Hujan, ribut petir padamkan kebakaran hutan di Australia



SYDNEY: Hujan dan ribut petir memadamkan kebakaran hutan di sebahagian timur Australia, namun turut membawa ancaman banjir di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, kebakaran hutan masih berterusan di kawasan selatan dan tenggara Australia yang belum mendapat hujan, setakat ini, termasuk di hutan kaya dengan hidupan liar di Pulau Kangaroo.

Menurut pasukan bomba di New South Wales (NSW) yang mempunyai bilangan penduduk tertinggi dan paling teruk dilanda krisis itu, 75 kebakaran terus berlaku, menurun berbanding lebih 100 beberapa hari sebelum ini.

“Hujan masih melanda beberapa kawasan yang dijilat api,” kata pihak bomba sambil menambah bahawa keadaan itu bersama suhu lebih sejuk membantu usaha membendung kebakaran.

Queensland turut dilanda ribut petir semalaman menyebabkan banjir kilat berlaku dan jalan terpaksa ditutup, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Kedua-dua negeri berkenaan mengalami antara kemarau paling panjang dalam sejarah Australia moden, dan keadaan cuaca selama dua hari itu menyaksikan beberapa kawasan menerima jumlah hujan lebih banyak berbanding taburan diterima dalam tempoh lebih sedekad lalu.

Api terus marak di selatan NSW dan negeri jiran, Victoria, tetapi kawasan terbabit diramalkan hujan, sekali gus meningkatkan harapan agar sebahagian kebakaran berkenaan dapat dikawal.

Kebakaran tidak pernah berlaku itu yang turut didorong perubahan iklim dan kemarau panjang, sudah meragut 28 nyawa sejak lima bulan lalu.

Bencana itu memusnahkan hutan serta belukar di timur dan selatan Australia, lebih 2,000 kediaman serta haiwan ternakan di ladang.

Di Pulau Kangaroo yang memiliki banyak hidupan liar dan haiwan unik, kebakaran terus marak di sebuah taman negara.

Kebakaran itu memberi kesan teruk terhadap populasi koala, burung dan spesies lain di pulau berkenaan.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa krisis itu boleh menjadi semakin buruk semula dengan Australia baru menempuhi separuh musim panas. 

SUMBER: AFP

TERKINI

Saudi Arabia’s ‘natural sculptures’ with a 15,000-year-old secret

BY: ARAB NEWS JEDDAH: Alongside the hills and mountains of Saudi Arabia are little-known archaeological treasures, such as Al-Naslah Rock in...