Foto Sumber: TWITTER |
Pegawai bomba berkata, seorang wanita berusia 89 tahun meninggal dunia di Calimesa, kira-kira 115 kilometer ke timur Los Angeles, apabila kebakaran berlaku di tempat letak treler semalam selepas pemandu lori sampah yang disambar api membuang sampah yang masih terbakar di lokasi berhampiran.
Seorang lagi lelaki dalam lingkungan usia 50-an meninggal dunia malam kelmarin selepas degupan jantungnya terhenti ketika bercakap dengan anggota bomba yang menangani kebakaran hutan di Saddleridge di San Fernando Valley, kira-kira 32 kilometer ke utara pinggir bandar Los Angeles, kata pegawai bomba.
Api marak dari seluas 24 hektar kepada 3,035 hektar menjelang tengah hari, memaksa arahan pemindahan dikeluarkan kepada lebih 100,000 penduduk.
Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Ralph Terrazas, berkata kebakaran yang bermula lewat semalam di bandar raya Sylmar didorong keadaan kering dan angin kencang dikenali sebagai angin Santa Ana.
“Api amat marak. Jangan bertangguh untuk berpindah.
“Jika kami meminta anda berpindah, sila berbuat demikian,” kata Terrazas pada sidang akhbar.
Katanya, kira-kira 1,000 anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal 13 peratus menjelang tengah hari dan memaksa beberapa lebuh raya utama ditutup.
Perkhidmatan kereta api bawah tanah juga ditutup selain sekolah dan perniagaan.
Sekurang-kurangnya 15 bangunan musnah dalam kebakaran, yang belum diketahui puncanya.
SUMBER: AFP