Thailand memulakan kembali program kemasukan bebas kuarantin untuk pengembara lengkap vaksinasi pada selepas menangguhkannya selama lima minggu.
Kerajaan Thailand yang bergantung kepada industri pelancongan itu berharap dapat meningkatkan ekonominya yang lemah, lapor AGENSI pada 1 Februari 2022/Selasa.
Pembukaan semula pelancongan negara Asia Tenggara itu terganggu disebabkan varian Omicron, bagaimanapun banyak negara kini dibuka semula selepas varian berkenaan didapati menyebabkan gejala yang kurang teruk.
Sementara itu, Indonesia meluluskan rancangan untuk membenarkan pengembara dari Singapura ke Kepulauan Riau, termasuk Batam dan Bintan, tanpa sebarang keperluan kuarantin.
Filipina pula membuka semula sempadannya kepada pelawat yang lengkap vaksinasi daripada 157 negara mulai 10 Februari 2022 selepas menangguhkan pembukaan semulanya pada Disember 2021.
Pembukaan semula kemasukan bebas kuarantin di Thailand disifatkan sebagai langkah berani dengan negara gajah putih itu membuka kemasukan kepada sesiapa saja yang lengkap vaksinasi.
Ketika Thailand memulakan program kemasukannya pada November 2021, hanya pelawat daripada 63 negara dan wilayah yang layak.
Negara itu terpaksa menggantung program berkenaan pada 22 Disember 2021 bagi menilai keadaan Omicron.
Langkah terbaru kerajaan Thailand menunjukkan betapa terdesak untuk memulihkan ekonomi.
Ketika sebelum kemunculan COVID-19, kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara itu disumbangkan hasil pelancongan dan perniagaan berkaitan dengannya.
Bali Dibuka Semula Kepada Pelancong Asing
Pulau percutian Bali di Indonesia mula mengalu-alukan kembali pelancong dari semua negara mulai akhir minggu ini, kata pegawai, lebih tiga bulan selepas mengumumkan ia dibuka kepada warganegara terpilih.
REUTERS pada 31 Januari 2022 melaporkan walaupun Bali secara rasmi dibuka kepada pengunjung dari China, New Zealand, dan Jepun pada pertengahan Oktober, sejak itu tiada penerbangan terus, kata Menteri Pelancongan, Sandiaga Uno dalam satu taklimat.
Pembukaan semula itu berikutan pengumuman serupa oleh Thailand dan Filipina, yang menangguhkan pengecualian kuarantin pada bulan Disember kerana ketidakpastian awal mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian Omicron COVID-19.
Keputusan itu dibuat ketika terdapat peningkatan stabil dalam kes COVID-19 di Indonesia bulan Januari 2022, walaupun telah berjaya mengawal wabak itu pada separuh kedua tahun lalu.
Terkenal dengan luncur air, kuil, air terjun dan hiburan malam, Bali menarik 6.2 juta pelawat asing pada 2019, tahun sebelum COVID-19 melanda, tetapi sekatan sempadan yang ketat ekoran pandemik memusnahkan pelancongan, yang biasanya menyumbang bernilai 54 peratus daripada ekonominya.
Singapore Airlines berkata ia menyambung semula penerbangan ke Bali dari Singapura bermula pada 16 Februari 2022.
Menteri Kanan, Luhut Pandjaitan, berkata mulai 4 Februari 2022, pelawat antarabangsa yang divaksin COVID-19 masih perlu melakukan kuarantin antara lima hingga tujuh hari.
Sebelum ini, Indonesia membuka dua pulau berdekatan dengan Singapura kepada pengunjung dari negara kota itu.
Menurut Ida Ayu Indah Yustikarini, pegawai di Pejabat Pelancongan Kerajaan Bali, pulau itu telah menerima pelawat asing sejak beberapa bulan lalu melalui ibu kota Jakarta, tetapi tiada angka rasmi jumlah pelawat diperoleh.