AirAsia & NYSE:CRM Jalin Kerjasama Strategik

Foto Sumber: TechCrunch

BISNES: Bagi memantapkan perkhidmatan pelanggannya untuk era digital, AirAsia mengumumkan pemilihan Salesforce (NYSE: CRM), sebuah syarikat ternama global dalam pengurusan perhubungan pelanggan sebagai rakan kongsi strategik teknologinya.

AirAsia menamakan bahagian perkhidmatan pelanggannya kepada Bahagian Kebahagiaan Pelanggan dan akan menggunakan produk Salesforce Sales Cloud, Service Cloud, Marketing Cloud dan Community Cloud.

Ia sebagai sebahagian daripada strateginya untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih pantas dan lebih peribadi untuk para pelanggan.

Ejen perkhidmatan AirAsia merentasi lapan negara kini mempunyai satu pandangan bagi semua kes daripada semua saluran sokongannya sama ada melalui web, telefon, e-mel, sembang langsung, komunikasi lapangan terbang dan sejarah lengkap mereka, sekali gus membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan peribadi yang lebih baik.

Salesforce Community Cloud memperkasa komuniti sokongan AirAsia dalam lapan bahasa berlainan dan para tetamu untuk melayani diri dengan sistem pangkalan data berpengetahuan, membolehkan AirAsia meningkatkan taraf perkhidmatannya, tahap produktiviti dan keupayaan ejen perkhidmatan mereka, seterusnya memacu industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, tahun ini mereka ingin menumpukan perhatian kepada kebahagiaan para tetamu. 

"Ini bermakna kami akan mengetengahkan para tetamu dan keperluan mereka dalam semua yang dilakukan. Salesforce adalah pusat pendekatan pelanggan kami kerana ia memberikan pandangan lengkap bagi setiap tetamu menerusi semua saluran, supaya kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan lebih peribadi.

“Kami melihat aduan yang dikemukakan sebagai kajian pasaran yang percuma. Mereka berusaha untuk memaklumkan masalah dan bagaimana ia perlu dipertingkatkan.

"Syarikat lain melabur sejumlah wang untuk pakar perunding memaklumkan mereka perkara yang sama, jadi kami menghargai setiap aduan. Saya menggesa para tetamu untuk menggunakan sepenuhnya saluran sokongan rasmi untuk penyelesaian terpantas oleh bahagian Kebahagiaan Pelanggan kami yang diketuai oleh Mimi Phua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Pengurus Besar Salesforce Asia Pasifik, Mark Innes berkata, dalam landskap yang kompetitif hari ini, syarikat penerbangan perlu selaras dengan keperluan pelanggan, kadang kala sebelum mereka mengetahuinya.

Katanya, AirAsia adalah satu contoh yang terbaik bagi syarikat yang berorientasikan pelanggan dan sentiasa berinovasi.

"Salesforce berada di kedudukan yang unik untuk membantu AirAsia dalam perjalanannya untuk mengetengahkan para pelanggan dan kami berbangga menjadi rakan kongsi strategik teknologinya," katanya.

Orang ramai boleh mengubungi perkhidmatan sokongan pelanggan AirAsia melalui Sembang Langsung (Live Chat), Twitter, e-mel dan pusat panggilan yang tersenarai di https://support.airasia.com. 

SUMBER: KOSMO!

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...