Airasia Peroleh Kelulusan Latihan Juruterbang Dron, Pusat Latihan Pertama Malaysia


AirAsia Group Bhd memperoleh Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk menjalankan latihan penerbangan dron.


Syarikat itu dalam kenyataan media pada 10 Januari 2022/Isnin berkata, latihan dalam kelas dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.


Ketua Penguatkuasaan Keselamatannya berkata kumpulan tersebut merupakan yang pertama di Malaysia memperoleh kelulusan CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO).


"Idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran kami selama dua dekad.


"Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos," kata Kapten Ling Liong Tien.


Ling berkata kumpulan itu komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas.


Menurutnya, program latihan juruterbang dron itu menyokong projek perintis bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang AirAsia menggunakan dron automatik.


Mengulas mengenau perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata revolusi penghantaran menggunakan dron merupakan pasaran yang lumayan dan kian meningkat, sambil menambah bahawa industri ini telah berkembang pesat di peringkat global dan dijangka mencecah US$7.388 bilion menjelang 2027.


"Kami berbangga untuk memacu revolusi penghantaran menggunakan dron di Malaysia. Selain itu, latihan ini menyokong visi kami untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran dron dalam bandar pada masa hadapan untuk pelbagai barangan termasuklah barangan runcit daripada platform e-dagang AirAsia.


"Program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars kami dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia," katanya.


Berikut adalah kenyataan media penuh :


KUALA LUMPUR, 10 Januari 2022 - AirAsia hari ini mengumumkan perolehan Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk menjalankan latihan penerbangan dron. Latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.


Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien berkata: “Kami berbesar hati untuk menjadi pusat latihan pertama di Malaysia yang memperoleh kelulusan daripada CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO) kami. Pasukan kami telah bekerjasama dengan CAAM dalam jangka masa panjang dan kami berterima kasih kepada mereka atas sokongan berterusan dan berharap untuk memulakan kelas pertama kami dalam beberapa minggu akan datang.


“Idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran kami selama dua dekad. Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos. 


“Kami komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas.”


Latihan ini dijangka akan menyokong projek perintis menggunakan dron automatik pada masa akan datang bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang airasia. 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata: “Kami berbangga untuk memacu revolusi penghantaran menggunakan dron di Malaysia. Ia bukan sahaja pasaran yang lumayan, malah kian meningkat. Di peringkat global, industri ini telah pun berkembang pesat dan dijangka mencecah AS$7.388 bilion menjelang 2027. 


“Program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars kami dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia. Tiada pengalaman terdahulu dalam pengendalian dron diperlukan menjadikan ini peluang terbaik untuk semua orang mengambil bahagian dalam latihan ini. 


“Selain itu, latihan ini menyokong visi kami untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran dron dalam bandar pada masa hadapan untuk pelbagai barangan termasuklah barangan runcit daripada platform e-dagang airasia. Kami juga percaya ia berpotensi untuk menyokong perkhidmatan penghantaran ke kawasan terpencil, contohnya penghantaran bekalan penting semasa bencana alam.”


Presiden AirAsia Group (digital), Aireen Omar berkata: “Inovasi adalah DNA kami dan kami tidak sabar untuk melancarkan Akademi Dron AirAsia melalui cabang teknologi pembelajaran digital kami, AirAsia Academy di samping terus menyokong industri digital di Malaysia melalui rangkaian luas program latihan berasaskan teknologi yang inovatif. 


“Perkhidmatan penghantaran melalui dron tidak lama lagi akan menjadi penyelesaian logistik baharu kami untuk terus menyokong industri e-dagang yang semakin berkembang. Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mencipta peluang pekerjaan berteknologi tinggi baharu untuk rakyat Malaysia. 


“Keupayaan transformasi perniagaan adalah sebahagian daripada budaya kami dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan mereka dalam industri penerbangan, kami menawarkan peluang kedua untuk mereka membina kerjaya baharu bersama kami dalam sektor e-dagang.


“Sebagai pemacu industri, kami bersedia untuk menyahut cabaran inovatif baharu ini dan menjadikan gelombang Revolusi Industri 4.0 satu kelebihan bagi kami dengan memastikan orang ramai bersedia untuk bekerja dalam era digital baharu ini. Dron mempunyai keupayaan unik untuk benar-benar mengubah dan mengembangkan perkhidmatan penghantaran, daripada e-dagang kepada pertanian contohnya dengan mengedarkan baja dan benih, serta pengangkutan ubat-ubatan dan bekalan ke kawasan luar bandar yang terpencil.” 


Kelas latihan juruterbang dron komersial bermula dari 24 Januari. Calon yang berminat tidak memerlukan pengalaman penerbangan atau penerbangan terdahulu dan boleh mendaftar untuk salah satu kursus berikut melalui laman web AirAsia Academy di bawah:


Klik pada pautan di bawah untuk mendaftar kursus latihan yang tersedia:


RCOC-B (Remote Pilot Certificate of Competency - Basic) (5 hari) 


RCOC Module 1 (EVLOS) (Extended Visual Line of Sight) (2 hari) di sini.


SMS (Safety Management System) (3 hari)


CRM (Crew Resource Management) (2 hari) di sini.


Lebih banyak kursus/modul akan disediakan tidak lama lagi.


Menurut kumpulan itu, kelas latihan juruterbang dron komersial bermula dari 24 Januari, dan menambah bahawa calon tidak memerlukan pengalaman penerbangan atau penerbangan terdahulu dan boleh mendaftar untuk mengikuti kursus tersebut melalui laman sesawang AirAsia Academy.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...