OLEH: MOHD EZLI MASHUT
GLOBAL/HEBAT: Pergerakan pembebasan Palestin HAMAS meraikan ulang tahunnya ke-30 pada 14 Disember 2017 dalam acara sambutan besar-besaran yang berlangsung di Al-Katiba Square.
Sambutan itu ketika isu antarabangsa kian memuncak ekoran Amerika Syarikat mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara rejim Zionis pada 6 Disember 2017.
Namun pendirian tegas dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa di Istanbul pada 13 Disember 2017 apabila sebulat suara mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.
Gesaan juga dilakukan OIC yang mahu masyarakat dunia untuk mengambil tindakan sama.
Deklarasi Istanbul itu juga menegaskan peranan negara kuasa besar Amerika Syarikat sebagai penaja perdamaian di Asia Barat tidak lagi sah.
Pertubuhan yang dianggotai 57 negara anggota turut menegaskan, semua negara anggota komited kepada 'satu-satunya penyelesaian komprehensif bagi memastikan keamanan' di wilayah terbabit.
Dalam sambutan HAMAS ke-30 itu, ribuan penyokong dan orang ramai bersama-sama turun padang bagi meraikan dan memberikan sokongan terhadap usaha membebaskan Palestin daripada penjajahan rejim Zionis.
Pergerakan pembebasan HAMAS wujud sejak Intifadah pertama Palestin pada 1987. Hamas diwujudkan sebagai tindak balas terhadap pendudukan Israel yang tidak sah di Tebing Barat dan jalur Gaza.
Pengasas dan pemimpinnya, Sheikh Ahmed Yassin, adalah pahlawan kepada ramai warga Palestin yang kecewa dengan kelemahan hasil dari proses damai ketika itu.
Di bawah kepimpinan Meeshal, HAMAS meraih kejayaan dalam pilihan raya pada 2006. Dalam tempoh 11 tahun HAMAS menerajui Semenanjung Gaza, sebanyak tiga peperangan terhadap rejim Zionis berjaya dihadapi bagi mematahkan segala serangan dan pencerobohan Israel.
Berikut adalah suasana Sambutan ke-30 HAMAS seperti dilaporkan SYEHAB NEWS AGENCY/ GAMBAR: SYEHAB NEWS AGENCY: