COVID-19: Lebih 20,000 Maut, 3 Bilion Penduduk Dunia Berkurung Di Rumah

Pandemik Covid-19


MADRID: Lebih tiga bilion penduduk di seluruh dunia menjalani kehidupan berkurung, semalam, dengan rata-rata negara bergelut meningkatkan usaha memerangi pandemik COVID-19 yang kini sudah meragut lebih 20,000 nyawa.

Berdasarkan satu penjumlahan oleh AFP, lebih 20,800 kematian telah dilaporkan di 182 negara dan wilayah, setakat ini.

Seiring bilangan jangkitan disahkan melonjak melepasi 450,000 kes, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran hanya usaha bersepadu global mampu menghentikan penularan virus berkenaan.

Guterres menegaskan, dunia perlu bekerjasama untuk membanteras pandemik yang semakin menggusarkan itu.

“COVID-19 sedang mengancam seluruh manusia - dan seluruh manusia mesti melawan balik.

“Tindakan dan solidariti global adalah sangat penting. Tindak balas negara secara sendirian tidak akan mencukupi,” katanya ketika melancarkan rayuan sebanyak ASD2 bilion bagi membantu golongan miskin dunia.

Sepanyol merekodkan angka korban melepasi jumlah kematian di China di mana COVID-19 tercetus kira-kira tiga bulan lalu, sekali gus menjadi negara paling terkesan selepas Itali.

Jumlah kematian di Sepanyol kini mencecah lebih 3,400 selepas 738 lagi mangsa meninggal dunia akibat virus itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam tempoh sama, Itali mencatatkan 683 kematian baharu dan menjadikan jumlahnya 7,503 mangsa yang merupakan tertinggi berbanding negara lain, setakat ini.

Di Washington, Presiden Donald Trump berkata, New York yang juga pusat wabak itu di Amerika Syarikat (AS) dengan mencatatkan lebih 30,000 kes jangkitan, dilihat akan berdepan ‘beberapa minggu mendatang yang sukar’.

Bagaimanapun, beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi untuk menentukan sama ada kawasan yang tidak terjejas di negara itu boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kita mahu menggerakkan semula negara kita. Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan terburu-buru atau tergesa-gesa.

“Menjelang sambutan Easter, kita akan mempunyai satu cadangan, dan mungkin sebelum Easter,” katanya yang sering memberi penekanan terhadap kekukuhan ekonomi AS dalam menghadapi saingan pemilihan presiden pada November depan.

Arahan India supaya 1.3 bilion rakyatnya menjalani perintah berkurung merupakan angka terbesar, menjadikan jumlah penduduk berdepan sekatan dalam kehidupan harian kini mencecah lebih tiga bilion di seluruh dunia. 

SUMBER: AFP

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...