12 Perkara Wajib Isteri Patut Tahu Harta Peninggalan Arwah Suami

    Foto Sumber: Wikipedia


Kematian semakin hampir, setiap hari kita dikhabarkan dengan kematian. Tidak kira usia maupun jantina.

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.


2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.


3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.


4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.


5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.


6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.


9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.


10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.


11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.


12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.


Untuk lebih mudah, uruskan harta anda di Majlis Agama Islam Selangor, layari www.mais.gov.my


Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor


OCBC Lulus Semua Permohonan Moratorium


    Foto Sumber: OCBC


OCBC Malaysia memproses semua pendaftaran pakej moratorium dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penolakan sejak bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilancarkan 7 Julai lalu.

Pendaftaran berkaitan perbankan pengguna hampir kesemuanya diproses pada hari sama, manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam masa tujuh hari, lebih singkat berbanding tempoh 14 hari yang ditetapkan bagi usaha berkenaan.

OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islam miliknya, OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin).

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata bank itu komited untuk terus membantu pelanggan yang menanggung beban kewangan akibat kesan pandemik.

Beliau berkata, bank itu merangka sistem dalaman yang mantap untuk memastikan semua pendaftaran diproses dengan lancar, agar pelanggan boleh meneruskan usaha membina semula perniagaan tanpa perlu bimbang dengan pinjaman dan pembiayaan pada masa-masa sukar.

"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelanggan seharusnya kekal positif tidak kira betapa mencabar keadaan kerana mereka boleh mendapatkan bantuan.

"Kami percaya kebanyakan daripada mereka yang memerlukan bantuan sudah pun menerimanya.

"Bagaimanapun, jika ada sesiapa yang masih belum mendaftar dan perlu melakukannya, sila berbuat demikian di dalam talian menerusi proses pendaftaran mudah kami," katanya dalam kenyataan media pada 9 Ogos 2021/Isnin.

Eng Bin berkata, walaupun angka kes COVID-19 masih tinggi, keyakinan bank tetap disokong oleh kadar pemvaksinan tinggi yang dicapai oleh negara ini.

Katanya, ia bermakna perniagaan boleh dibuka semula secara beransur-ansur supaya ekonomi boleh kembali rancak dan meneruskan kelangsungan perniagaan pelanggan.

Di bawah pakej PEMULIH, pelanggan boleh mendaftar di dalam talian atau di cawangan bank untuk mendapatkan sama ada penangguhan ansuran enam bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

Selain program moratorium asas, OCBC Bank juga menawarkan ahli kad kredit peluang untuk menukarkan baki belum jelas menjadi pinjaman atau pembiayaan tiga tahun dengan kadar faedah atau keuntungan lebih rendah supaya mereka boleh menguruskan hutang masing-masing dengan lebih baik.

Selepas 200 Juta Dijangkiti, WHO Bimbang Kesan Sindrom Pasca COVID-19

Foto Sumber: FDA


GLOBAL | Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan mendalam terhadap bekas pesakit COVID-19 yang tidak diketahui jumlahnya, selepas hampir 200 juta masyarakat di seluruh dunia menjadi mangsa pandemik itu.

Ketua Teknikal COVID-19 Agensi Kesihatan PBB, Maria Van Kerkhove, berkata WHO menggesa orang ramai yang berdepan kesan sampingan atau sindrom pasca COVID-19, segera mendapatkan bantuan perubatan meskipun sudah pulih.

Katanya, kesan sindrom pasca COVID-19 menjadi satu daripada aspek paling misteri pandemik berkenaan.

"Sindrom pasca COVID-19 atau COVID-19 berpanjangan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan," katanya dalam sidang media, di sini pada 4 Ogos 2021/Rabu.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 5 Ogos 2021/Khamis melaporkan Van Kerkhove berkata, WHO memastikan bahawa pihaknya sedang mengenalpasti perkara itu kerana ramai kalangan mereka yang terkena jangkitan SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19 berdepan kesan jangka panjang.

"Kita tidak tahu selama mana kesannya akan berakhir dan kita sedang berusaha mengkaji kes untuk lebih memahami sekali gus mengenalpasti sindrom pasca COVID-19," katanya.

Beliau berkata, WHO juga sedang berusaha melaksanakan program penyembuhan lebih baik untuk bekas pesakit COVID-19 selain untuk penyelidik memahami lebih baik mengenai sindrom terbabit serta cara mengawalnya.

