AirAsia Tingkat Kapasiti Pesawat, Rancakkan Penerbangan

    Sumber Grafik: AirAsia



PENERBANGAN | AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd bakal menambah kapasiti pesawat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan kebanyakan negara lain.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL berkata kumpulan menjangkakan kapasiti operasi bakal meningkat kepada 90 pesawat menjelang akhir tahun 2022 di Malaysia, manakala operasi di Thailand (40 pesawat), Filipina (20 pesawat) dan Indonesia (20 pesawat).


Bo Lingam berkata ketika ini di Malaysia, jumlah pesawat beroperasi sebanyak 45 dengan 60 peratus digunakan untuk penerbangan domestik manakala 40 peratus untuk penerbangan antarabangsa.


"Berdasarkan unjuran akhir tahun itu juga, jumlah penggunaan pesawat untuk penerbangan antarabangsa akan meningkat kepada 45 peratus," katanya dalam kenyataan media pada 22 Mac 2022.


Bo berkata, berkata kumpulan turut menambah perkhidmatan ke beberapa destinasi antarabangsa popular AirAsia termasuk Bali, Manila, Bangkok, Ho Chi Minh City, Phuket dan banyak lagi, bermula April 2022.


Beliau berkata, operasi penerbangan domestik seluruh kumpulan juga semakin rancak menerusi pelancaran empat laluan domestik baharu di Malaysia dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru

ke Bintulu dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.


AAAGL juga, katanya, melihat perkembangan serupa di peringkat serantau untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia.


"AirAsia akan terus membuka laluan baharu selaras dengan permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara lain dibuka semula secara beransur-ansur," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat menyaksikan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur seiring dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia.


Beliau berkata, dengan sekatan perjalanan yang semakin longgar, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia meningkatkan kapasiti penerbangan domestiknya sebanyak 156 peratus sejak Oktober 2021 yang bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi.


"Akhirnya, banyak sempadan negara dibuka semula dan dengan pembukaan semula sempadan Malaysia, kami akan melancarkan semula banyak laluan baharu dari hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).


"Sebagai jaminan untuk tetamu, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan di AirAsia dan kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia dengan komitmen untuk mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan yang ketat," katanya.



Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh : 


AirAsia bersedia rancakkan penerbangan dengan pembukaan semula sempadan negara


SEPANG, 22 Mac 2022 - AirAsia mengalu-alukan pengumuman kerajaan Malaysia untuk membuka sepenuhnya sempadan antarabangsa pada 1 April dan bersedia untuk kembali lebih kuat dan terus merancakkan industri penerbangan. 


Sejak AirAsia menyambung semula operasinya melalui gelembung perjalanan dengan tumpuan kepada perkhidmatan domestik, Ia juga telah menyaksikan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur seiring dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia. 


Dengan sekatan perjalanan yang semakin longgar, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia telah meningkatkan kapasiti penerbangan domestiknya sebanyak 156% sejak Oktober 2021 yang bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi, manakala kapasiti untuk penerbangan antarabangsa menigkat sebanyak 50% peningkatan sejak pengumuman kerajaan Malaysia pada 8 Mac 2022 lalu untuk pembukaan semula sempadan pada April ini, dengan sejumlah 75 pesawat beroperasi pada masa ini secara keseluruhan dalam kumpulan. 


Ini juga disokong oleh pembukaan semula negara lain seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Vietnam.


Dengan beberapa laluan antarabangsa yang sedia beroperasi secara terhad, pengumuman pembukaan semula negara pasti memberikan rangsangan penting untuk menyokong kapasiti tambahan dalam kebanyakan pasaran antarabangsa utama AirAsia, sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan yang ketara.



Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) berkata: “Kami amat mengalu-alukan keputusan semakin banyak kerajaan di rantau ini untuk membuka semula sempadan, menghapuskan sekatan perjalanan dengan keperluan ujian COVID-19 yang minimum, menjadikan perjalanan lebih mudah untuk semua. 


Kami amat teruja untuk menyambung semula lebih banyak penerbangan di semua pasaran utama AirAsia di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia dan untuk menambah perkhidmatan tambahan ke beberapa destinasi antarabangsa popular AirAsia termasuk Bali, Manila, Bangkok, Ho Chi Minh City, Phuket dan banyak lagi, bermula pada bulan April. Operasi penerbangan domestik di seluruh kumpulan juga semakin rancak. 


Baru-baru ini, AirAsia melancarkan empat laluan domestik baharu di Malaysia dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru ke Bintulu dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu pada tahun ini.


“Kami juga melihat perkembangan serupa di peringkat serantau untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia. AirAsia akan terus membuka laluan baru selaras dengan permintaan. 


Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara-negara lain dibuka semula secara beransur-ansur. 


Walaupun perkhidmatan domestik kami di seluruh kumpulan telah meningkat sebanyak 156% dalam beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh permintaan pengguna yang ketara, dan sebanyak 50% untuk antarabangsa, kami menjangkakan untuk kembali kepada tahap pra-COVID sepenuhnya atau malahan lebih tinggi lagi menjelang penghujung tahun ini.”



Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: "Akhirnya banyak sempadan negara telah dibuka semula dan dengan pembukaan semula sempadan Malaysia, kami akan melancarkan semula banyak laluan baharu dari hab utama kami di klia2. 


Sebagai jaminan untuk para tetamu kami, keselamatan sentiasa merupakan keutamaan di AirAsia dan kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia dengan komitmen untuk mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan yang ketat.


“Sebagai syarikat penerbangan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua tetamu AirAsia boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap dan dari sudut operasi kami telah bersedia sepenuhnya. 


Kami juga ingin mengingatkan para tetamu untuk terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan semasa perjalanan anda."


AirAsia kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan di bawah langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat. Satu pencapaian besar bagi AirAsia apabila 95% daripada keseluruhan tetamunya kini telah beralih untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App dan laman web, satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan. 


Untuk meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh untuk prosedur  di lapangan terbang, para tetamu AirAsia digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui airasia Super App dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik. 


Mulai 1 April 2022, hanya kumpulan penumpang tertentu sahaja akan diterima untuk daftar masuk melalui kaunter, antaranya warga emas berusia 70 tahun ke atas, tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah, tetamu perseorangan bawah umur (12-16 tahun), tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih, tetamu penerbangan sewa khas dan lebih lagi. 


Penggunaan airasia Super App adalah  percuma dan ia boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery tanpa sebarang bayaran.


Pembukaan semula sempadan membolehkan mereka yang lama terpisah dengan keluarga dan teman-teman untuk kembali bersua, manakala yang ingin melancong pula boleh memilih untuk ke Singapura, Vietnam, Filipina, India, Thailand, Indonesia, Maldives, Brunei, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Bangladesh dan lebih banyak dengan tambang serendah RM89 sehala, sementara laluan domestik bermula dari hanya RM39 satu laluan sahaja. Tempah penerbangan dengan memilih ‘Flights’ di aplikasi airasia Super App dari sekarang hingga 27 Mac 2022, untuk perjalanan bermula 1 April 2022 hingga 25 Mac 2023.


Nikmati perjalanan dengan tambang berpatutan dan lebih selamat dengan AirAsia. AirAsia telah diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com pada 2021 dan 2022. 

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...