan ilmu. Kita perlu meningkatkan kefahaman dan berusaha melaksanakan semua tuntutan Al-Quran dan Sunnah dalam sistem siasah, keadilan, muamalah , kehidupan dan keseluruhan ruang lingkup kehidupan.

Kita perlu berusaha menyebarkan semangat kasih sayang persaudaraan sesama umat Islam dan juga bukan Islam. Kerana sifat lemah lembut dan kasih sayang serta persaudaraan ini yang telah menawan 2/3 dunia pada suatu ketika dahulu. Kuasa Islam datang ke sesebuah negara tidak sebagai kuasa penakluk tetapi Kuasa Islam datang ke sesebuah negara adalah sebagai ‘Pembukaan’ atau ‘Futuhah’. Yang membuka pintu hidayah,keadilan, keamanan dan persaudaraan sesama manusia. Islam berperang bukan matlamat membunuh dan merosakkan harta benda tetapi Islam berperang adalah untuk mewujudkan satu suasana kehidupan yang tenteram daripada gangguan musuh-musuh yang benci kepada hidup berkasih sayang,penuh keadilan dan persaudaraan sesama manusia.

Satu fakta yang cukup mengujakan ialah zaman kegemilangan kerajaan Empayar Islam Andalusia di dunia Eropah. Keamanan dan perkembangan ilmu di era itu menjadi titik tolak kepada zaman pencerahan agung Eropah yang menyaksikan akhirnya Eropah membuka langkah tepat untuk menjadi manusia dan dunia yang bertamadun.

Zaman di bawah pemerintahan Islam juga menyaksikan masyarakat Yahudi dan Kristian yang tidak memusuhi Islam mendapat naungan, lindungan serta kedudukan yang sama dengan umat Islam yang lain. Tidak pernah terjadi dalam sejarah pembukaan atau futuhah apabila tentera Islam memasuki sesebuah wilayah kezaliman dan kerosakkan besar-besaran berlaku. Tetapi yang menjadi bukti kepada sejarah ialah masyarakat sesebuah wilayah itu mengalu-alukan kedatangan tentera Islam. Islam datang membawa sinar keadilan dan keamanan.

Justeru dengan berita dan perkhabaran ini sewajarnya menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk kita terus melakukan perubahan. Sistem rasuah dan zalim perlu ditentang dan digantikan dengan sistem yang adil iaitu sistem keadilan Islam. Keadilan bukan bermakna sistem samarata tetapi konsep keadilan Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang terbaik.

Pengamatan futuristik politik masa hadapan ialah bukan sekadar politik kepartian yang sempit dan bersifat glokal. Tetapi politik masa hadapan ialah sistem politik yang telah digambarkan dalam hadith Rasullullah S.A.W ialah sistem Khalifah yang akan mengisi dunia dengan keadilan Islam. Ianya juga akan bersifat global kerana sistem khalifah ini akan bersifat antarabangsa.

KESIMPULAN :

Kita berada di zaman kini yang cukup unik dan bersejarah . Kita juga adalah generasi yang akan mengembalikan sistem khalifah seperti pemerintahan Rasullullah S.A.W dan Khulafa’ . Saat dan waktu seperti yang dinukilkan dan digambarkan dalam hadith Rasullullah adalah era masa kini. Mungkin siapa lah kita yang bisa melakukan perubahan dunia. Tetapi ini adalah kesempatan yang cukup baik dan bermakna diberi oleh Allah kepada kita untuk menyumbang apa yang terdaya dengan sedaya upaya kepada kegemilangan dan kehebatan pemerintahan seperti zaman Nubuwwah dan era Khulafa’.

Akhirnya, kita mengharapkan kita bersama-sama meningkatkan kualiti diri kita. Untuk memimpin dunia memerlukan satu latihan dan pengalaman yang panjang dan tinggi. Kita ingin memimpin dunia untuk menggantikan kuasa dunia kini yang semakin membawa manusia kepada kehancuran di dunia dan akhirat.

Kita ingin memimpin dunia untuk menjadi penyelamat manusia sejagat daripada kehancuran di dunia dan akhirat kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kita mahu pastikan pentadbiran dunia masa hadapan akan kembali kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Anda yang sedang membaca ini adalah salah seorang insan terpilih yang lahir di zaman ini untuk menjadi pejuang kepada perubahan besar dunia. Semoga kita adalah harapan baru untuk dunia.

MOHD EZLI BIN MASHUT

The Best of The Best


TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...