Barack Hussin Obama : Presiden Negara Super Power Terakhir ?...
Analisis Khas Isu Global.
Oleh : Mohd Ezli Mashut
LL. B (Hons) UIA
Email :
ezli007@hotmail.com / No Tel : 017-6543974
Laman Blog :
http://www.ezli007.blogspot.com/Pendahuluan :
Benarkah Bahawa 20hb Januari 2009 Adalah Tarikh Penting dan Bersejarah untuk Amerika Syarikat dan Dunia ?
Tanggal 20hb Januari 2009 Masihi bersamaan 23hb Muharram 1430 Hijrah, Selasa merupakan detik terpenting dan bersejarah untuk White House. Pada tarikh ini Barack Hussin Obama akan melafazkan sumpah yang berbunyi ‘I do solemnly swear to faithfully execute the office of President of the United States, and to the best of my ability, preserve, protect and defend the Constitution of the United States. So help me God’.
Satu Fakta astronomi yang menarik pada 20hb Januari 2009 jam 09 pagi 01 minit 01 saat waktu di Washington D.C ialah kedudukan Planet Marikh di langit pagi itu di Washington D.C ialah di altitud 19 darjah 11 minit’. Adakah satu kebetulan yang mengingatkan kita mengenai kepada angka 9-11. Satu angka yang penuh dengan misteri, konspirasi dan teori. Mungkin ahli falak mempunyai telahan dan pandangannya sendiri dalam hal ini.
Untuk rekod sejarah semenjak George Washington menjadi Presiden Amerika Syarikat Pertama (Tahun 1774) sehingga George Walker Bush (Presiden Amerika ke 43) belum pernah kalangan barisan Presiden Amerika Syarikat dipilih daripada kalangan African-American. Bangsa yang pada suatu ketika dahulu menjadi hamba abdi dan diperdagangkan selama ratusan tahun sejak Christopher Columbus menemui ‘dunia baru’ dan menjejakkan kaki di bumi Amerika pada sekitar tahun 1498 Masihi. Hari ini tarikh memperingati Columbus Day diraikan pada setiap hari Isnin kedua dalam bulan Oktober setiap tahun. Bank dan pejabat kerajaan akan ditutup pada hari tersebut sebagai memperingati tokoh pelayar agung tersebut yang telah menjumpai ‘Dunia Baru Amerika’.
Namun suratan takdir menentukan akhirnya angka Presiden-44 adalah milik kepada Barack Hussin Obama yang berjaya menewaskan John McCain dalam pemilihan Presiden pada 4hb November 2008 lepas. Pemilihan ini juga menarik minat kalangan serantau dunia yang menyaksikan secara dekat perkembangan politik di Amerika Syarikat.
Barack Hussin Obama manusia paling berkuasa di muka bumi ?Presiden Barack Hussin Obama kini adalah Presiden ke-44 selaku kuasa tunggal negara kuasa dunia. Malahan beliau juga menjadi manusia yang paling berkuasa di muka bumi yang memegang kod laluan rahsia kuasa besar dunia yang mempunyai autoriti untuk melancarkan senjata nuklear International Continental Balistic Missile (ICBM) yang berjumlah 5000 buah serta lain-lain senjata WMD dan melaksanakan ‘prompt global strike plan’ bila-bila sahaja. Strategi dan doktrin serangan nuklear ini ada terkandung dalam Doctrine For Joint Nuclear Operations Final Coordination.
Beliau juga mampu menggerakkan bala tenteranya yang paling lengkap dan tercanggih di dunia untuk menyerang mana-mana negara yang menjadi musuh Amerika Syarikat di bumi ini dengan slogan ‘when, anytime,anywhere and everywhere!’. Untuk rekod Amerika mempunyai lebih daripada 100 buah satelit ketenteraan yang boleh memberikan data, maklumat dan imej secara ‘real time’ yang membolehkan mengetahui sebarang pergerakan ketenteraan, kedudukan fasiliti tentera, cuaca dan tapak pelancar peluru berpandu.
Malahan beliau juga dibantu dengan badan perisikan yang dianggap terbaik dunia iaitu CIA ( Agensi Perisikan Pusat) yang mempunyai agen-agen ala-James Bond 007 di seluruh dunia. Operasi CIA mampu menjangkau dan mempengaruhi situasi politik dan ekonomi dalaman sesebuah negara. Operasi khas CIA ini juga dipercayai mampu menggulingkan mana-mana pemimpin dunia yang tidak sehaluan dengan arahan dan dasar daripada Washington.
Ini belum termasuk dengan kelengkapan lain-lain yang diklasifikasikan sebagai ‘top secret’ seperti B2 Stealth Bomber, Jet Pejuang Taktikal F35-JSF , kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear generasi baru , kapal selam jarak jauh yang membawa bom nuklear seperti SSN 774 Kelas Virginia, Pesawat Pengangkut V22 Osprey yang mendarat dan berlepas seperti helikopter tetapi terbang seperti pesawat kapal terbang, kapal laut pemusnah jenis DDX, peralatan sistem kombat peperangan masa hadapan dan kelengkapan perang ala-Star Wars untuk peperangan di angkasa lepas.
