Pesawat MH370 Ditemui Di 'Google Earth'? Ini Penjelasannya...

Grafik: Mail Online


PENERBANGAN: Selepas timbul dakwaan mengatakan pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang ditemui di Google Earth. Pihak berkuasa dan berkaitan dengan pencarian pesawat itu tampil memberikan penjelasan.

Sebelum ini beberapa media antarabangsa melaporkan pesawat penumpang MH370 yang hilang didakwa telah dikesan di Google Earth dalam keadaan berlubang ditembusi peluru, menurut satu teori luar biasa.

Seorang jurutera mekanikal Australia, Peter McMahon yang mendakwa telah bekerja dalam siasatan nahas selama lebih dari 25 tahun menegaskan dia telah menemui pesawat tersebut, lapor Daily Star yang mana laporan tersebut turut dipetik oleh portal-portal lain seperti mirror.co.uk dan thesundaily.

McMahon, 64, telah meneliti imej NASA dan Google Maps sejak pesawat itu hilang dan telah 'ditunjukkan' ke Round Island, utara Mauritius.

Dalam penjelasan terkini, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata satu gambar Google Earth menunjukkan bentuk seperti sebuah pesawat yang didakwa seorang jurutera Australia ialah bangkai MH370, sebenarnya gambar lama diambil kira-kira 4 tahun sebelum pesawat itu hilang secara misteri.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menolak dakwaan “penyiasat” itu yang mendakwa bangkai “dipenui peluru” itu kini di perairan berdekatan Mauritius.

“Imej yang dihantar ke ATSB oleh McMahon diambil pada 6 November 2009, lebih 4 tahun sebelum pesawat itu hilang,” kata seorang jurucakap ATSB.

“Dakwaan palsu seperti ini pasti menyedihkan keluarga dan rakan mereka yang hilang dalam pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.”

Peter McMahon, jurutera Australia yang mendakwa mempunyai pengalaman 25 tahun dalam siasatan pesawat terhempas, mendakwa beliau menemui pesawat itu berdekatan Pulau Round. Katanya, ATSB menyembunyikan bukti itu.

Tetapi, ATSB berkata, McMahon menghubungi biro itu pada 2016 dan 2017, serta menafikan ia mencadangkan bukti itu mungkin ialah pesawat hilang berkenaan.

Foto Sumber: Mail Online

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang dan anak kapal.

Walaupun pencarian besar-besaran dilakukan, bangkai pesawat itu tidak pernah dijumpai.

Sayap sepanjang 2m dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion berdekatan Madagascar pada 2015, disahkan ialah serpihan pesawat terbabit.

Pencarian baharu sudah bermula di Lautan Hindi. Syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity memulakan pencarian MH370 atas dasar “tiada penemuan, tiada bayaran” pada 22 Januari lalu.

Syarikat itu akan dibayar AS$20 juta (RM78 juta) hingga AS$70 juta (RM280 juta) jika mereka berjaya menemui pesawat itu dalam 90 hari.

Kerajaan Malaysia Tolak Dakwaan Penemuan

Sementara itu, menyangkal dakwaan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata berkata Kerajaan Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam mengesahkan sebarang penemuan serpihan pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, penemuan serpihan pesawat MH370 kononnya berdasarkan penyelidikan menerusi aplikasi Google Earth serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) itu tidak mempunyai asas.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan ATSB, selain mempunyai tenaga pakar yang berpangkalan di Australia untuk mengenal pasti sebarang penemuan di kawasan pencarian.

"Setakat ini kita masih mengenal pasti kawasan pencarian sebenar adalah dekat Australia, bukan di sebelah perairan Mauritius," katanya ketika ditemui di Parlimen, pada 19 Mac lalu.

Tiong Lai berkata, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan analisis berdasarkan dokumen dan imej yang dikemukakan menerusi dakwaan McMahon.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu adalah tidak berasas, termasuk bangkai pesawat MH370 dipenuhi kesan lubang, dipercayai kesan tembakan.

"CAAM sudah mengenal pasti artikel ini dan didapati ia adalah tidak berasas, justeru orang ramai usah percaya dengan berita palsu sedemikian.

"Paling penting ialah ikuti laporan kita menerusi aplikasi dan laman web yang disediakan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung hasil pencarian MH370.

"Kita masih meneruskan usaha pencarian di selatan Lautan Hindi, merangkumi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi yang dikendalikan syarikat Ocean Infinity.

"Kita harap bangkai pesawat MH370 berupaya ditemui di kawasan yang ditetapkan," katanya.

Penafian Tiong Lai berhubung dakwaan itu turut senada dengan ATSB yang mengesahkan imej Google Earth dan dokumen NASA itu adalah tidak berasas.

Pasukan Respon MH370 menegaskan laporan bertajuk MH370 found on Google Earth yang tersebar baru-baru ini adalah tidak berasas.

Berikutan itu, Ketuanya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meminta orang ramai supaya merujuk dulu kepada pihaknya atau pun laman sesawang mereka untuk pengesahan, laporan serta berita yang berkaitan dengan MH370.

“Kami berpendapat tindakan menyiarkan laporan seperti itu adalah tidak beretika, mengambil kira perasaan keluarga serta orang tersayang yang terlibat dengan tragedi MH370,” katanya dalam satu kenyataan.


SUMBER:
1. REUTERS
2. BERITA HARIAN ONLINE
3. UTUSAN ONLINE

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...