Sunday, 29 April 2018

Perkhidmatan, Barang Percuma Buat Penumpang Tersenyum Daripada Syarikat Penerbangan

Foto Sumber: Logistics Middle East


INFO TRAVEL: Perjalanan menggunakan penerbangan jarak jauh dan memakan masa panjang pastinya memenatkan serta membosankan. 

Tapi semuanya itu boleh berubah dan membuatkan kita ceria dan bersemangat apabila ditawarkan sesuatu perkhidmatan atau barangan secara percuma.

Berikut tawaran menarik disediakan kepada penumpang oleh syarikat penerbangan berbeza di seluruh dunia secara percuma.


Japan's All Nippon Airways (Jepun)

Penerbangan Japan's All Nippon mula menawarkan akses Wi-Fi percuma bermula April 2018. Penumpang turut ditawarkan hampir 100 pilihan hiburan dalam penerbangan termasuklah siaran langsung televisyen.


Foto Sumber: The National

Singapore Airlines (Singapura)

Dinobatkan sebagai penerbangan terbaik 2018 oleh TripAdvisor, penerbangan ini menawarkan banyak barangan percuma untuk penumpangnya.

Jika anda singgah ke kota singa menerusi lapangan terbang Changi, (dengan menaiki Singapore Airlines, SilkAir atau penerbangan terpilih Air New Zealand), anda berpeluang mengikuti lawatan percuma selama lima jam setengah ketika transit. Malah, hadiah eksklusif Cartoon Network turut diberikan kepada penumpang berusia bawah 12 tahun.

Selain itu, penerbangan ini turut menyediakan penutup mata, penutup telinga, poskad, permainan kad dan peralatan menulis.


Foto Sumber: Fortune

Etihad Airways (Abu Dhabi)

Penerbangan yang panjang pastinya memenatkan khususnya bagi golongan kanak-kanak. Untuk mengurangkan tekanan mereka, Etihad Airways menawarkan perkhidmatan 'Flying Nanny'.

"Digelar 'pembantu di udara' mereka akan menyediakan aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak dan membantu ibu bapa sepanjang penerbangan.

Malah, mereka turut memberikan beg hadiah berisi mainan dan kraftangan untuk kanak-kanak.


Foto Sumber: Etihad Airways

Korean Air (South Korea)

Penerbangan popular ini menawarkan servis mandi percuma di Grand Hyatt Incehon's Club Olympus untuk penumpang kelas pertamanya.


Alaska Airlines (AS)

Semua penumpang (21 tahun ke atas) menaiki penerbangan ke Hawaii ditawarkan minuman koktel Mai Tai. Selain itu, minuman tidak berlakohol seperti soda, jus dan teh turut ditawarkan secara percuma.


Air France (Perancis)

Bagi mereka yang menaiki penerbangan kelas pertama, mereka akan menikmati tiga jenis hidangan yang disediakan oleh chef bertaraf bintang Michelin seperti Guy Martin dan Michel Roth. 

Gulf Air (Bahrain)

Pengasuh kanak-kanak dalam Gulf Air sememangnya dilatih khas untuk mengendalikan penumpang cilik seperti memberi makan dan menjaga mereka sewaktu mereka tidur. Malah, servis itu juga masih boleh digunakan selepas mendarat dalam tempoh masa tertentu.

Jetblue Airways (AS)

Penerbangan ini menawarkan Wi-Fi berkelajuan tinggi yang dikenali sebagai Fli-Yi. Malah, penumpang boleh menonton video dan melayari laman web dengan lancar walaupun sedang berada di udara.


KLM Royal Dutches Airlines (Belanda)

Penumpang kelas bisnes akan diberikan set peralatan yang direka oleh duo Viktor & Rolf. Selain itu, mereka akan mendapat seramik mini Dutch House keluaran Delft Blue

Scandinavian Airlines (Sweden)

Mereka menawarkan program 'Exercise in the Chair' sebagai sebahagian servis dalam penerbangan. Malah, mereka juga menyediakan 'handle bar' dalam penerbangan kelas bisnes supaya penumpang boleh meregang dan merehatkan otot belakang mereka yang lenguh sepanjang penerbangan.

Hawaiian Airlines (AS)

Apabila terbang ke Amerika Utara, penerbangan itu menawarkan makanan dan snek berasaskan pulau itu termasuklah minuman sampingan.

Turkish Airlines (Turki)

Jika anda transit di Turki dan mempunyai masa paling kurang enam jam, penerbangan ini menawarkan penjelajahan bandar yang diberi nama 'Touristanbul'. Jadi, daripada membazir masa di lapangan terbang, lebih seronok jika dapat melawat kota itu.

Asiana Airline (Korea Selatan)

Wanita yang menaiki pesawat bersama lebih tiga anak boleh menggunakan servis 'Happy Mom'. Selain itu, wanita mengandung juga akan diberi barangan khas seperti stokin panas untuk keselesaan mereka.


Foto Sumber: ETB Travel News Australia


Air Malta (Malta)

Sejak Julai 2015, Air Malta menawarkan khidmat urutan kepala dan tangan untuk penumpang kelas ekonomi dalam penerbangan antara Gatwick, England dan Malta. Ia yang dikenali sebagai Sky Spa merupakan kolaborasi syarikat penerbangan berkenaan dengan Mykos Spa.

Virgin Atlantic (UK)

Penumpang kelas ekonomi premium akan diberikan peralatan untuk keselesaan mereka bagi penerbangan sepanjang malam. Ia mengandungi peralatan kebersihan oral, penutup telinga dan macam-macam lagi. 

Malah, mereka turut diberi minuman dan surat khabar. Selain itu, snek dan goodie bag turut diberikan kepada penumpang kanak-kanak.


Foto Sumber: Luxury Travel Diary

SUMBER: MSTAR ONLINE