Perbelanjaan untuk pertahanan dan persenjataan Amerika Syarikat merupakan yang tertinggi di dunia. Tahun 2008 dianggarkan perbelanjaan pertahahan mencecah angka USD645 Billion . Angka ini adalah bukti kepada hasrat kuasa besar itu untuk menjadi penguasa global dan mana-mana negara yang berbeza padangannya perlu bersedia menerima musibahnya. Malahan dengan kekuatan yang hebat itu maka kita melihat negara Israel seolah-olah menerima perlindungan istimewa. Israel juga menerima bantuan daripada segi persenjataan dan teknologi dalam usahanya mengekalkan penguasaan di bumi yang dijajah oleh Israel Zioniost sejak 1948 sehingga kini.
Barack Hussin Obama akan memegang kuasa Presiden Amerika Syarikat secara rasmi untuk selama satu penggal 4 tahun bermula 20 Januari 2009 sehingga 20hb Januari 2013. Pemilihan presiden Amerika seterusnya dijangka pada bulan November 2012. Jika Barack Hussin Obama berhasrat untuk memegang jawatan Presiden untuk penggal kedua adalah dijangka tempohnya boleh dilanjutkan sehingga 2017. Namun hanya Presiden yang calang-calang sahaja yang mampu untuk memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat untuk tempoh dua penggal atau 8 tahun.
Ini bermakna sesiapa yang dapat menguasai Presiden Amerika Syarikat. Ia mempunyai peluang untuk menguasai dunia. Di Amerika Syarikat kini orang-orang Yahudi yang berfahaman Zionist menguasai media-media utama negara itu. Justeru media massa television dan radio yang mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan sesuatu pandangan umum masyarakat. Media-media massa ini juga mempunyai ‘kuasa’ yang boleh menjatuhkan mana-mana Presiden Amerika Syarikat yang tidak sehaluan dengan polisi golongan Yahudi Zionist ini.
Suratkhabar dan majalah utama negara tersebut juga dibawah kawalan dan dikuasai oleh golongan ini. Maka tidak mustahil kebangkitan Barack Hussin Obama yang naik mendadak secara tiba-tiba juga dibantu oleh publisiti dan liputan meluas yang dicanang oleh pihak media-media kawalan Yahudi Zionist ini. Jadi siapa yang sebenar-benarnya berkuasa di Amerika Syarikat kini ?. Ini juga satu perancangan licik para pengamal media untuk menguasai halatuju dunia dengan mengawal jawatan ‘ manusia yang paling berkuasa di muka bumi’.
Krisis Ekonomi Amerika Syarikat Dan Dunia Terburuk Dalam Sejarah Dunia Moden.
Tempoh pentadbiran Barack Hussin Obama adalah yang paling kritikal untuk Amerika dan dunia kerana para penganalisis dan pakar ekonomi seluruh dunia menjangkakan ini adalah tempoh dunia menghadapi krisis ekonomi yang paling teruk sejak Great Depression 1929. Menangani krisis ekonomi dunia adalah cabaran terbesar yang bakal menanti. Kegagalannya membawa pakej menyelamat ekonomi hanya akan membawa kepada Amerika Syarikat menjadi semakin hilang penguasaannya terhadap halatuju dunia.
Krisis ekonomi dunia dijangka mengambil masa tempoh 7 tahun sejak 2007 sebagai satu kitaran dalam kemelesetan ekonomi. Mengungkap kisah Al-Quran bagaimana Nabi Yusuf A.S merencana ekonomi negara Mesir pada ketika itu dalam berhadapan cabaran ekonomi pada ketika itu wajar untuk kita menjadi master plan dalam merancang ekonomi untuk tempoh tahun 2007 sehingga 2014.
Krisis ekonomi yang melanda dunia ini adalah gabungan kepada krisis matawang dunia,kelembapan ekonomi dan inflasi dunia. Sebelum ini dunia dikejutkan dengan kenaikan mendadak harga minyak dunia sehingga hampir mencecah USD150 per gallon dan kini terus menjunam sehingga dijangka ke angka USD20. Bersama kejatuhan ini juga ialah komoditi utama yang kini semakin mencemaskan masyarakat dan dunia.
Dunia juga sebenarnya masih lagi dalam keadaan harga makanan yang melonjak naik pada suatu ketika dulu. Kesannya juga masih terasa khususnya kepada negara-negara membangun dan juga kepada rakyat yang berpendapatan sederhana di seluruh dunia. Persoalannya apakah semua krisis ini hanya permulaan sebelum terjadi krisis yang lebih besar dan sukar dijangka.
Hubungan Amerika Syarikat dan Dunia Islam Pasca 11 September 2001. Ke mana halatuju selepas ini.
Persoalan kini apakah pasca 20hb Januari 2009 masih ada harapan baru terhadap hubungan antarabangsa antara Amerika Syarikat dan dunia khususnya Dunia Islam yang semakin rapuh dan renggang sejak peristiwa 11hb September 2001 ?.
