TM Bakal Lancar UNIFI Mampu Milik Bawah RM100

Foto Sumber: Lowyat.net


BISNES: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan melancarkan pakej unifi mampu milik khusus untuk segmen B40 dengan kelajuan 30Mbps kurang dari RM100 bermula 15 Julai ini.

Pemangku Ketua Pegawai CEO TM, Datuk Bazlan Osman, berkata tawaran itu 40 peratus lebih rendah daripada harga pakej 30Mbps ketika ini iaitu RM199.

"Pengenalan pelan jalur lebar baharu ini dalam usaha berterusan syarikat menawarkan perkhidmatan jalur lebar mampu milik, sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini.

"Pelan baharu ini juga bagi memperkukuhkan kedudukan kumpulan sebagai peneraju pasaran dan merealisasikan aspirasi jalur lebar dari segi harga, kepantasan dan liputan," katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor BH ONLINE.

Pada majlis itu, TM juga mengumumkan pelan unifi turbo yang menawarkan kelajuan jalur lebar dua kali ganda berbanding ketika ini.

Foto Sumber: Amanz

Katanya, TM akan menaik taraf kelajuan pelanggan unifi sedia ada secara berperingkat kepada lebih dua kali ganda tanpa tambahan kos bermula 15 Ogos ini.

"Sementara pelanggan baharu yang melanggan pelan unifi sedia ada sebelum 31 Disember akan dinaik taraf mulai 2019," katanya.

TM turut melancarkan semula pelan pasca bayar tanpa had unifi Mobile khusus untuk pelanggan jalur lebar sedia ada mulai 15 Julai ini.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengunumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini.

Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran.

Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...