Malah WHO mengadakan beberapa siri seminar tahun ini yang memfokuskan untuk meluaskan pemahaman terhadap keadaan pasca COVID-19 membabitkan pendapat bukan hanya dari saintis dan doktor malah pengalaman pesakit sendiri.

Hanya sedikit dapatan diperoleh mengenai faktor sesetengah pesakit COVID-19 yang berdepan kesukaran untuk sembuh selain berdepan simptom berpanjangan sukar bernafas, keletihan melampau, keliru dan masalah jantung serta neurologi.

Ketua rawatan klinikal dalam program kecemasan WHO, Janet Diaz yang mengetuai usaha organisasi itu berkaitan pesakit pasca COVID-19 berkata, lebih 200 simptom dilaporkan sehingga kini membabitkan sakit dada, kebas dan ruam.

Diaz berkata, sesetengah pesakit mempunyai simptom berpanjangan selepas fasa akut, namun ada juga semakin baik sebelum mengalami kesan berkenaan.

Selain itu, ada yang simptomnya datang dan pergi manakala ada yang mengalami gejala terbabit selepas sembuh dari fasa akut.

Kajian lebih jauh hanya boleh dilakukan terhadap pesakit pertama yang sembuh daripada COVID-19 iaitu virus yang pertama kali muncul di China pada Disember 2019.

Diaz berkata, sesetengah individu dilihat berdepan keadaan pasca COVID-19 selama tiga hingga enam bulan.

"Kita bimbang wujudnya bilangan kecil yang simptomnya boleh berlarutan hingga sembilan bulan malah lebih daripada tempoh itu," katanya.

Sementara itu, pakar di Amerika Syarikat (AS) mengakui sehingga kini masih belum memahami sepenuhnya punca pasca COVID-19 berlaku dengan pelbagai hipotesis dikeluarkan termasuk masalah neurologi, kesan balas imun terhadap jangkitan dan virus kekal di dalam sesetengah organ. 


Cuaca Ekstrem: Suhu Permukaan Tanah Lepasi 50 Darjah Celsius

   Foto Sumber: goerie.com

GLOBAL | Gelombang haba tinggi yang sedang melanda Turki dan Cyprus, menyaksikan suhu permukaan tanah meningkat hingga melepasi 50 darjah Celsius untuk kali kedua dalam tempoh sebulan, kata Agensi Angkasa Eropah (ESA), semalam.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 4 Ogos 2021/ Rabu melaporkan keadaan bertambah kritikal apabila Turki terpaksa bergelut dengan kebakaran hutan terburuk dalam tempoh beberapa dekad, apabila api marak terus menjilat kawasan pantai Mediterranean dan Aegean sejak seminggu lalu.

Negara jiran, Greece memaklumkan, rekod gelombang haba yang dicatatkannya pula adalah berkait dengan perubahan iklim.

ESA turut menerbitkan satu peta rantau terbabit dengan meliputi Cyprus, yang menunjukkan tompokan 'sangat merah' di sejumlah besar kawasan.

"Suhu permukaan di Turki dan Cyprus jelas mencecah lebih 50 darjah Celsius, sekali lagi," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Peta sebelum ini yang dikeluarkan bersama data daripada satelit Copernicus Sentinel-3, turut menunjukkan imej serupa pada 2 Julai lalu.

"Ramalan cuaca menggunakan jangkaan suhu udara, berbanding instrumen satelit ini yang mengukur jumlah sebenar tenaga terpancar dari bumi dan menggambarkan suhu sebenar permukaan tanah," katanya.

Suhu permukaan tanah adalah berbeza - dan lazimnya lebih ekstrem - daripada suhu udara yang dimasukkan dalam laporan cuaca.

Di Turki, suhu melebihi 40 darjah Celsius mencengkam bahagian selatan, menyebabkan penggunaan elektrik melonjak sehingga mencetuskan gangguan bekalan tenaga itu di beberapa bandar termasuk Ankara dan Istanbul, kelmarin.

Menurut saintis, gelombang haba semakin banyak melanda seluruh dunia susulan perubahan iklim, dan diramal bertambah kerap serta buruk sejajar peningkatan suhu global. 