Pada ketika ini juga Amerika Syarikat sedang menanggung liabiliti 2 perang yang yang dilancarkannya terhadap Afghanistan dan Iraq yang diangggarkan kos keseluruhannya melebihi USD 3 Trillion. Isu ini dijelaskan secara tuntas dan ilmiah dalam buku : ‘THE THREE TRILLION DOLLAR WAR’ oleh Joseph Stiglitz and Linda Bilme. Ia menjelaskan bahawa kos USD : 3 Trillion (USD 3,000,000,000,000.00) ini adalah petaka kepada sistem ekonomi Amerika Syarikat yang akan membawa ke zaman kemelesetan yang paling dahsyat sejak Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan.
Harapan dunia sebenarnya ingin melihat apakah di bawah pentadbiran baru Presiden ke-44 ini perubahan secara drastik terhadap isu-isu antarabangsa yang menjadi jurang perbezaan di antara tamadun barat dan tamadun Islam. Perubahan polisi dalam isu memerangi terorisme wajar dikaji semula dengan tidak melabelkan negara-negara dan umat Islam diadili secara tidak adil yang dianggap sebagai pengganas.
Persoalan juga diutarakan kini apakah Barack Hussin Obama mampu untuk berhadapan dengan para pelobi Yahudi Zionist, puak neo-kolonialisme, para anggota jawatankuasa dalam Trilateral Commission, para pemodal kapitalisme, syarikat multinasional gergasi dunia dan pemilik bank-bank antarabangsa untuk merangka tata polisi baru dunia terhadap dasar-dasar Amerika yang sudah jauh mencengkam sistem politik , ekonomi dan sosial.
Dalam hal ini kita merasakan mereka yang seolah-olah ‘berkuasa’ dan berpengaruh terhadap halatuju dan masa hadapan dasar luar dan dalaman Amerika Syarikat. Barack Hussin Obama seorang atas kapasiti individunya belum tentu mampu membawa sebarang perubahan drastik ketidakadilan sistem order lama sebelum ini.
Apakah Pembaharuan dalam 100 hari pentadbiran Barack Hussin Obama ?...
Kita juga wajar melihat apakah 100 hari ( 20 Januari 2009 sehingga 29hb April 2009 ) mampu memperlihatkan perbezaan dalam polisi pentadbiran daripada Parti Republikan yang lepas.
Tempoh perubahan 100 hari pertama selepas 20hb Januari 2009 merupakan detik paling getir dan penting dalam pembentukan polisi baru pentadbiran Barack Obama. Ianya juga menjadi sandaran apakah perubahan yang dicanangkan ini sekadar retorik ataupun dapat direalisasikan.
Ketika tempoh peralihan kuasa antara Bush dengan Obama. Dunia dikejutkan dengan serangan nekad yang telah membunuh hampir 200 orang awam di Mumbai, India. Ianya juga satu tekanan kepada polisi Amerika terhadap isu keganasan global apakah pentadbiran Obama perlu meneruskan polisi sebelum ini.
Kesan Antarabangsa Serangan Mumbai :
Kes Serangan di Mumbai yang berlaku pada 26hb November 2008 sehingga 29hb November 2008 ini merupakan serangan terburuk yang melibatkan mangsa daripada pelbagai buah negara. Mengikut laporan seramai 188 orang terbunuh dan 294 orang lagi cedera. Perancangan serangan ini cukup rapi dan menggunakan pelbagai peralatan berteknologi tinggi seperti alat GPS dan telefon satelit untuk tujuan komunikasi. Jumlah penyerang tidak jelas angkanya yang dianggarkan sekitar 10 sehingga 25 orang.
Sehingga kini tiada bukti yang kukuh untuk meletakkan siapa yang bertanggungjawab. Seperti biasa maka orang Islam dilabelkan sebagai pengganas melakukan serangan ini. Namun apakah juga agen-agen MOSSAD Israel menjadi dalang dalam melaksanakan tindakan nekad serangan ini kerana operasinya cukup teliti, terancang dan mengakibatkan jumlah korban dan kecederaan yang tinggi.
Amerika Syarikat telah menghantar pasukan khas Federal Bureau Investigation (FBI) untuk membantu menyiasat dalang dalam serangan nekad ini. Hubungan antara Pakistan dan India semakin tegang. Kekuatan ketenteraan masing-masing di sempadan dipertingkatkan dan dalam keadaan siap siaga untuk melancarkan serangan bila-bila masa. Kegagalan menamatkan krisis ini secara bijak mampu mengudang konflik bersenjata yang lebih dahsyat bagi negara yang mempunyai keupayaan senjata nuklear.
Konflik Senjata Nuklear Iran :
Malahan isu serangan preemptive strike ke atas Iran pada masa akan datang juga amat membimbangkan dunia. Apakah Israel akan menggunakan kesempatan saat ini untuk melancarkan serangan terhadap fasiliti nuklear , ketenteraan dan awam Iran dalam masa terdekat ini ?. Malahan dalam tempoh peralihan kuasa antara George Bush kepada Obama ini juga Israel boleh melancarkan serangan sendiri terhadap Iran yang selama ini menunggu masa sahaja untuk meletuskan konflik nuklear di rantau Asia Barat.
