Ratu Elizabeth II Mangkat Pada Usia 96 Tahun, Putera Charles Raja Baharu

   Tangkap layar BH Online pada 9 September 2022 melaporkan kemangkatan Ratu Elizabeth II


GLOBAL | LONDON: Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun, kata Istana Buckingham dalam satu kenyataan ringkas, lapor Agensi Berita AFP.


Kenyataan itu memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.


"Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta.


Putera tertua dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles, 73, secara langsung menaiki takhta sebagai Raja, sekali gus melakar sejarah sebagai pewaris takhta tertua dalam sejarah Britain.


Terdahulu, anggota kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang keadaan kesihatan ratu berusia 96 tahun yang dinasihatkan kekal di bawah pemantauan perubatan.


Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems' sejak hujung tahun lalu.





Kenyataan itu turut menjelaskan Putera Charles selaku putera sulung baginda dan pewaris takhta, dan isteri, Camilla berangkat ke Istana Balmoral, istana yang dihuni bersama putera sulungnya, Putera Wiliam.


Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya.


Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland.


Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.


Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.


Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.


Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.


Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.


Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.


Namun, sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.


Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.


Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.


Lagu kebangsaan 'God Save the Queen' dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai 'Monarki Global Terakhir'.


Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.


Upacara Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.


Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.


Warga Britain mula dikejutkan dengan hakikat bahawa era pemerintahan baginda mungkin sudah mencapai penghujungnya pada April 2021 berikutan kemangkatan suaminya selama 73 tahun, Putera Philip, yang juga Duke of Edinburgh.


Bagaimanapun, kemangkatan Philip tidak menjejaskan peranan baginda untuk menunaikan tanggungjawab awamnya, walaupun semakin terbatas akibat usia dan masalah kesihatan.


Pada salah satu penampilan awamnya yang terakhir iaitu Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baginda bertitah: "Tiada siapa antara kita akan hidup selama-lamanya".


Justeru, baginda menggesa pemimpin dunia meninggalkan legasi yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda.


  Tangkap layar berita BH Online pada 9 September 2022 melaporkan Putera Charles sebagai Raja.



Putera Charles Dinobatkan Raja Charles Ke-3


BALLATER: Putera tertua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles, dinobatkan sebagai Raja Charles III susulan kemangkatan ibundanya, lapor AFP.


Pegawai Istana Buckingham di London mengesahkan Puteri Charles, 73, dinobatkan sebagai Raja berkuatkuasa serta-merta iaitu Raja pertama dengan gelaran itu, yang menduduki takhta sejak 1685.


Ia susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, iaitu monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, pada usia 96 tahun.


Raja Charles, dalam ucapan pertamanya, menyifatkan kemangkatan Ratu Elizabeth sebagai saat paling sedih bagi baginda dan seluruh ahli keluarganya.


"Kami berkabung atas pemergian seorang Raja yang dihormati dan ibu yang amat disayangi.


"Saya pasti pemergiannya akan amat dirasai di seluruh negara, dunia, Komanwel dan semua individu," titahnya melalui kenyataan yang ditandatangani 'Yang Mulia Raja'.



Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan jam 6.30 petang semalam (1750 GMT), memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.


"Raja (Charles) dan Permaisuri (Camilla) akan berada di Balmoral dan pulang ke London esok," menurut kenyataan itu.


Sementara itu, pemimpin di seluruh dunia memberi penghormatan dengan menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian baginda yang memerintah selama 70 tahun.


Perdana Menteri Britain baharu, Liz Truss, yang tiga hari lalu mengangkat sumpah jawatan, turut meratapi pemergian baginda.


"Tuhan selamatkan Raja," katanya dalam ucapan yang tidak diungkapkan di Britain sejak 1952.


Selain itu, ratusan bunga dan lilin yang dinyalakan membanjiri pintu pagar Istana Buckingham di tengah London, sebagai tanda penghormatan rakyat negara itu terhadap pemergian baginda.


Operasi London Bridge: Protokol Kemangkatan Ratu Elizabeth II 


Operasi London Bridge ialah kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.


Baginda menduduki takhta diraja sejak tahun 1952, tempoh paling lama pernah direkodkan dalam mana-mana sistem monarki di dunia.


Sepanjang tempoh itu, baginda menyaksikan 15 Perdana Menteri Britain mengangkat sumpah jawatan termasuk yang terbaru, Liz Truss, dua hari lalu, selain menaungi hampir 20 acara Sukan Olimpik, lapor AGENSI.


