100 Kerusi Semenanjung Mampu Dicapai PAKATAN, Johor Jatuh



Pendahuluan

Tinjauan akhir pasukan ILHAM Centre bermula sebaik sahaja pembubaran parlimen pada 7 April 2018 dan berakhir pada 6 Mei 2018 merumuskan pertembungan epik dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia.

Pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menggugat hegemoni politik Barisan Nasional. Perseteruan Tun Mahathir dan Dato’ Seri Najib Razak memangkin kehangatan bahang pertembungan dalam pilihan raya umum kali ini.

Ini adalah analisa yang paling sukar dilakukan kerana ianya pertama kali melibatkan pertembungan tiga penjuru secara besar-besaran dan banyak pembolehubah yang kompleks. Keputusan dan data pilihan raya yang lalu tidak boleh dijadikan sumber utama kerana dua faktor di atas.

Observasi kami hampir sebulan membuat tinjauan di 165 kerusi parlimen Semenanjung, memperlihatkan Pakatan Harapan mendahului di 77 Parlimen dan Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di 56 Parlimen.

Manakala kuasa ketiga Gagasan Sejahtera yang didominasi oleh PAS selesa di 7 Parlimen berpengkalan di Pantai Timur. 25 parlimen pula memperlihatkan pertembungan sengit antara parti-parti yang bertanding.

77 kerusi Pakatan Harapan disumbangkan oleh kerusi parlimen bandar dan pinggir bandar yang mempunyai komposisi bercampur dan majoriti Cina. 56 kerusi Barisan Nasional pula disumbangkan di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar. 

7 kerusi PAS disumbangkan di kawasan majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat PAS. 25 kerusi parlimen sengit dan terbuka kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sekiranya berlaku sedikit lonjakan pada saat akhir, Pakatan Harapan dijangka mampu melepasi angka 100 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk ke Putrajaya

Pasukan ILHAM yang turun di lapangan telah membuat penilaian mikro kepada semua lokaliti yang mempunyai pemboleh ubah beragam. Kami tidak menggunakan formula secara pukal dan sekata dalam membuat unjuran prediksi ini.

Prediksi ini mengambil kira pembolehubah seperti sokongan kaum terhadap parti yang bertanding, kekuatan calon, isu nasional dan lokal, komposisi pengundi awal dan pos, impak persempadanan semula, kekuatan jentera, pengundi luar dan peratusan keluar mengundi.

Pengundi Sudah Mempunyai Pilihan

Suasana kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan tenang. Bahasa yang digambarkan pengundi di lapangan ialah terlalu ‘sejuk’ berbanding pilihan raya sebelum ini. Kebiasaannya dalam tempoh kempen ini akan memperlihatkan suasana panas dan tegang antara jentera parti yang berkempen.

Elemen provokasi dan ketegangan antara penyokong parti tidak berlaku kali ini apabila tiada insiden yang serius dilaporkan setakat ini. Suasana berkempen berjalan tertib dan harmoni antara semua parti di seluruh negara.

Bagi pengundi pula, suasana sebegini terjadi kerana sebahagian besar pengundi sudah mempunyai sikap dan pilihan mereka. Mereka hanya menantikan tanggal 9 Mei untuk menzahirkan pendirian politik masing-masing.

Kategori pengundi yang termasuk dalam kumpulan pengundi atas pagar peratusannya menjadi semakin mengecil apabila tarikh pembuangan undi semakin hari semakin dekat.

Kempen di media sosial untuk mengajak pulang mengundi seakan mencabar hipotesis bahawa kemungkinan kadar peratus keluar mengundi menjadi rendah apabila hari pengundian dilakukan pada pertengahan minggu.

Kempen yang dilakukan oleh warga maya dengan membuat pendanaan awam bagi membiayai kos pengangkutan untuk pengundi luar dan mahasiswa bagi memudahkan mereka pulang ke kampung halaman untuk membuang undi.

Ada pihak restoran dan hub rantaian makanan, syarikat penerbangan yang menawarkan diskaun dan tawaran yang menarik bagi mereka yang keluar mengundi.

Gerakan sivil dan bersifat organik ini tidak pernah berlaku dalam siri pilihan raya sebelum ini.

Kesedaran yang berlaku ini juga menunjukkan pengundi pertama kali sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawab mereka dan menjadikan ini pengalaman yang bersejarah buat mereka.

Pertembungan Tiga Penjuru dan Persempadanan Semula Menguntungkan Siapa?

