Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM378.5 bilion pada 2024, paras tertinggi dalam sejarah negara.
Ia meningkat 14.9 peratus dari tahun ke tahun dan jumlah pelaburan itu menjangkau 6,700 projek merentas sektor utama.
Jumlah pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang berterusan, Malaysia terus menarik pelaburan yang besar, dengan pelaburan domestik (DI) menyumbang RM208.1 bilion (55.0 peratus) dan pelaburan asing (FI) menyumbang RM170.4 bilion (45.0 peratus).
Prestasi kukuh itu menekankan daya tahan ekonomi negara dan keupayaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur.
Keyakinan pelabur asing di Malaysia kekal sangat kukuh, dengan pelaburan strategik datang daripada lima negara utama iaitu Amerika Syarikat (AS) mendahului dengan RM32.8 bilion, diikuti Jerman (RM32.2 bilion), China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong (RM7.4 bilion).
Sektor perkhidmatan menguasai sebahagian besar sebanyak RM252.7 bilion atau 66.8 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, meningkat 50.1 peratus berbanding pelaburan yang diluluskan RM168.4 bilion tahun lalu.
Sektor pembuatan mencatatkan RM120.5 bilion, mewakili 31.8 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala sektor utama menyumbang RM5.3 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata walaupun menghadapi cabaran global, Malaysia telah mencapai rekod tertinggi pelaburan yang diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, angka tertinggi dalam sejarah negara negara.
Beliau berkata, lebih penting daripada angka itu ialah pelaksanaan fokus pihaknya terhadap pelaburan yang diluluskan itu untuk mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat Malaysia, dan menjana peluang sebenar untuk perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
"Setiap ringgit yang dilaburkan dalam industri yang inovatif, mampan dan bernilai tinggi mewujudkan kesan berganda yang mengukuhkan ekonomi kita.
"MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kekal komited untuk memudahkan pelaburan sedemikian, sambil turut mengambil langkah untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan ekosistem perindustrian kami," katanya pada pada sidang media tahunan MIDA di sini, pada 25 Februari 2025/Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Pada 2024 dilihat Selangor mendahului sebagai destinasi pelaburan teratas dengan pelaburan diluluskan RM101.1 bilion, diikuti Kuala Lumpur (RM91.5 bilion), Johor (RM48.5 bilion), Kedah (RM45.8 bilion) dan Pulau Pinang (RM32.0 bilion).
Justeru, lima negeri itu menarik RM318.9 bilion, menyumbang 84.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2024.
Sebagai tambahan kepada negeri-negeri terkemuka itu, projek pelaburan transformatif juga sedang dijalankan di seluruh Malaysia, khususnya dalam industri berimpak tinggi.
Projek utama termasuk Hab Pengurusan Sisa Terjadual E Concern (Borneo) bernilai RM739.3 juta di Sabah dan pengembangan kemudahan OCI TerraSus di Sarawak RM799.8 juta bagi kemudahan pengeluaran Soda Causticnya, yang kedua-duanya akan menyumbang kepada pembangunan perindustrian Malaysia yang mampan.
Sumber Berita : BH Online/25 Feb 2025
Sumber Grafik : MIDA/ 25 Feb 2025