Ratu Elizabeth juga menjadi ikon bagi negara Komanwel , pengasas atau penaung lebih 600 pertubuhan dan badan kebajikan, serta memainkan peranan penting dalam hubungan dua hala United Kingdom (UK) dengan banyak negara.


Justeru pemergian Ratu Elizabeth akan membawa banyak perubahan, bukan saja kepada UK, tetapi juga kepada dunia.


Berdasarkan 'Operasi London Bridge', pada hari kemangkatan Ratu Elizabeth, Setiausaha Sulitnya, Edward Young, dengan segera akan memberikan mesej 'London Bridge is down' berkenaan kepada Perdana Menteri, Liz Truss.


Perdana Menteri kemudian akan mengatur rancangan Operasi London Bridge, bermula dengan memaklumkan kemangkatan baginda kepada dunia luar, didahului dengan 15 kerajaan yang mengiktiraf Ratu Elizabeth sebagai ketua negara.


Ia kemudian diikuti dengan makluman kepada 36 negara dan pemimpin Komanwel lain di seluruh dunia.


Pintu Pagar utama Istana Buckingham akan dipaparkan notis kemangkatan Ratu dengan logo berwarna hitam.


Pada masa sama, berita kemangkatan itu akan disebarkan kepada pihak media untuk dilaporkan kepada negara seluruh dunia.


Setiap media akan bersedia dengan berita itu dan setiap stesen radio mempunyai rangkaian untuk menyebar pemberitahuan mengenai tragedi negara iaitu kemangkatan Ratu Elizabeth.


Semua berita lain di BBC akan dihentikan sementara, untuk memberi laluan kepada berita kemangkatan Ratu.


Pembaca berita akan menukar pakaian mereka kepada sut hitam dan warna tema BBC News yang asalnya merah akan bertukar kepada warna hitam.


Pada hari kemangkatan, Putera sulung Ratu, Putera Charles akan segera diangkat sebagai Raja Charles III.


Premis perniagaan dan urus niaga saham akan ditutup bagi memberi penghormatan.


Pada hari sebelum upacara pengebumian, Raja Charles III akan memberikan ucapan rasmi pertamanya sebagai Raja dan ketua kerajaan serta akan mengangkat sumpah setia dengan 41 das tembakan hormat di Hyde Park, London.


Selepas itu, baginda akan mengatur jelajah UK, melawat pemimpin kerajaan di ibu kota setiap negeri, Edinburgh, Belfast dan Cardiff sebelum kembali ke London.


Dalam tempoh ini, stesen televisyen akan memainkan banyak dokumentari yang tersedia sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth.


BBC pula tidak akan memainkan rancangan berbentuk hiburan seperti program komedi sehingga pengebumian baginda.


Empat hari selepas kemangkatan, keranda Ratu akan diletakkan di pedati tentera diraja dan diarak dari Istana Buckingham ke Westminster Hall, lokasi di mana baginda akan diletakkan selama empat hari selepas Raja Charles dan keluarga diraja memberikan penghormatan terakhir.


Kemudian, pintu dibuka kepada ratusan ribu orang untuk memberikan penghormatan sama.


Upacara pengebumian akan mengambil masa selama 10 hingga 12 hari selepas Ratu Elizabeth mangkat dan hari pengebumian akan menjadi cuti rasmi di seluruh UK.


Bursa Saham akan ditutup untuk kali kedua dalam tempoh dua minggu dan kebanyakan perniagaan akan turut mengikutinya.


Tepat jam 11 pagi, menara jam Big Ben akan membunyikan locengnya dan seluruh negara akan mula bertafakur.


Keranda Ratu akan dibawa keluar ke dalam Webminster Abbey, di mana tetamu terhormat memberikan penghormatan dan berdoa.


Selepas itu, keranda itu akan dibawa ke Istana Windsor dan akhir sekali ke Gereja St George di mana Ratu Elizabeth akan disemadikan di sebelah mendiang ayahandanya, Raja George VI.


Dalam masa setahun selepas pengebumian, upacara pertabalan rasmi Raja Charles III akan berlangsung.


Secara keseluruhannya, dengan mengambil kira pelbagai cuti, perbelanjaan pengebumian, dan keraian pertabalan, kemangkatan Ratu Elizabeth dijangka menelan kos berbilion pound. 

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...