Terbaru kejayaan ujian peluru berpandu berteknologi terkini oleh Iran pada 13hb November 2008 yang mampu mencapai sasaran tepat dan berkeupayaan tinggi sehingga Israel dan Eropah sudah pasti mengundang kebimbangan baru. Situasi gawat yang sudah lama ini jika tidak ditangani dengan bijak boleh menyebabkan ia menjadi pencetus kepada perang dunia ke-3 pada masa hadapan.
Sebelum ini juga pasukan tentera udara Israel telah beberapa kali menjalankan latihan pengeboman dalam misi jarak jauhnya. Ia bertujuan untuk memastikan kejayaan misi serangan Israel terhadap kemudahan nuklear Iran. Kejayaan misi serangan udara ke atas kemudahan nuklear Osiraq di Iraq pada tahun 7hb Jun 1981 dahulu menjadi bukti ia mampu untuk melaksanakan serangan ‘preamtive strike’ ini tanpa sebarang amaran dan arahan daripada pihak Washington.
Di pihak Iran juga kita telah menyaksikan pelbagai jenis latihan ketenteraan besar-besaran dilakukan sebagai satu perang psikologi akan nasib yang bakal menimpa mana-mana negara yang berhasrat untuk menjajah kedaulatan bumi Iran. Kejayaan Iran dalam melaksanakan pelan pembangunan persenjataannya sendiri menggerunkan kuasa-kuasa barat yang bimbang akan mengancam negara Israel pada masa hadapan.
Barisan Kabinet Baru Pentadbiran Barack Hussin Obama :
Pemilihan kabinet Barack Hussin Obama yang membariskan orang-orang penting era Bill Clinton juga perlu di analisis. Apakah barisan kabinet baru Obama mampu membawa harapan baru dan besar masyarakat dunia keseluruhannya. Isu pemilihan ketua staf White House iaitu Rahm Israel Emanuel yang mempunyai latar belakang fahaman Yahudi Zionist juga mencetuskan banyak persoalan.
Kita juga mempertikaikan perlantikan Pengarah Urusan untuk pentadbiran White House daripada kalangan fanatik Yahudi yang diragui kewibawaan dan professionalismanya apabila kelak berhadapan dengan isu-isu di Timur Tengah dan Negara-negara Islam dalam situasi genting kini. Apakah ini satu tindak balas pertama dan harga yang perlu dibayar oleh Barack Obama dalam menunjukkan kesetiannya selepas meraih kejayaan yang gemilang dalam pilihanraya pemilihan presiden ?.
Untuk fakta, Setiausaha Luar Negara kelak ialah bekas seteru politik dalam pemilihan Presiden untuk mewakili Parti Demokrat iaitu Hillary Rodham Clinton. Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai Wanita Pertama Amerika pada pentadbiran suaminya Bill Clinton apakah mampu menangani masalah luar negara yang semakin meruncing setiap hari. Daripada isu senjata nuklear Iran,konflik Asia Barat, perang menangani keganasan sehingga kepada isu perubahan cuaca dunia. Sebenarnya beliau juga sedang mengintai-ngintai kerusi Presiden Amerika untuk ke-45 pada pemilihan akan datang.
Kesan Perubahan Cuaca Dunia (climate change) :Amerika Syarikat yang mempunyai penduduk berjumlah 300 Juta orang menggunakan hampir 24% petroleum daripada jumlah penggunaan dunia. Ianya telah menyebabkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20% yang mengancam kestabilan iklim dunia.
Isu perubahan cuaca dunia merupakan ancaman terbesar penduduk bumi pada masa kini. Ancaman ‘climate change’ ini jika tidak ditangani dan diurus dengan bijak maka kita akan menyaksikan pelbagai bencana alam yang sukar diramal. Kesannya mampu memusnahkan mana-mana negara dalam tempoh yang singkat. Pada tahun-tahun mutakhir ini kita menyaksikan pelbagai jenis taufan yang melanda dunia di mana telah mengorbankan ribuan nyawa. Taufan Katrina dianggarkan menyebabkan hampir 10,000 terbunuh dan Taufan Nargis dianggarkan mencecah 250,000 terbunuh merupakan dua taufan yang akan menjadi ingatan dan igauan penduduk dunia dalam dekad ini.
Berdasarkan laporan mutakhir kini paras air laut dunia semakin meningkat. Ianya juga disebabkan suhu dunia semakin panas yang mengakibatkan bongkah-bongkah ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan mula mencair. Malahan laporan yang mengejutkan ialah banyak pulau dan bandar-bandar yang berada berhampiran laut akan tenggelam dan mungkin tidak wujud lagi dalam beberapa dekad akan datang.
Negara-negara maju yang dipercayai penyumbang terbesar kepada kenaikan suhu ini perlu melaksanakan polisi yang mesra alam. Perubahan iklim yang drastik semakin memperlihatkan kesan urbanisasi, pelepasan gas karbon dioksida, pelbagai jenis pencemaran hanya akan membawa petaka kepada kewujudan tamadun manusia.
