Sumber Grafik: Jabatan Penerangan Malaysia
Sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada 25 Januari 2020 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 1,085 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 129,322 kes.Namun kebelakangan ini, terdapat peningkatan tren kluster tempat kerja yang semakin membimbangkan.
Bermula 1 April 2021 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes. Daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini adalah masih aktif, melibatkan sejumlah 16,785 kes aktif.
Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja yang tertinggi dalam tempoh ini merupakan negeri Selangor dengan 74 kluster (25.78%), negeri Johor dengan 53 kluster (18.47%) dan negeri Pulau Pinang dengan 31 kluster (10.80%).
Analisa terperinci sub-kategori tempat kerja pula mendapati sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster yang tertinggi berbanding sub-kategori yang lain, iaitu sebanyak 132 kluster (46 %) dalam tempoh yang sama. Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster (20 %).
Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula pada 12 Mei 2021, namun tren kluster di tempat kerja masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.
Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes telah dilaporkan di antara 12 Mei 2021 sehingga 26 Mei 2021 di mana lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 %).
Oleh itu, KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan SOP baharu dikenali sebagai Safe@Work bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan COVID-19 seperti penubuhan pasukan kecemasan
COVID-19 oleh pihak syarikat, sanitasi berkala premis, dan memastikan penginapan selesa bagi pekerja.
KKM menasihatkan para majikan untuk memastikan langkahlangkah berikut adalah dilaksanakan di tempat kerja:
• Penyediaan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer;
• Pekerja mengenakan pelitup muka setiap masa;
• Amalan penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan;
• Elakkan pekerja berkumpul di ruang yang sempit (confined space)
• Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (crowded place)
• Amalkan jarak 1 meter semasa bertutur (close conversation)
• Kerap melaksanakan proses nyah kuman dan nyah cemar, terutamanya di ruang guna sama;
Majikan juga disaran proaktif dalam memastikan langkahlangkah pencegahan penularan COVID-19 turut diambil dan diikuti oleh pekerja di tempat penginapan mereka seperti berikut:
• Elakkan 3C / 3S seperti yang telah disarankan;
• Pastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut penjarakkan sekurang-kurangya 1 hingga 2 meter antara satu sama lain;
• Elakkan penyediaan makanan secara berkumpulan atau beramai-ramai;
• Elakkan makan beramai-ramai di ruang makan;
• Pastikan tempat tonton TV atau ruang rehat tidak sesak pada masa yang sama;
• Pastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitarannya sentiasa dijaga dengan kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan.
Bagi pekerja-pekerja pula, adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan semasa di tempat kerja dengan menjaga keselamatan diri, memakai pelitup muka, tidak bersembang dekat, menjaga kebersihan tempat makan atau fasiliti gunasama dan memantau gejala, serta memaklumkan kepada majikan dengan kadar segera sekiranya bergejala.
Elakkan datang bertugas bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit dan dapatkan pemeriksaan segera.
Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan yang kondusif dan selamat untuk digunakan. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan juga lain-lain jangkitan.
Sumber: Facebook KKM/28 MEI 2021