MAYBANK Islamic Dinobat Bank Islam Terbaik Dunia 2020



MAYBANK Islamic Bhd dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik Dunia 2020 oleh majalah yang berpusat di London, The Banker.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, The Banker mengiktiraf cabang perbankan Islam kumpulan itu sebagai antara institusi kewangan patuh syariah terkemuka di dunia.

"Juri kagum dengan komitmen bank untuk kekal mampan, perkembangan penawaran digitalnya dan pembukaan cawangan pertamanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE)," katanya.

Katanya, Maybank Islamic sudah diumumkan sebagai bank patuh syariah terkemuka Malaysia sebanyak empat kali dan kemenangan pada tahun ini sebagai Bank Islam Terbaik Dunia adalah yang kedua selepas kemenangan pertama pada 2015.

"Pencapaian itu dicapai selepas prestasi kewangan yang baik pada 2019 dan ketika modal Tahap 1 merosot, jumlah aset Maybank Islamic meningkat 7.1 peratus kepada AS$58.2 bilion dengan keuntungan naik 25 peratus kepada AS$611.5 juta pada tahun itu.

"Pulangan ke atas ekuiti (ROE) meningkat daripada 22.5 peratus pada 2018 kepada 26.7 peratus pada 2019 manakala nisbah kos kepada pendapatan tidak berubah pada 32.5 peratus," katanya.

Katanya, juri turut melihat operasi Maybank Islamic ke UAE sebagai pengembangan baharu yang berani bersama dengan prestasi operasi dan kewangannya yang kukuh menjadikan Maybank Islamic sebagai pemenang yang layak untuk anugerah berkenaan.

Mohamed Rafique berkata, penghargaan itu sebagai bukti komitmen dan keupayaan Kumpulan Maybank untuk memanfaatkan kedudukannya sebagai penggiat kewangan terkemuka di rantau ini untuk memberikan nilai kepada semua pelanggan.

SUMBER: HMetro

TERKINI

25 Perkara Kebaikan Yang Pahala Berterusan Selepas Kematian

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Foto : Imej janaan AI oleh : Mohd Ezli Mashut    Dalam Islam, setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan i...