Selayang pandang di atas kertas pertembungan tiga penjuru ini menguntungkan Barisan Nasional. Namun setelah diteliti dengan perkembangan semua pembolehubah di lapangan ternyata pertembungan 3 penjuru ini tidak menguntungkan Barisan Nasional secara mutlak sebaliknya ianya tidak memberi manfaat dan nilai tambah kepada strategi Barisan Nasional untuk memperolehi pertambahan kerusi parlimen di Semenanjung.

Kawasan-kawasan parlimen yang mempunyai 75 peratus komposisi Melayu dan ke bawah ternyata memberikan kesan negatif kepada Barisan Nasional ekoran perpecahan undi Melayu kepada tiga. Ini kerana pertimbangan 3 penjuru ini pada awalnya tidak melihat faktor PPBM dan Tun Mahathir sebagai faktor utama.

Pakatan pembangkang pada mulanya seakan patah sayap apabila PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Tetapi parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara pantas mengambil alih vakum yang ditinggalkan ini. 

Namun begitu, Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertembungan 3 penjuru keputusannya menguntungkan Barisan Nasional.

Senario bertukar secara drastik apabila PPBM ditubuhkan dan Tun Mahathir dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan. Strategi ini telah memecahkan teori 3 penjuru menguntungkan Barisan Nasional. Kekuatan figura Tun Mahathir dan PPBM berfungsi menarik sokongan Melayu-UMNO ke dalam kantung undi Pakatan Harapan.

Peranan PAS yang menjadikan pilihan raya kali ini 3 penjuru sebenarnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan secara tidak langsung di kerusi-kerusi Pantai Barat. Ironinya di Pantai Timur pertembungan ini menguntungkan PAS di sebahagian kerusi parlimen.

Merujuk kepada persempadanan semula, usul perubahan garis sempadanan pilihan raya pada asasnya adalah untuk memberikan kelebihan kepada parti pemerintah. 

Percaturan di atas kertas dengan melonggokkan pengundi Cina dalam satu kawasan pilihan raya dan meningkatkan kawasan majoriti Melayu melalui proses ‘gerrymandering’ dan ‘malaportionment’ mampu menyumbangkan kerusi tambahan kepada Barisan Nasional.

Strategi ini asalnya tidak mengambil kira perpecahan parti Melayu terbesar, UMNO dan melahirkan PPBM serta faktor Tun Mahathir mengetuai Pakatan Harapan. Apabila undi Melayu yang menyokong UMNO terpecah dengan faktor ini ianya tidak lagi memberi nilai tambah yang besar kepada Barisan Nasional.

Realitinya, persempadanan semula kali ini tidak memberi impak yang besar seperti persempadanan semula 2004 kerana strategi ini tidak berupaya menambah kerusi yang boleh menyumbang kepada kemenangan dua pertiga parti pemerintah.

Perang Media Maya vs Kempen Konvensional

Barisan Nasional dan PAS ternyata unggul dari aspek memperlengkapkan kempen konvensional seperti perang bendera, banner, poster, pondok panas di Pusat Daerah Mengundi dan hiasan bilik gerakan. Pakatan Harapan gagal sepenuhnya untuk memperlihatkan saingan dari aspek ini kerana kekurangan jentera di peringkat akar umbi.

Dalam situasi yang lebih buruk lagi jentera Pakatan Harapan di seluruh negara tidak digerakkan secara bersepadu kalangan parti-parti komponen mereka dalam menggerakkan kempen tradisi ini.

Barisan Nasional pula bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana untuk mempertahankan dasar mereka dan menyerang pihak lawan. Pembelian bahan iklan di platform media maya diterajui oleh Barisan Nasional tetapi gagal mencipta arus yang setimpal dengan pelaburan mereka.

PAS yang dahulunya terkenal sebagai parti yang mengetengahkan pemidato yang hebat dan kekuatan mengendalikan siri ceramah yang besar kelihatan tidak bermaya pada pilihan raya kali ini. 

Siri ceramah yang diadakan oleh PAS dilihat gagal menarik orang mendengarnya. PAS terpaksa mengubah strategi kepada meraih undi melalui ceramah kelompok dan program ziarah rumah ke rumah sebagai strategi utama mendekati pengundi.

Pakatan Harapan bergantung sepenuhnya kepada siri jelajah mereka yang berkembang dan meningkat mendadak sebaik sahaja pembubaran parlimen. Jelajah Pakataan Harapan menyasarkan kepada kawasan-kawasan majoriti Melayu di kawasan luar bandar berjaya menyerang psikologi jentera Barisan Nasional dan PAS. 

