FOTO KREDIT: CustomerServiceDirectory |
PERBANKAN | Terbitan nota tidak bercagar senior lima tahun dalam nilai nomina AS$300 juta (AS$1=RM4.06) RHB Bank Bhd yang dilancarkan pada Selasa, terlebih langganan lebih enam kali.
Dalam kenyataan pada 13 FEB 2019, bank itu berkata nilai perolehan pada panduan harga akhir melebihi AS$1.8 bilion, menandakan paras terlebih langgan sebanyak lebih enam kali menerusi 114 akaun.
"Permintaan yang kukuh itu membolehkan RHB Bank mengetatkan panduan kepada 128 mata asas berbanding Perbendaharaan AS lima tahun pada pulangan 3.766 peratus setahun, yang mewakili sebaran kredit paling ketat dalam terbitan Asia Tenggara/Asia Selatan pada 2019," katanya.
Menurut bank itu, nota tidak bercagar senior - yang diberikan penarafan A3 oleh Moody's Investors Service Inc - adalah terbitan ketiga program nota jangka sederhana RM5 bilion euro yang dilaksanakan pada 23 September 2014.
Ia juga adalah terbitan penanda aras awam dolar AS pertama oleh institusi kewangan Malaysia sejak April 2017.
"Terbitan itu dijangka selesai pada 19 Februari 2019 dan akan disenaraikan di Singapore Exchange Securities Trading Ltd dan Labuan International Financial Exchange Inc," katanya dan menambah keuntungan daripada terbitan itu akan digunakan oleh RHB Bank untuk tujuan modal kerja am.
SUMBER: BERNAMA