Kebocoran lapisan ozon yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu wajar diberi perhatian kini. Apakah masyarakat dunia sudah melupakan satu ancaman masa hadapan yang akan memusnahkan kehidupan generasi masa hadapan. Negara-negara maju yang menjadi penyumbang utama kepada semakin nipisnya lapisan ozon wajar menilai semula pelan tindakan selama ini samada sudah dilaksanakan atau sekadar memuaskan beberapa pihak berkepentingan sahaja.
Kesan Kekalahan Amerika Dalam Perang Afghanistan (2002) dan Iraq (2003) :Tugas besar dan penting selepas 20hb Januari 2009 menanti pentadbiran Barack Hussin Obama ialah untuk memanggil balik bala tentera Amerika Syarikat di Iraq yang berjumlah hampir 130,000 orang tentera. Masyarakat dunia mengetahui bahawa tugas misi mencari senjata pemusnah dunia weapon of mass destruction (WMD) di Iraq telah tamat. Hampir enam tahun sejak pencerobohan terhadap bumi Iraq pada Mac 2003 membuktikan bahawa Amerika adalah ‘Sebuah Negara Kuasa Besar Yang Gagal’ menjumpai senjata pemusnah besar-besaran. Malahan jumlah kematian tentera Amerika juga dianggarkan melebihi apa yang dipaparkan dan dikeluarkan oleh pihak Pentagon.
Itu masih belum mengira statistik jumlah kematian dan kecederaan warga Iraq yang mencecah jutaan. Jumlah kanak-kanak yang menjadi yatim piatu mencecah jutaan. Malahan kemusnahan teruk terhadap ekonomi, sosial dan , infrastruktur dan seluruh kehidupan warga Iraq. Maka itulah sebabnya ketika sidang akhbar George Walker Bush di Iraq menerima lontaran sepasang kasut oleh Muntazer Al-Zaidi seorang wartawan Iraq di Zon Hijau tanda simbolik kebencian yang mendalam terhadap kesan dan kezaliman Amerika Syarikat dalam Perang Teluk 1 ( Jan 1991) dan Perang Teluk 2 (Mac 2003).
Hubungan dan Polisi Luar Negara Amerika Syarikat Dengan Israel Zionist :Berikut adalah petikan ucapan Barack Hussin Obama semasa berada 2008 AIPAC Policy Conference yang menjadi asas apakah hubungan dan polisi pentadbiran Obama akan meneruskan tradisi polisi Presiden-presiden Amerika Syarikat sebelum ini. Untuk makluman AIPAC ialah singkatan kepada The American Israeli Public Affairs Committee. Sebuah jawatankuasa khas yang berkaitan dengan hubungan akrab antara Amerika Syarikat dan Israel.
“Our alliance is based on shared interests and shared values. Those who threaten Israel threaten us. Israel has always faced these threats on the front lines. And I will bring to the White House an unshakeable commitment to Israel’s security…I will ensure that Israel can defend itself from any threat - from Gaza to Tehran.… Across the political spectrum, Israelis understand that real security can only come through lasting peace. And that is why we - as friends of Israel - must resolve to do all we can to help Israel and its neighbors to achieve it.”
[Petikan Ucapan Barack Obama di 2008 AIPAC Policy Conference, 6/4/08]
Memetik daripada laman sesawang
http://www.barackobama.com/ berikut adalah komitmen Barack Hussin Obama dan Joe Bidin dalam hubungan dan polisi yang dijangka diambil kelak.
BARACK OBAMA DAN JOE BIDEN: Rekod Kukuh Dalam Menyokong Keselamatan,Keamanan dan Kemakmuran Israel
Memastikan Hubungan Kukuh Antara Amerika Syarikat dan Israel.
Menghalang Iran daripada Memperolehi Senjata Nuklear.
Menyokong Israel dalam Hak Untuk Mempertahankan Diri
Berusaha Menamatkan Serangan Roket Oleh HAMAS.
Menyokong Bantuan Luar Untuk Israel
Berusaha mweujudkan dua buah Negara Amerika Syarikat dan Israel Yang Sentiasa Bersama Dalam Mewujudkan Keamanan dan Keselamatan.
Menyokong Penyelidikan dan Pembangunan Antara Amerika Syarikat dan Israel dalam Isu Tenaga.
( Sumber :
http://www.barackobama.com/)
Kita juga merasakan bahawa polisi ini kelak tidak akan berubah dalam mengembalikan kedaulatan bumi Palestin kepada warga Palestin yang sebenarnya. Apa yang pasti kerajaan boneka yang berpihak kepada barat dan Israel akan cuba diperkukuhkan melalui strategi dan perancangan yang terus dilaksanakan dalam mengukuh cengkaman Zionist di rantau ini.
Krisis terbaru menjelang umat Islam memasuki 1430 Hijrah ialah serangan pasukan Tentera Udara Israel ke penempatan Palestin di Gaza. Sehingga kini jumlah korban hampir mencecah 500 orang dan lebih 1500 orang cedera. Turut musnah adalah Masjid Gaza,Universiti Islam dan kediaman penduduk-penduduk Palestin yang dilabelkan oleh tentera Israel sebagai pusat keganasan. Banyak rumah penduduk dan kemudahan awam lain juga musnah dalam serangan udara dan peluru berpandu jet-jet pejuang Israel. Kereta-kereta kebal tentera Israel sedang bersedia bila-bila masa sahaja untuk menceroboh dan memusnahkan Gaza sekali lagi.