Mangsa Banjir China Cecah 302, Puluhan Masih Dicari

   Foto Sumber: BBC News

GLOBAL | Kematian akibat tragedi banjir di wilayah tengah China meningkat kepada 302 orang dengan puluhan lagi masih lagi hilang, kata pegawai kerajaan yang menyatakan jumlah hujan dalam tempoh setahun turun hanya dalam tempoh tiga hari.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 3 Ogos 2021 melaporkan Zhengzhou, yang juga ibu negeri wilayah Henan dan pusat kejadian banjir itu paling teruk terjejas dengan 292 mangsa maut serta 47 hilang.

Penduduk terperangkap dalam kenderaan bawah tanah, tempat letak kereta bawah tanah dan juga terowong.

Sebelum ini, gambar ramai penumpang kenderaan menjadi viral apabila banjir berada di paras bahu di sebuah pengangkutan bawah tanah di Line 5 dengan 14 daripadanya maut, manakala puluhan kenderaan berpenumpang tersangkut di dalam terowong.

Datuk Bandar, Hou Hong berkata kepada wartawan, banyak yang maut di Zhengzhou akibat banjir dan tanah runtuh, malah berkata, mereka menemui 39 mayat di tempat letak kereta bawah tanah dan ruang bawah tanah yang lain.

Tragedi itu adalah kejadian banjir terburuk China dalam tempoh sedekad.

Hujan bermula 17 Julai memberi kesan kepada 14 juta orang, merosakkan ribuan rumah dan mengakibatkan kerugian ekonomi mencecah 53 bilion yuan (RM34.6 bilion) di Zhenzhou sahaja.

Namun, kerugian keseluruhan di seluruh wilayah itu dijangka berganda dari jumlah itu.

Pakar mendakwa, kejadian cuaca buruk - banjir besar dan kemarau - adalah disebabkan perubahan iklim.

Namun, persoalan kini adalah bagaimana China bersedia untuk menghadapi cuaca buruk sedemikian, ketika penduduk kini sedang menghitung kos kehilangan perniagaan dan harta benda. 

Sumber: AFP

Arab Saudi Mula Siap Sedia Terima Jemaah Umrah

   Foto: Haramain Sharifain

JEDDAH: Lebih 20,000 jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi bakal menunaikan umrah dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut Kementerian Haji dan Umrah pada 31 Julai 2021/

Jurucakap kementerian, Hisham Bin Saeed, berkata kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA).

Ketika ini negara yang berdepan larangan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.

Memetik laporan Saudi Gazette, larangan itu disebabkan oleh peningkatan berterusan kes coronavirus dan variannya di negara-negara berkenaan.

Kira-kira 500 syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah asing bersiap sedia menerima jemaah umrah asing yang divaksin.

Jemaah yang berhasrat menempah pakej umrah dan membuat semua pembayaran melalui kira-kira 30 laman web dan platform elektronik yang tersedia bagi tempahan global, menurut Ahli Jawatankuasa Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri.

Hanya individu yang lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan memohon visa umrah. Calon umrah juga mesti berada dalam keadaan kesihatan baik dan mematuhi protokol yang bertujuan memastikan keselamatan jemaah dari luar negara, kata ahli jawatankuasa itu dalam satu kenyataan. 

Sumber: AGENSI/ 1 Ogos 2021

Agong Amat Dukacita, Pembatalan Ordinan Darurat Belum Diperkenan

   Sumber Grafik: BERNAMA


 Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menzahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada hari Isnin lalu (26 Julai, 2021).

Ianya adalah sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.

Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.






Jemaah Antarabangsa Dibenarkan Umrah Mulai 10 Ogos


The Mataaf during Tawaaf Al Wada by Hujjaj Photo By: Haramain Sharifain

GLOBAL | Arab Saudi pada 25 Julai 2021 mengumumkan ibadah umrah dibuka semula kepada jemaah dari luar negara, bermula 10 Ogos depan.

Menurut laporan Gulf News yang memetik agensi berita negara, SPA, ia adalah susulan kelancaran musim haji tahun ini selesai dengan jayanya.

Ibadah umrah bagi rakyat Arab Saudi dan penduduk ekspatriat di negara ini, sudah dibuka semula mulai semalam.

Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdul Rahman Al-Sudais, mengarahkan semua ahli gabungan kompeten supaya memuktamadkan persediaan untuk menerima jemaah meliputi umrah di Masjidil Haram, Tanah Suci Makkah.

Beliau sekali gus meminta petugas terbabit berusaha sedaya upaya dan memastikan pelaksanaan semua langkah pencegahan di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, Madinah, selaras 'kerja dan kelancaran cemerlang' pada musim Haji, minggu lalu.

