Beberapa lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah diramalkan untuk terjadinya fenomena puting beliung seperti yang berlaku di Perak pada 30 Januari 2022/Ahad.
Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, negeri tersebut turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Kita dapati kebanyakan (puting beliung) berlaku di sebelah negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung, dan tidak lupa juga di Sabah dan Sarawak, yang juga pernah melaporkan kejadian seumpama itu.
"Kebanyakan (yang akan berlaku) di kawasan di persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan Perairan Labuan dan Pantai Barat Sabah. Itu kawasan yang sudah melaporkan kejadian puting beliung dan kawasan ini akan sentiasa berlaku, bila keadaan cuaca sesuai (kehadiran awan kumulonimbus),” kata Ambun Dindang lapor Bernama pada 31 Januari 2022/Isnin.
Pada 30 Januari 2022/Ahad, ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, Perak.
Ambun berkata, faktor berlakunya kejadian ini disebabkan oleh kehadiran awan kumulonimbus yang besar menyebabkan perolakan yang kuat dalam awan tersebut, seterusnya membentuk corong awan di dasar awan tersebut.
Kata beliau, amat sukar untuk MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala yang kecil dengan jangka hayat yang pendek.
"Puting beliung sebesar ini dia sekejap sahaja, paling lama pun sejam dia berlaku. Jadi tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab itu dia agak sukar untuk diramal, tapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar kita yang ada di seluruh Malaysia” katanya.
Ambun berkata, antara tanda awal akan berlakunya puting beliung ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan yang menjulur ke bawah.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung, selain elakkan mendekati kawasan tersebut dan mencari perlindungan di tempat selamat.
Puting Beliung Disebabkan Ribut Petir
Puting beliung berlaku disebabkan pertembungan angin yang boleh menjana pusaran angin pada awal pembentukan ribut petir.
BH Online pada 31 Januari 2022/Isnin melaporkan Pakar Klimatologi, Prof Dr Fredolin Tangang, berkata fenomena puting beliung yang turut dipanggil belalai darat ini, berlaku apabila pusaran angin ini bercantum dengan angin yang begerak ke atas seperti yang dilihat berlaku di beberapa tempat pada masa ini.
Fenomena puting beliung ini katanya bukanlah sesuatu yang baru, ia pernah berlaku sebelum ini dan bersifat bermusim.
"Pembentukannya lebih terkait dengan ribut petir yang sering berlaku pada petang dan lewat petang pada musim perantaraan monsun iaitu pada bulan April hingga Mei dan terutamanya pada bulan September hingga Oktober.
"Pada bulan yang dinyatakan, oleh kerana keadaan angin di atas yang lemah, proses perolakan tempatan boleh terbentuk dengan mudah, menyebabkan ribut petir dan pembentukan ribut ini boleh menjana puting beliung.
"Cuma kali ini, ia berlaku dalam bulan Januari di mana kita masih berada pada musim tengkujuh," katanya.
Mengulas lanjut, Fredolin yang juga Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ribut petir menyerupai musim perantaraan monsun ini mungkin berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk La Nina.
Fredolin berkata, berdasarkan kajiannya dan kumpulan UKM, fenomena La Nina dengan kekuatan sederhana yang sedang berlaku menyebabkan penumpuan kelembapan udara meningkat di Semenanjung Malaysia pada bulan bulan Disember-Januari-Februari.
"Apa yang dialami pada masa ini adalah konsisten dengan dapatan kajian kami. Selain itu, ia juga berlaku disebabkan angin monsun timur laut pada ketika ini agak lemah di Semenanjung Malaysia.
"Keadaan ini berkemungkinan disebabkan pada ketika ini palung monsun berada di selatan iaitu sekitar Laut Jawa dan tiupan angin monsun timur laut lebih tertumpu ke kawasan berkenaan.
Katanya angin monsun timur laut yang agak lemah bertiup ke kawasan kita juga kurang membawa udara bersuhu rendah dan ini menyebabkan peningkatan suhu di bebarapa negeri terutama di utara Semenanjung Malaysia.
"Angin yang lemah ini menyebabkan berlakunya perolakan tempatan dan ribut petir di sebelah pentang dan lewat petang seperti yang dialami pada ketika ini menyerupai keadaan seperti bulan April hingga Mei, September hingga Oktober," katanya.