Apakah ini satu daripada siri perancangan licik oleh Israel untuk menguji bakal pentadbiran baru White House kelak. Ketika waktu peralihan kuasa ini pastinya suara George Walker Bush sudah tidak berharga lagi dan kuasa Barack Hussin Obama masih belum mempunyai autoriti lagi. Israel pastinya bijak mengambil peluang saat keemasan ini untuk membantai habis-habisan pejuang Hamas dan penduduk Palestin.
Benarkah Barack Hussin Obama akan mengambil pendirian yang sama dengan bekas-bekas Presiden Amerika terdahulu ?. Jika Ya maka semakin benarlah pendapat yang menyatakan bahawa yang sebenarnya menguasai pentabiran Amerika bukanlah Presidennya tetapi ada kuasa-kuasa lain yang lebih berkuasa dan berpengaruh dalam menentukan halatuju pentadbiran dan polisi luar negara kuasa besar dunia itu.
Seperti biasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan. Namun tindakan untuk mengenakan sebarang tindakan umpama jauh panggang daripada api. Kini fungsi sebanar PBB sebagai badan dunia yang mengekalkan keamanan dan memelihara keadilan dunia semakin dipertikaikan. PBB juga sebenarnya gagal dalam aspek mengekang dunia kepada ancaman peperangan. Seringkali PBB dilihat lemah dan longlai dalam membuat sebarang tindakan. Resolusi-resolusi yang diputuskan juga tidak banyak membantu. Ianya hanya menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.
Amerika dan dunia menghadapi kemelut ekonomi yang dahsyat dalam sejarah moden.
Penyelesaian Masalah Ekonomi Dunia Menurut Pandangan Harun Yahya. Dunia dan Malaysia wajar mengkaji dan melaksanakannya.
Ketika Amerika dan negara-negara Kesatuan Eropah bergelut dengan krisis ekonomi. Pelbagai usaha telah dilaksanakan antaranya bailout melebihi USD 1 trilllion yang diumumkan untuk beberapa buah syarikat gergasi seperti AIG, Fannie Mae, Lehman Brothers dan beberapa lagi. Namun sebenarnya usaha ini membawa kepada kesan rantaian negatif yang lebih sukar diramal dan membawa kesan yang besar.
Adalah diyakini sebenarnya kemelut ekonomi dunia ini mampu diselesaikan jika kita komited menjalankan sistem ekonomi yang selaras dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Punca utama yang tidak diberi perhatian ialah penggunaan matawang kertas, sistem bank berasaskan riba , monopoli pasaran dan sistem kapitalis. Kembali negera-negera dunia kepada sistem kewangan kepada penggunaan dinar emas merupakan jalan keluar kepada kemelut matawang antarabangsa di samping usaha-usaha positif lain yang selaras dengan ajaran wahyu Ilahi yang sudah menyediakan formula untuk mengubat penyakit ekonomi dunia yang parah ini.
Menurut seorang tokoh ilmuan Islam Turki terkini, Adnan Okhtar yang nama penanya Harun Yahya di mana kita boleh mengakses kajian ilmiahnya dalam laman web
http://www.harunyahya.com/ dalam satu artikel terkininya mengutarakan beberapa pendekatan yang dilihat mampu mengurangkan dan merungkai kemelut ekonomi dunia.
Di sini dirumus dan perbaiki daripada beberapa cadangan dan idea yang mampu dilaksanakan dalam konteks dunia dan Malaysia. Malahan kita juga mencadangkan agar idea ini diambil untuk diteliti secara serius oleh kerajaan-kerajaan seluruh dunia.
Pertama : Mengurangkan Kadar Faedah Bank Kepada Angka 0% atau Menghapuskan Sistem Riba Dalam Sistem Kewangan Dunia.
Kedua : Mengembalikan sistem perbankan kepada Sistem Perbankan Islam. Penggunaan kembali Dinar Emas mengganti wang kertas wajar diperkenalkan dan digunakan sekarang.
Ketiga : Mengurangkan kadar cukai yang membebankan kepada tahap paling minima.
Keempat : Meningkatkan pendapatan bolehguna golongan berpendapatan rendah.
Kelima : Melaksanakan sistem perubatan untuk golongan berpendapatan rendah secara percuma. Mengurangkan kadar caj perubatan pada kadar yang munasabah. Mengurangkan harga dan kos perubatan ke tahap yang memberi keselesaan kepada semua golongan.
Keenam : Menyokong dan memperkukuhkan industri perubatan secara serius.
Ketujuh : Menyokong dan memperkukuh industri makanan, pertanian dan pembuatan makanan. Memastikan sumber makanan negara di urus dengan bijak dan strategik.
Kelapan : Memperluaskan kawasan tanaman makanan dalam memastikan harga pada paras minima dan tidak membebankan. Memberikan kredit kepada penguasaha makanan dan sektor pembuatan makanan.
Kesembilan : Memperkukuh keimanan dan pembangunan insan agar mampu berhadapan dengan situasi gawat. Membantu golongan berpendapatan rendah dan melaksanakan program-program yang mampu menaik taraf ekonomi.
