ARAB SAUDI: Visa Haji, Umrah Lulus Beberapa Minit Sahaja


FOTO SUMBER: MATAF EXPANSION PROJECT

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang mengeluarkan visa elektronik untuk pakej dan syarikat perkhidmatan haji dan umrah dalam masa beberapa minit saja.

“Jemaah yang datang dari luar terikat dengan syarikat serta ejen perkhidmatan Haji dan Umrah untuk mendapatkan visa. Visa elektronik akan dikeluarkan kepada entiti terbabit yang diberi lesen oleh negara ini,” kata penasihat kepada menteri Haji dan Umrah yang juga penyelia am platform elektronik Haji dan Umrah, Abdulrahman Shams kepada MBC, seperti dipetik Arab News.

Shams berkata, platform elektronik itu termasuk perkhidmatan baru yang membolehkan warga bukan Arab Saudi mengakses gerbang elektronik (e-portal) di mana mereka boleh menilai pakej perkhidmatan, memilih pakej dan memohon visa secara elektronik.

“Kami sedang menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengeluarkan visa elektronik, dalam masa beberapa minit saja selepas mengisi borang berkaitan tanpa perlu menggunakan pasport untuk diproses di kedutaan,” katanya.

Langkah itu akan membantu menggalakkan kemasukan lebih ramai jemaah haji, katanya. Arab Saudi mengeluarkan lebih daripada 4.33 juta visa umrah tahun ini. Langkah kementerian itu membantu memudahkan perjalanan jemaah dan meminimumkan proses pra perancangan.

Di bawah Wawasan 2030, Kerajaan berharap dapat menarik lebih daripada 30 juta jemaah Umrah dan memberikan mereka perkhidmatan terbaik.

Pada Januari lalu, kementerian menaik taraf portal dalam talian untuk menyokong jemaah haji asing. Hampir 1.1 juta umat Islam menggunakan portal dalam talian Maqam dalam fasa percubaan tahun lalu, membolehkan mereka memilih lebih daripada 30 syarikat yang menyediakan perjalanan dan penginapan untuk ke Makkah dan Madinah.

Kementerian sudah mula membincangkan mengenai pelan penggabungan e-perkhidmatan itu sejak November 2018.

Timbalan menteri Haji dan Umrah, Abdulaziz Al-Wazzan, berkata inisiatif itu bertujuan menjadikan visa lebih mudah buat jemaah haji, selain turut menyumbang kepada peningkatan bilangan jemaah haji. 

SUMBER: Arab News/ Agensi

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...