Sheikh Yusuf Al-Qaradawi Pernah Karang Lebih 120 Buku, Pemergian Kehilangan Besar Dunia Islam



Ulama berpengaruh, Sheikh Yusuf al-Qaradawi pernah mengarang hampir 110 buku dalam pelbagai bidang keilmuan Islam terutama dalam bidang sosial, dakwah dan pengajian Islam.


Memetik Bayan Linnas, buku-buku tulisan tokoh pemikir Islam itu sangat diminati oleh umat Islam di seluruh dunia.


Bahkan, buku-buku tersebut diulang cetak berpuluh-puluh kali dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.


Antara buku hasil tangan beliau ialah Fatawa Muasarah, Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Fiqh al-Zakat, Fiqh-al-Siyam serta banyak lagi.


Sheikh Yusuf juga pernah menjadi ahli beberapa majlis dan yayasan tempatan serta antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pemikiran, pengetahuan, hal ehwal Islam dan dakwah.


Antaranya beliau dilantik sebagai Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Majlis Rabitah al-Alam al-Islami di Mekah, Ahli Majlis Dana Islam di Qatar dan Ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis.


Nama sebenar beliau adalah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf.


Dilahirkan pada 1926 di sebuah perkampungan Desa Shafat at-Turab, Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir, ulama besar dunia itu menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 96 tahun, pada 26 September 2022.





Pemergian Yusuf al-Qaradawi Kehilangan Besar Buat Umat Islam


Dunia Islam pada 26 September 2022 dikejutkan dengan pemergian tokoh ulama terkenal, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi meninggal dunia di Doha, Qatar dalam usia 96 tahun.


Berita kematian Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan dalam kategori antarabangsa pada 2009 itu dimaklumkan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman sosial rasminya.


Menerusi hantaran menjelang waktu azan Maghrib 26 September 2022, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut berkongsi cita-cita asal ulama kelahiran Mesir tersebut untuk menjadi Syeikh Al-Azhar.


Bagaimanapun, impian allahyarham tidak kesampaian apabila tiada berpeluang untuk dilantik ke jawatan tersohor universiti Islam berpengaruh sunni yang sudah berusia 1,050 tahun itu.


“Selamat jalan wahai Syeikhul Ummah. Pemergianmu ditangisi dunia dan seisinya. Moga bersua satu hari nanti di negeri yang abadi,” nukil mantan menteri hal ehwal agama tersebut.


Zulkifli turut memuat naik kulit muka depan buku siri Tokoh Pendakwah Islam berjudul ‘Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi: Siapakah Beliau?’ yang ditulisnya ketika berkhidmat sebagai mufti.


Ia merupakan hasil petikan daripada artikel beliau sendiri yang pernah disiarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi slot Bayan Linnas Siri 6 mengenai kisah hidup ulama tersebut.


Allahyarham yang aktif menulis lebih 120 judul buku sepanjang hayatnya dianggap sebagai ulama kontemporari dalam kalangan empat mazhab utama ulama ahli sunnah wal jamaah.


Hujahnya turut dijadikan rujukan ramai ulama seluruh dunia termasuk paling popular di negara ini iaitu Al Halal wal Haram fil Islam yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu pada 1993.


Dilahirkan di Saft Turab, Mesir pada 9 September 1926, graduan Universiti Al-Azhar pada 1952 itu bagaimanapun sering dilabel sebagai kontroversi oleh dunia Barat yang anti-Islam.


Beliau yang kemudian menghabiskan hidupnya di Qatar selepas berhijrah ke negara itu turut menyandang pelbagai jawatan dalam Kesatuan Ulama Sedunia dan Liga Islam Sedunia. 



Ulama Tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, Meninggal Dunia


DUBAI: Ulama tersohor, Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, meninggal dunia pada usia 96 tahun, menurut Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (IUMS).


Allahyarham meninggalkan legasi penulisan yang kini menjadi rujukan kepada umat Islam di serata dunia.


"Dunia Islam kehilangan seorang ulama dan guru yang jujur, alim, dihormati lagi disegani," kata IUMS, yang juga persatuan diasaskan oleh Qaradawi, menerusi Twitter.


Qaradawi dilahirkan di Mesir tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar, di mana beliau menetap sehingga akhir hayatnya.


Beliau juga adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin, pergerakan sosio politik Islam yang mencetuskan revolusi Mesir pada 2011. 


Semasa hidupnya, Sheikh Yusuf lantang mengkritik kerajaan pimpinan Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi.


Tokoh Pemikir Islam itu hidup dalam buangan dari Mesir sebelum Revolusi 2011 yang menggulingkan bekas Presiden, Hosni Mubarak.


Sheikh Yusuf tidak dapat kembali ke Mesir berikutan penggulingan terhadap bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada 2013.


Berita pemergian itu diumumkan dalam akaun Twitter rasmi beliau, hari ini.


Ulama tersohor itu meninggalkan legasi ilmunya yang begitu besar untuk manfaat umat masa kini.-AGENSI


============================================


Daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. 


Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” 


Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:

مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيْسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِيْنَ عَابِدَا


Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”

Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)


Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia?

Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”


- Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


======================================================





Sesungguhnya umat Islam seluruh dunia amat berdukacita di atas kembalinya ke rahmatullah Shaikh Yusuf Al-Qaradhawi tengahari sebentar tadi (mengikut waktu Qatar).


Kehilangan salah seorang mujaddid ulung dunia Islam sepanjang abad lalu ternyata mengesankan umat.


Shaikh Yusuf Al-Qaradhawi adalah sahabat dan tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan Islam. Beliau sentiasa menyeru kepada aliran wasatiyyah dan menentang keras aliran ghuluw dan mutaa'ssibin.


Saya juga sering mengundangnya ke Malaysia termasuk sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Doa dan surat yang sering diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan.


Saya secara peribadi amat merasai kehilangannya, dan sumbangan serta legasi yang ditinggalkan ternyata membekas dalam setiap sanubari kaum Muslimin. 


Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau.


- Dato' Seri Anwar Ibrahim


===============================================












TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...