Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh mencetuskan kebimbangan dan tekanan dalam kalangan rakyat pada waktu mencabar ini dengan pelbagai dugaan dan cabaran semasa di rumah.
Dalam tempoh 'lockdown' ini berada di rumah menjadi penyebab peningkatan penggunaan elektrik untuk kerja seharian serta 'work from home' apabila pelbagai peralatan elektrik dan gajet digunakan.
Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, tempoh itu juga memperlihatkan penggunaan elektrik mungkin meningkat rentetan ramai di antara kita yang lebih banyak menghabiskan masa di kediaman.
Pun begitu kata Megat Jalaluddin, pelanggan mempunyai pilihan untuk memantau dan menguruskan penggunaan peralatan elektrik di kediaman mereka bagi mengelakkan pembaziran tenaga.
"Ini termasuklah menutup suis peralatan apabila ia tidak digunakan dan mengamalkan tip kecekapan tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan tenaga tinggi seperti pemanas air, penghawa dingin, mesin basuh dan lampu," katanya.
Megat Jalaluddin turut berkongsi tip kepada 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar yang mana mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik.
Bagi mengurangkan peningkatan, pelanggan TNB menyarankan untuk mengamalkan langkah-langkah kecekapan tenaga berikut:
1. Mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas sepenuhnya. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas;
2. Memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutup sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat alat pendingin hawa boleh dilaraskan lebih tinggi (antara 24 hingga 26 darjah Celsius) bagi penggunaan elektrik yang cekap;
Tutup lampu yang tidak digunakan.
3. Tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa bagi mengurus dan menjimatkan tenaga. Sebelum tidur, cuba tetapkan ia untuk ditutup beberapa jam selepas digunakan untuk penggunaan elektrik yang lebih cekap;
4. Bersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa;
5. Manfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan kos penggunaan lampu;
6. Penggunaan air panas semasa mencuci pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan;
7. Apabila menggunakan ketuhar elektrik, membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan masa hidangan dimasak bahkan ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar;
Foto Sumber: ImpianaTetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa.
8. Mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak dekoder (set-top boxes) seperti Astro dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang; dan
9. Masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.
Maklumat lanjut berkaitan cara-cara penggunaan elektrik yang berhemat boleh didapati pada portal myTNB. Pengguna juga boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman menerusi MAEVi.
Bagi pertanyaan bil, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 dan menerusi Facebook TNB CareLine dan Twitter Tenaga_Nasional.
Sumber: TNB