Kesepuluh : Memperkukuh dan menyokong sektor tenaga bagi menjamin sumber tenaga yang mencukupi dan mampu berhadapan apa jua situasi gawat.
Amerika Syarikat Berhadapan Dengan Kemerosotan Dominannya Dalam Pelbagai Segi Sebagai Kuasa Besar Dunia Unipolar ?
Jika tahun 1988, dunia menyaksikan bagaimana Soviet Union yang yang hebat daripada segi ketenteraan dan empayarnya akhirnya berpecah dan lemah. Apakah juga pada tahun 2008 ini kita juga akan menyaksikan bermulanya tumbang sebuah lagi kuasa besar dunia ?.
Untuk rekod pada tahun 2008 ini, Amerika sedang berhadapan satu krisis ekonomi terburuk dalam sejarah moden. Gabungan daripada kelembapan ekonomi, krisis matawang , inflasi , kejatuhan indeks bursa saham, bailout syarikat-syarikat gergasi melebihi USD 1 Trilllion dan pengangguran sedang mengheret kuasa besar dunia kepada masa hadapan yang tidak menentu.
Jika kejatuhan empayar Soviet Union dahulu yang antara faktornya semakin lemah ialah perpecahan dan pemisahan daripada kuasa di Kremlin. Apakah juga Amerika Syarikat akan mengikuti kronologi perpecahan negara Amerika Syarikat yang akan membentuk pakatan antara negeri-negeri gabungannya sendiri kelak ?...
Teori mengenai berpecahnya negeri-negeri di Amerika yang bergabung sendiri untuk mewujudkan sebuah negara baru di bumi Amerika belum lagi dibahaskan mahupun diutarakan. Namun sebenarnya pandangan dan teori ini tidak boleh dipandang rendah. Kegagalan kerajaan pusat White House menyelesaikan masalah-masalah akibat krisis ekonominya boleh mengheret kepada ketidakpuasan terhadap pimpinan kerajaan pusat di Washington D.C.
Sebelum ini juga ada dilaporkan beberapa buah negeri di Amerika Syarikat berhadapan masalah kewangan yang meruncing. Sehingga akhirnya bantuan daripada Washington diperlukan dalam menyediakan bantuan dana kewangan. Namun jika suatu hari nanti Washington juga berhadapan dengan masalah yang sama dalam pakej menyelamat ekonomi negara gagal. Berkemungkinan juga akan ada negeri-negeri di Amerika berusaha untuk mewujudkan pakatan ‘sebuah negara baru’ akan cuba direalisasikan.
Pada dekad akan datang dengan kebangkitan negara-negara baru dalam pentas ekonomi dan ketenteraan dunia. Amerika dilihat sebagai kuasa besar tunggal yang semakin menurun pengaruh dan dominannya. Negara-negara seperti Brazil, Rusia, China dan India (BRIC) dilihat berpotensi untuk menjadi pesaing utama dalam bidang ketenteraan dan ekonomi.
Memetik laporan terbaru 2008 yang dikeluarkan oleh National Intelligence Council bertajuk Global Trend 2025 : A Transformed World menyatakan bahawa Amerika akan semakin kurang dominannya sebagai tunggal kuasa besarnya dalam aspek ketenteraan dan ekonominya pada dekad akan datang.
The United States will remain the single most powerful country but will be less dominant. Shrinking economic and military capabilities may force the US into a difficult set of tradeoffs between domestic versus foreign policy priorities.
(Muka Surat iv : Global Trend 2025 : A Transformed World)
Fakta yang menarik dalam laporan tersebut juga ialah kebangkitan golongan agama yang akan memainkan peranan besar dalam politik dunia masa hadapan.
A Growing Role for Religion. Religion based networks may be quintessential issue networks and overall may play a more powerful role than secular transnational groupings in exerting influence and shaping outcomes in the period out to 2025. Indeed, we could be entering a new age of clerical leadership in which religious leaders become major power brokers in resolving future international disputes and conflicts.
(Muka Surat : 85 : Global Trend 2025 : A Transformed World)
Kenyataan daripada laporan NIC ini seolah-olah menjangkakan akan kemunculan golongan agama yang memegang peranan besar dunia pada masa akan datang. Untuk umat Islam khususnya kedatangan Imam Mahdi sebagai penyelamat dan pembela umat Islam memang sentiasa dinanti-nanti saat kemunculannya. Hadis berkaitan dengan saat kemunculan Imam Mahdi adalah bertaraf Mutawatir. Tanda-tanda yang menunjukkan akan kedatangannya semakin jelas daripada masa ke semasa dengan melihat kejadian dan pergolakan yang berlaku di dunia pada masa kini.
Menanti Saat Tumbang dan Runtuhnya Hegemoni Amerika Syarikat Sebagai Kuasa Besar Dunia.Dalam buku karangan Dr Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Tamadun Islam Alternatif Masa Hadapan mengutarakan dengan panjang lebar punca-punca dan negetaifnya tamadun yang di bawa oleh barat ini. Walaupun ada yang positif di bawa oleh tamadun barat ini namun hakikatnya kini tamadun barat ini sedang menuju ke arah kehancuran daripada semua aspek.
