Pesawat Terbesar Dunia Mendarat di Malaysia. Fakta Hebat Perlu Diketahui!

Dengan ukuran 84m panjang dan 18m tinggi, Antonov An-225 mampu membawa berat berlepas maksimum 640 tan. - Foto Bernama


INFO PENERBANGAN: Ia adalah 'burung besi' terbesar dunia. Pesawat Antonov An-225 Mriya membuat persinggahan ketiga pesawat itu apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia melakukan pendaratan pada jam 7.10 pagi 14 April 2018 dalam penerbangan komersial sulungnya ke Malaysia setelah melalui kerja menaik taraf lebih setahun lepas.

Sebenarnya, pesawat kargo gergasi Ukraine itu sudah tidak asing bagi KLIA kerana ia pernah mendarat dua kali di sini iaitu pada 2007 dan 2016 sebagai pesawat pengangkut barangan komersial.

Juruterbangnya, Antonov Dmytrov, memberitahu Bernama bahawa Malaysia adalah tempat persinggahan ketiga pesawat itu selepas Leipzig, Jerman dan Dammam, Arab Saudi, bagi menghantar kargo berat.

Dmytrov, yang berpengalaman menerbangkan pesawat kargo selama 16 tahun berkata, pesawat bersama 24 anak kapal itu akan berada di sini selama tiga hari, sebelum terbang semula ke Arab Saudi.

"Pesawat ini direhatkan di Kiev selama lebih setahun (bagi tujuan menaik taraf) dan kami terbang semula untuk kali pertama pada 3 April. Ini kali kedua saya menerbangkan pesawat ini ke Malaysia," katanya.


Sementara itu, Duta Besar Ukraine di Malaysia Olexander Nechytaylo, yang hadir di KLIA bagi menyambut ketibaan anak kapal pesawat berkenaan berkata, beliau amat teruja apabila berpeluang melihat hasil hebat daripada teknologi penerbangan itu dari dekat.

"Inilah antara contoh hasil daripada teknologi yang dimiliki Ukraine. Ia menunjukkan bahawa dalam sesetengah bidang seperti aeroangkasa dan pembinaan kapal terbang, Ukraine menjadi antara peneraju di dunia.

"Saya sungguh gembira apabila pesawat ini kini berada di Malaysia dan dapatlah rakyat negara ini melihatnya sendiri," kata beliau.

Menurut eksekutif komersial Antonov Airlines, Dmytrii Dolhov, dengan ukuran 84m panjang dan 18m tinggi, Antonov An-225 mampu membawa berat berlepas maksimum 640 tan.

"Selalunya, kami mengangkut barangan super berat. Bagi pelanggan, adalah lebih cepat dan murah untuk menghantar kargo berat dengan menggunakan pesawat ini kerana ia bersamaan dengan lima pesawat lain," kata beliau.

Dolhov berkata Antonov An-225 menggunakan enam enjin dan memiliki sayap berukuran 88m panjang dan 32 tayar.

Direka bentuk oleh Antonov pada akhir 1980-an, Antonov An-225 adalah pesawat paling panjang dan paling berat yang pernah dibina setakat ini.

5 Fakta Mengenvai Antonov-AN225

1. Mriya jika diterjemahkan secara mudah bermaksud ‘Impian’, dan hanya ada sebuah ‘Impian’ di dunia pada masa ini. Ia dikuasakan oleh enam enjin turbofan dan merupakan pesawat paling berat yang pernah dibina.

Dengan berat berlepas maksimum 640 tan metrik (710 tan pendek). Ia juga mempunyai sayap terbesar bagi mana-mana pesawat dalam perkhidmatan operasi.



2. Pesawat ini dibina pembina kapal terbang Ukraine, Antonov ketika era Perang Dingin pada tahun 1980-an. Ia bertujuan mengangkut kapal angkasa lepas ‘Buran’ bagi program penerokaan angkasa Persekutuan Soviet.

3. Selepas tamatnya Perang Dingin, pesawat ini tidak bergerak selama lapan tahun akibat kekangan kewangan. Selepas itu, ia ‘lahir semula’ sebagai pengangkut kargo terbesar di dunia. Penerbangan pertamanya adalah pada 21 Disember 1988 dengan masa 74 minit penerbangan dari Kiev.

Pada 14 Mei 2016, Pesawat itu mendarat di KLIA Sepang buat kali kedua dalam sejarah pesawat itu ke Malaysia untuk mengisi minyak.

4. Kos operasinya sangat tinggi. Pada tahun 2004, kos menerbangkan sebuah serombong asap dari Billund, Denmark ke Kazakhstan mencecah USD300,000.

5. Ia mampu mengangkut 1,500 manusia pada satu masa – hampir tiga kali ganda kapasiti kapal terbang penumpang terbesar dunia. Mempunyai 32 tayar dan sayap selebar 88 meter.

SUMBER: BERNAMA/EZLEAKS

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...