Malindo Air Bakal Buka Laluan Baharu Ke Kota Bharu, Langkawi dari LTAM

FOTO: World Airline News

INFO PENERBANGAN: Syarikat penerbangan Malindo Air dijangka memulakan dua laluan baharu ke Kota Bharu, Kelantan dan Langkawi, Kedah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini 1 Mac depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata penerbangan dua hala itu akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

Beliau berkata, inisiatif Malindo Air itu dilihat dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan industri pelancongan Melaka sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri bersejarah itu sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

"Berita ini disahkan pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Malindo Air di LTAM dan ia amat ditunggu-tunggu rakyat Melaka dan orang awam yang ingin ke destinasi itu dengan mudah serta menjimatkan masa," katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Sebelum ini Malindo Air pernah menawarkan laluan ke Kota Bharu dari LTAM namun ia dihentikan kerana syarikat itu kekurangan pesawat dan sehingga kini, Malindo Air menawarkan penerbangan ke Pekan Baru, Indonesia dan Pulau Pinang dari LTAM.

Mengulas lanjut, Mohd Sofi berkata, masa penerbangan bagi laluan dari Kota Bharu ke Melaka ialah 11.55 pagi dan Melaka ke Kota Bharu pada 1.50 petang manakala dari Langkawi ke Melaka pada 12.05 tengah hari dan Melaka ke Langkawi pada 2.05 petang.

Beliau berkata, penambahan laluan oleh Malindo Air menerusi LTAM dilihat sebagai langkah positif menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk beroperasi di lapangan terbang itu dan kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif untuk mereka sebagai galakan dan komitmen yang diberikan.

"Selepas ini, kita berharap Air Asia dapat membuka sekurang-kurangnya satu laluan berpotensi antaranya ke Langkawi, Pulau Pinang, Pekan Baru dan Bandar Seri Begawan, Brunei dari LTAM selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak terutama pemain industri pelancongan di Melaka untuk menarik kedatangan pelancong menerusi sektor penerbangan yang ditawarkan di LTAM. 

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

Hikma Nursya: Miliki Wajah Persis Pelakon Filem Bukan Penghalang Ceburi Kerjaya Mencabar

Foto Sumber: Instagram hikmanurysaa OLEH: MOHD EZLI MASHUT INSPIRASI | Persis seperti pelakon filem dan sinetron tidak menjadi peng...