Awal bulan ini, Kementerian Haji dan Umrah menggantung sementara permohonan untuk menunaikan solat dan ibadah umrah di Masjidil Haram.

Ia bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadah dengan lancar dan petugas menyelesaikan kerja sanitasi di Masjidil Haram menjelang musim Haji tahun ini.

Sementara itu menurut ciapan dalam Twitter Haramain Sharifain, penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan yang dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.

Selain itu, diwajibkan telah menerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap sama ada vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).

               Grafik Sumber: Haramain Sharifain

Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos 'penggalak' sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.

Seterusnya, dibenarkan untuk jemaah berusia 18 tahun dan ke atas, serta ketibaan melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

SUMBER : AGENSI/ 26 JULAI 2021

Cuaca Panas & Kering hingga September, Curahan Hujan Rendah

CUACA | Keadaan Monsun Barat Daya dialami Malaysia ketika ini yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, berlaku akibat keragaman iklim.

BH Online pada 24 Julai 2021 melaporkan Pakar Klimatologi dan Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata Monsun Barat Daya selalunya bermula pada Jun dan berakhir pada Ogos atau awal September, diikuti musim peralihan monsun pada September serta Oktober.

Katanya, secara kebiasaannya, curahan hujan juga rendah pada musim Monsun Barat Daya terutama pada Julai, selain suhu lebih tinggi berbanding bulan lain.

"Ketika musim peralihan monsun pada September dan Oktober, curahan hujan akan meningkat terutama pada waktu petang serta lewat petang dan suhu biasanya rendah berbanding bulan sebelum itu.

"Selain keadaan musim monsun itu, wujud fenomena gangguan cuaca dipanggil Ayunan Madden-Julian juga mempengaruhi keadaan curahan hujan dan suhu di Malaysia bergantung kepada fasa fenomena ini dan musim ia berlaku.

"Jika ia berlaku pada musim Monsun Barat Daya dan berada pada fasa 1 hingga 4, fenomena Ayunan Madden-Julian ini akan meningkatkan jumlah hujan dan menurunkan suhu," katanya.

Fredolin berkata, ia berkaitan kehadiran pusat perolakan ditingkatkan berskala besar di kawasan Malaysia dan Indonesia.

"Keadaan ini menyebabkan cuaca dialami ketika ini kering dan panas. Ini keadaan biasa dan sebagai sebahagian daripada keragaman iklim.

"Setakat ini kawasan di utara Semenanjung mungkin lebih terkesan dengan cuaca panas berbanding kawasan lain di negara ini.

"Di Sabah dan Sarawak, kesan gelombang haba ini dijangka kurang berbanding di Semenanjung Malaysia," katanya yang menjangka suhu tidak melebihi 40 darjah Celsius.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata orang ramai disaran mengelak melakukan aktiviti membabitkan pendedahan kepada matahari secara terus.

Katanya, ia bagi mengekalkan kesihatan sepanjang musim panas ini, selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Bagi yang perlu bekerja di luar, perlu sentiasa memakai krim pelindung matahari bagi menghalang kulit daripada sinar ultra ungu matahari (UV) yang boleh menyebabkan risiko untuk jangka panjang," katanya.

Dr Halimatus Sakdiah berkata, pendedahan kepada cahaya matahari pada suhu melebihi 32 darjah Celsius secara berterusan untuk tempoh lama, boleh menyebabkan seseorang diserang keletihan dan kekejangan haba.

Katanya, pendedahan berterusan kepada matahari terutama pada tengah hari dan petang, selain kekurangan hidrasi boleh mendatangkan masalah kesihatan.

"Justeru, seseorang itu perlu kerap minum air kosong atau mineral sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas sehari.

"Orang ramai juga perlu mengelak minuman bergula dan beralkohol kerana ia akan menyebabkan dehidrasi," katanya.

Namun, katanya, apa yang paling penting adalah sentiasa peka dengan simptom hidrasi termasuk sakit kepala, mulut, bibir dan mata kering, kekejangan, rasa letih serta pening atau keliru.

Sumber: BH ONLINE/24 Julai 2021

   Sumber Grafik: BERNAMA

TERKINI

ANALISIS | RS-2: Menuju Kuasa Ekonomi ASEAN - Selangor Mesti Jadi Negeri Kaya Peluang, Bukan Sekadar Kaya Angka

--- Penulisan Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Sumber Infografik : Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut --- Bayangkan Selangor pada tahun 2...