Kekuatan daya tarikan yang merebak pantas melalui video ‘streaming’ di FB Live serta gambar puluhan ribu hadirin dikongsi dan ditular menjadikan ianya sebagai gelombang untuk menolak Barisan Nasional.

Timbul persoalan di sini pihak manakah yang akan memenangi hati pengundi. Penguasaan media maya, media perdana atau kekuatan jentera akar umbi yang akan mempengaruhi pengundi.

Adakah majoriti pengundi yang selama ini merungut dengan beban sara hidup ekoran kelembapan ekonomi domestik dan cukai GST terubat dengan hanya melihat gahnya kibaran bendera parti ataupun retorik politik.

Penilaian kami Pakatan Harapan berjaya mencipta arus yang kuat melalui kempen mereka walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan jentera di peringkat bawahan. PAS selaku gabungan pembangkang kedua gagal mencipta arus dan hanya berharap kepada kesetiaan ahli parti mereka untuk terus berdiri megah mempertahankan panji perjuangan mereka.

Bahan kempen Barisan Nasional tidak sekata. Strategi pemasaran gambar politik Najib Razak hanya ketara di Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pahang dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. Selain daripada kawasan ini penggunaan gambar Najib Razak tidak dinaikkan sebagai bahan kempen mereka.

Isu perkauman sempit yang dimainkan oleh Barisan Nasional dan kini dilanjutkan oleh PAS tidak lagi menjadi senjata tajam dalam naratif kempen pilihan raya kali ini. 

Persona Tun Mahathir dan kewujudan PPBM telah berjaya meningkatkan keyakinan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan. Gaya kepimpinan Tun Mahathir berjaya menghapus dogma negatif dan meminimakan ketakutan Melayu terhadap DAP.

PAS dan Kingmaker

Strategi PAS untuk memenangi majoriti mudah dan sekiranya gagal konsep ‘kingmaker’ diperkenalkan bagi memperlihatkan PAS sebagai saingan politik yang tidak boleh dipandang enteng oleh lawan politik mereka. 

Gambaran strategis PAS bahawa PAS boleh memenangi dalam persaingan 3 penjuru ini dengan meyakini bahawa pengundi Melayu akan memihak kepada mereka mengatasi semua faktor lain kerana ketegasan prinsip perjuangan Islam mereka.

Namun mengikut sifir matematik pilihan raya dengan meminggirkan peratusan undi bukan Melayu secara total adalah mustahil kepada mana-mana parti politik untuk menang bersendirian. 

Populasi pengundi yang majmuk terutama di kawasan Pantai Barat memerlukan kombinasi sokongan pelbagai kaum. Strategi ini menyebabkan PAS di Pantai Barat kini terkeluar daripada arus perdana dan kelihatan terpinggir daripada sokongan pengundi bukan Melayu.

Kekuatan PAS ini hanya boleh diaplikasikan di negeri yang mempunyai komposisi Melayu 90% ke atas. PAS berupaya untuk meneruskan kelangsungan politik mereka di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Najib Razak vs Tun Mahathir

Perseteruan antara mentor dan protege telah memberikan lonjakan sokongan secara tidak langsung kepada perkembangan gelombang pengundi pada pilihan raya kali ini.

Populariti Najib Razak telah mengalami hakisan sokongan semenjak Tun Mahathir mengambil alih kemudi Pakatan Harapan. Najib Razak kelihatan hilang ‘cool’ ekoran serangan bertali arus Tun Mahathir menyebabkan beliau menyerang peribadi Tun Mahathir.

Barisan Nasional kelihatan defensif dan memilih menyerang batang tubuh Tun Mahathir menyebabkan populariti makin meningkat dan undi semakin melebar. Semakin diserang semakin mengukuh. Dengan faktor ini juga pada pusingan akhir kempen Tun Mahathir berjaya meraih dukungan tokoh-tokoh besar seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin.

Tindakan Kerajaan dalam beberapa keputusan di penghujung penggal pemerintahan ternyata membangkitkan amarah pengundi. Keputusan membubarkan pendaftaran sementara PPBM, menolak pendaftaran Pakatan Harapan, pembuangan undi pada hari Rabu dan menghalang penggunaan gambar Tun Mahathir selain di Langkawi memangkin gelombang yang menguntungkan Pakatan Harapan.

Tun Mahathir telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pemimpin pakatan pembangkang sebelum ini dalam aspek membuat keputusan kritikal. Kemampuan menamakan calon Perdana Menteri dan penggunaan satu logo adalah pencapaian yang genius dan memberikan tamparan hebat kepada Barisan Nasional.