Antara penyumbang utama kepada kehancuran tamadun barat ini ialah runtuhnya akhlak dan moral, musnahnya sistem berkeluarga, kegelisahan jiwa yang dahsyat lantaran tiadanya iman, kecelaruan akal, meningkatnya perlakuan jenayah daripada semua lapisan masyarakat, hidup dalam keadaan serba ketakutan, sistem ekonomi yang menindas, rasuah dan penyelewangan kuasa, meninggalkan segala suruhan Allah dan budaya materialistik yang menguasai kehidupan.
Dalam sebuah kajian yang dijalankan terhadap psikologi masyarakat Amerika, para pengkaji telah menyimpulkan suasana realiti bahawa penduduk Amerika sedang mengalami budaya fobia yang semakin dahsyat. Fobia terhadap perlakuan jenayah berat dan ganas yang berleluasa, berhadapan isu krisis ekonomi, sistem berkeluarga yang telah hancur, ketakutan terhadap serangan ala-terroris dan pelbagai lagi jenis fobia.
Kini Barack Hussin Obama sebenarnya sedang mewarisi sebuah kuasa besar dunia yang semakin runtuh dan hancur. Amerika Syarikat akan tumbang bukan disebabkan oleh serangan ala 9-11 , serangan nuklear atau pun serangan makhluk asing seperti tayangan filem Hollywood . Tetapi bakal tumbangnya tamadun hebat ini adalah disebabkan Amerika Syarikat dibangun atas nama tamadun material.
Bukti sejarah tamadun besar dan hebat dunia banyak menyaksikan tumbangnya tamadun adalah bersandarkan kepada kehebatan material semata-mata. Sejarah kisah kaum Aad yang hebat membina ketamadunan yang tinggi akhirnya lenyap sekelip mata. Kisah hebatnya tamadun Atlantis yang dikatakan lebih hebat dan canggih daripada kehidupan manusia moden masa kini juga sekelip mata juga hilang dan tenggelam.
Maka tidak mustahil Amerika Syarikat yang telah lama menzalimi dan membunuh jutaan insan tidak berdosa di seluruh pelosok dunia, memusnahkan banyak negara-negara Islam, mengeksport budaya hedonisma ke seluruh dunia dan menjajah ekonomi atas nama sistem kapitalis dan globalisasi. Semua ini membawa kepada hanya untuk menjejaki nasib yang sama tamadun-tamadun manusia yang telah pupus.
Amerika Syarikat sudah terlambat untuk mempunyai pemimpin berjiwa besar seperti Barack Hussin Obama. Beliau juga bakal mengikut jejak sama Mikhael Gorbacev yang membawa kepada berpecahnya kesatuan Soviet Union. Pembaharuan glasnot dan prerestroika merupakan lubang maut yang akan mempercepatkan proses jatuhnya sebuah empayar yang hebat.
Kesimpulannya : Dunia Sedang Menanti Kemunculan Tamadun Islam Menjadi Kuasa Baru Dunia Untuk Menggantikan Amerika Syarikat.
Siapa yang mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa baru dunia akan datang. Ramai pihak menjangkakan kemunculan kuasa baru dunia Brazil, Rusia , China dan India akan lebih dominan di masa hadapan. Namun dalam isu ini penulis optimis dan yakin bahawa Kesatuan Dunia Islam akan kembali menjadi kuasa besar dunia. Sistem Khalifah Islamiah yang menjadi teras pemersatu kepada kedaulatan negara-negara Islam dahulu akan kembali ke puncak gemilangnya.
Sila rujuk kepada laporan National Intelligence Council : Mapping the Global Future 2020 di muka surat 83 – 91 yang menjangkakan akan kebangkitan untuk mewujudkan sistem Khalifah Islamiah yang akan kembali mempunyai pengaruh terpenting dunia untuk dekad-dekad akan datang.
Walaupun saat dan ketika ini kita menyaksikan daripada seluruh pelusuk timur dan barat negara-negara Islam ditekan dan dijajah. Akan tiba saat dan ketika yang dijanjikan kebangkitan kembali umat Islam menjadi peneraju ketamadunan manusia.
Umat Islam yang mempunyai potensi yang besar ini mendapat pedoman daripada Maha Pencipta Alam Semesta ini iaitu Al-Quran. Ini yang akan menjadikan kembali dunia ini kembali makmur, berkat dan dipenuhi dengan nur keadilan daripada serata timur dan barat. Tamadun berasaskan material sudah runtuh maka kini hanya satu-satunya tamadun yang berasaskan Wahyu Ilahi ini sahaja yang mampu membina masa hadapan dan
‘Harapan Baru Untuk Dunia’.
Harapan baru untuk dunia selepas ini adalah harapan untuk melihat kembali manusia hidup penuh berkasih sayang, sistem keadilan yang memperjuang hak semua pihak, limpahan ekonomi hasil keberkatan penduduknya dan keamanan hidup saling bantu-membantu. Semoga kita menjadi insan berjiwa besar dan merdeka yang diharapkan untuk memimpin dan membawa harapan baru untuk dunia.