Airbnb Lancar Lebih 40 Destinasi & Pengalaman Menarik Di Malaysia

Foto Sumber: LinkedIn

TRAVEL: Kewujudan perkhidmatan Airbnb memberikan satu lagi kemudahan kepada pengguna bagi menikmati dan merasai pengalaman menarik dan unik di destinasi pelancongan menjadi pilihan.

Dalam perkembangan terbaharu, syarikat hospitaliti berasaskan komuniti terkemuka dunia Airbnb itu melancarkan lebih daripada 40 destinasi yang menawarkan pengalaman menarik kepada pelanggan mereka di Kuala Lumpur.

Airbnb merupakan salah satu perkhidmatan yang popular digunakan oleh ramai pelancong untuk mendapatkan tempat tinggal sementara pada harga yang lebih berpatutan berbanding dengan hotel dan sebagainya.

Menurut syarikat itu, Malaysia adalah salah satu daripada pasaran Airbnb paling cepat berkembang di Asia, dengan sewa melonjak 137 peratus pada 2017.

Populariti Malaysia Jadi Tarikan Airbnb Mengorak Langkah

Berikutan peningkatan populariti Malaysia sebagai sebuah destinasi global, bandar raya Kuala Lumpur kini menjadi destinasi terbaharu dalam kalangan  60 destinasi lain di dunia yang menjadi pilihan buat Airbnb mengorak langkah.

Pengarah Jabatan Perjalanan bagi Asia Tenggara dan India Airbnb, Sriram Vaidhya berkata, selain melangkaui khidmat perkongsian penginapan, Airbnb kini turut menawarkan lawatan dan aktiviti seperti warga tempatan bagi memastikan pengunjungnya dapat menjelajahi tempat dan lokasi yang sukar diterokai.

'Pengalaman' Airbnb merupakan aktiviti tempatan yang direka dan diterajui oleh pakar tempatan berpengalaman yang berkongsi sudut pandangan tempatan mengenai bandar mereka bersama pengembara.

"Antara Pengalaman yang ditawarkan termasuk sehari dalam kehidupan pelukis batik, pelajari cara mencipta karya asli, lari daripada kesibukan dunia moden dan jelajahi hutan dengan air terjun tersembunyi atau pelajari tentang menoreh getah di salah sebuah ladang getah terakhir di bandar raya ini," katanya.

Menurutnya, pengalaman di Kuala Lumpur bukan sahaja memudahkan usahawan Malaysia untuk berkongsi minat dan hobi mereka bersama orang ramai dari seluruh dunia, malah platform ini juga menyaksikan warga tempatan memanfaatkannya untuk menyumbang kembali kepada komuniti menerusi Pengalaman Impak Sosial.

"Pengalaman Impak Sosial Airbnb memberi peluang kepada usahawan tempatan berkongsi lebih mendalam mengenai perjuangan mereka. Airbnb tidak mengambil sebarang bayaran, dan 100% daripada dana yang dikumpul daripada tetamu disalurkan kepada organisasi kebajikan yang dipilih oleh hos tempatan.

"Antara inisiatif yang terlibat termasuk 'Dapur Jalanan', sebuah organisasi sukarela yang menawarkan makanan percuma kepada gelandangan serta sesi mendalam bersama komuniti kurang upaya," katanya.

Pelancaran Airbnb di Kuala Lumpur

Pelancaran Pengalaman Airbnb di Kuala Lumpur ini turut mensasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi percutian yang terkemuka di dunia, sekaligus membolehkan pengembara untuk menerokai sisi bandar ini yang berbeza dan tinggal seperti warga tempatan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Pengalaman Airbnb, lawati www.airbnb.com/experiences. -

Airbnb Akur Bekerjasama Dengan Malaysia Pelaksanaan Cukai

Airbnb Inc bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi dikenakan cukai, dengan usaha awal ditumpukan kepada cukai pelancongan.

Bloomberg Tax melaporkan syarikat sewaan bilik hotel dalam talian yang berpangkalan di San Francisco itu sedang dalam rangka memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, yang mana dikenakan cukai pelancongan baharu sebanyak RM10 semalam kepada ahli Airbnb yang menyewa lima bilik atau lebih.

Cukai pelancongan itu juga menandakan permulaan kepada pelaksanaan rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Pertemuan kami dengan pihak berkuasa Malaysia menghasilkan perbualan yang bermakna dan produktif, "kata Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, Mich Goh.

"Kami mahu membantu hos kami untuk mengikuti peraturan dan kami sedang memberitahu mereka dengan aktif mengenai semua peraturan baharu ini," katanya.

SUMBER:
1. BLOOMBERG
2. BERITA HARIAN

Popular posts from this blog

AirAsia X Tawar Harga Promosi 'Gila-Gila' Bermula RM288

Singapore Airlines Henti Hidang Kacang Tanah

Tawaran 'Gila-Gila': Malaysia Airlines Tawar Potongan Harga Sehingga 40%