Johor Pemicu Perubahan

Nasib Barisan Nasional di Johor kritikal. Undi bukan Melayu kini berada di paras paling maksima kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mengalami hakisan sokongan Melayu yang ketara. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Pakatan Harapan Johor dan pasukannya berjaya merobek kubu terkuat UMNO di Malaysia.

Mengikut pandangan majoriti besar pengundi yang kami temui di Johor, mereka tidak membenci UMNO tetapi menyalahkan Najib Razak kerana telah merosakkan UMNO. Ini ditambah lagi apabila negarawan dan juga mantan presiden UMNO yang juga menubuhkan UMNO baru dihina sebegitu rupa oleh pemimpin UMNO sekarang. Tindakan ini melahirkan simpati kepada Tun Mahathir dan memberikan publisiti percuma kepada Pakatan Harapan.

Jelajah Pakatan Harapan di Pasir Gudang, Muar dan Pagoh mendapat sambutan luar biasa penduduk tempatan dan sekitarnya. Momentum rapat umum ini melonjak hampir tiga kali ganda selepas pembubaran parlimen dan penamaan calon.

Gelombang yang bermula di Johor mencipta fenomena dalam setiap siri jelajah Pakatan Harapan yang memfokuskan titik-titik sasaran strategik terutamanya di kawasan lingkaran majoriti Melayu. Ini menyebabkan UMNO panik dan gagal melakukan ‘counter narative’ yang berlaku dalam kawasan yang dikuasai mereka.

Kesan gelombang ini akan menyebabkan kerusi-kerusi marginal Barisan Nasional akan tewas dan kerusi yang dimenangi selesa akan berlaku pengurangan majoriti.

Barisan Nasional bertahan dengan ‘approval rating’ yang tinggi kepada Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor.

Pencapaian kemajuan dan trek rekod UMNO Johor berada pada tahap cemerlang. Masalahnya di sini hanya kepada imej Najib Razak yang menyebabkan Barisan Nasional Johor bakal menerima hukuman.

Perubahan Landskap Demografi

Salah satu sudut pandang yang biasanya tidak disinggung oleh sebahagian besar mereka yang mengkaji pola tingkah laku politik pada pilihan raya kali ini ialah perubahan landskap demografi yang mengancam kuasa politik parti pemerintah secara semulajadi.

Saluran pengundi usia emas yang mengundi kerana identifikasi parti makin mengecil semenjak pilihanraya umum 1999. Generasi yang pernah mengubah undi mereka kerana gerakan reformasi Anwar Ibrahim kini sudah mengambil alih segmen pengundi ini.

Ini bermakna Barisan Nasional tidak boleh lagi selesa dan bergantung kepada pengundi saluran satu ini. Undi yang menyumbang kepada ‘fix deposit’ Barisan Nasional kerana faktor kematian.

Generasi ini digantikan dengan pelapis pengundi baru di kalangan generasi muda ini. Mereka mempunyai pemikiran, budaya, sudut pandang, pertimbangan dan keberanian yang jauh berbeza dengan generasi terdahulu. Padang komunikasi dan medan perdebatan generasi ini menggunakan medium baharu secara optimum.

Statistik dalam daftar pemilih SPR menunjukkan purata peratus pengundi 39 tahun ke bawah sebanyak 41.4% seluruh negara. Kelantan dan Terengganu mencatatkan peratus yang lebih tinggi daripada skala nasional. Kelantan 49.5% dan Terengganu 53.3%. Ini menggambarkan pengundi muda ini merupakan penentu kepada kalah menang pihak yang bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

Budaya tular, ‘troll’, ‘share’, ‘fb live’, ‘insta story’ dan ‘hashtag’ menguasai ruang lingkup kempen kali ini. Mana-mana pihak yang berjaya memenangi hati kelompok ini melalui ‘political marketing’ dan memanfaatkan sepenuhnya kuasa digital mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk menang.

Kesimpulan

Pengundi muda yang tinggi, taktikal berbaki jam-jam terakhir serta keazaman pengundi yang inginkan perubahan menggugat status quo Barisan Nasional.

Berasaskan semua faktor-faktor di atas, Pakatan Harapan mampu menawan Johor dengan majoriti mudah selain mengekalkan penguasaan di Selangor dan Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

Barisan Nasional pula mampu merampas Kelantan daripada PAS selain mengekalkan penguasaan mereka di Terengganu, Perlis, dan Pahang. Barisan Nasional sedikit bermasalah Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Kedah dan Perak, kami menjangkakan berlaku pertembungan sengit atau 50-50 antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Disediakan oleh:

Hisommudin Bakar
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre

Bertarikh 8 Mei 2018

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...