OPR Naik Lagi, Peminjam Kena Tambah Ansuran Bulanan

  Foto : Bank Negara Malaysia


PERBANKAN | Peminjam yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah perlu membayar kadar faedah lebih tinggi, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali kepada 2.50 peratus, tahun 2022.


Setiap kali OPR dinaikkan, pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat dan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.


BH Online pada 10 September 2022/Sabtu melaporkan penganalisis hartanah berkata sebagai contoh, untuk pembiayaan perumahan sebanyak RM500,000 (90 peratus) dengan tempoh 30 tahun pada kadar keuntungan 3.75 peratus, jumlah bayaran setiap bulan ketika ini ialah sebanyak RM2,084.02.\


Ahyat Ishak menjelaskan berdasarkan kadar semasa selepas kenaikan OPR, peminjam perlu membayar sekitar RM186.80 tambahan untuk kediaman berharga RM500,000 berbanding RM1,897.22 ketika OPR berada pada paras terendah 1.75 peratus.


Ditanya sama ada kenaikan terbaharu OPR akan mengekang rakyat membeli rumah, Ahyat berkata, perkara itu benar kerana kemampuan pemilikan kediaman terletak kepada penentuan kadar faedah yang ditetapkan bank.


Jelasnya apabila kadar faedah rendah, kemampuan rakyat memiliki rumah sangat tinggi kerana mampu membayar lebih untuk kediaman sama. Ketika ini, kenaikan hampir RM200 ini boleh disifatkan tinggi.


"Kadar faedah yang ditetapkan bank ini menentukan kemampuan rakyat untuk membeli kediaman. Jika sebelum ini, mereka mampu membeli kediaman berharga RM500,000, namun dengan kadar baharu sudah pasti kemampuan mereka terjejas.


"Pengiraan ini sekadar asas kerana bank memiliki pengiraan sendiri untuk menentukan jumlah kenaikan bayaran bulanan," katanya.


Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, kenaikan OPR bertujuan mengurus penawaran wang dalam ekonomi serta mengawal permintaan agregat dalam ekonomi.


Katanya, kenaikan sedikit sebanyak, walaupun secara tidak langsung, akan turut mempengaruhi tingkat harga barang dan perkhidmatan supaya tekanan peningkatan dapat diurus dengan baik.


"Saya melihat kenakan OPR tepat pada masanya dengan melihat kepada situasi terkini ekonomi Malaysia, terutamanya dalam indikator ekonomi utama, seperti nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi dan tahap pengangguran.


"Begitu juga dengan perkembangan terkini situasi ekonomi global dan dasar monetari yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara, terutamanya negara maju," katanya.


Dari aspek pengguna pula, Irwan Shah berkata, bergantung kepada tahap pendapatan seseorang kerana secara umumnya, ada peningkatan dari segi kos pembayaran balik hutang.


Mengulas mengenai kesan kenaikan ansuran bulanan bagi pembiayaan atau pinjaman, beliau menjelaskan, kadar OPR baharu sememangnya akan meningkatkan bayaran bulanan, tetapi masih lagi rendah berbanding dengan kos sebelum era pandemik.


"Ini bukanlah satu tindakan mengetatkan dasar daripada BNM, tetapi hanyalah proses normalisasi.


"Saya berpendapat tidak semestinya kenaikan OPR akan mengekang pemilikan kediaman. Jika ada sekalipun, hanyalah satu keadaan jangka pendek," katanya.


OPR Mungkin Dinaikkan Sekali Lagi Pada November 2022


Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka terus dalam aliran meningkat bagi mengawal peningkatan harga mendadak dalam negara dengan satu lagi kenaikan 25 mata asas November ini, demikian kata penganalisis.


Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan/ Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata peningkatan OPR untuk kali ketiga dengan sebanyak 75 mata asas setakat ini kepada 2.50 peratus adalah sejajar dengan jangkaan pihaknya dan konsensus.


Beliau berkata, sebab utama OPR terus meningkat adalah berikutan pertumbuhan kukuh ekonomi dan kebimbangan inflasi yang didorong oleh faktor bekalan dan permintaan.


"Terdapat kemungkinan lagi kenaikan 25 mata asas yang akan dibuat pada mesyuarat (MPC) November ini, bergantung kepada data akan datang," katanya dalam satu nota penyelidikan/ pada 9 September 2022.



Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 7 September 2022 memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, selepas peningkatan pada Mei dan Julai lalu dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas.


Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata pihaknya juga menjangkakan lagi kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC akan datang, yang dijadualkan diadakan pada 2 hingga 3 November 2022.


Beliau berkata, tinjauan OPR oleh pihaknya secara keseluruhan adalah kenaikan sebanyak 100 mata asas kepada 2.75 peratus bagi 2022, yang mana kini kenaikan 75 mata asas sudah dibuat kepada 2.50 peratus.


Pihaknya turut menjangkakan satu lagi kenaikan 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada awal 2023 yang mana kemungkinan pada mesyuarat MPC pertama untuk tahun depan.


Ahli Ekonomi Kanan Oxford Economics, Alex Holmes, berkata pihaknya melihat BNM akan kekal dengan pendekatan beransur-ansur dan menaikkan lagi 25 mata asas pada mesyuarat MPC terakhir bagi tahun ini pada November.


Beliau berkata, keputusan BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus adalah berdasarkan penilaian bahawa prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal utuh.


Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 8.9 peratus pada suku kedua berbanding lima peratus pada suku pertama 2022, dan prospek jangka pendek kekal cerah, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, pemulihan pelancongan dan mengurangkan kekurangan pekerja.


"Kami baru-baru ini menaikkan unjuran untuk 2022 kepada 8.8 peratus berbanding 6.4 peratus sebelumnya.


"Kami jangka satu lagi kenaikan 25 mata asas tahun ini pada November, sebelum BNM mengekalkan kadar sepanjang 2023 pada 2.75 peratus, di bawah paras prapandemik. Keputusan adalah mengutamakan sokongan terhadap pertumbuhan akan membantu mengurangkan inflasi," katanya.


Namun, CGS-CIMB Research mempunyai pandangan berbeza dengan mengekalkan pandangannya bahawa kemungkinan BNM tidak menaikkan OPR pada mesyuarat terakhir MPC tahun ini, sekali gus menyaksikan kadar faedah kekal pada 2.50 peratus.


Bagaimanapun, ia berkata, bagi 2023, pihaknya mengunjurkan dua kenaikan 25 mata asas yang menjadikan OPR pada 3.00 peratus.


Pada masa sama, ia juga tidak menjangkakan keadaan global yang lebih baik pada masa akan datang berikutan faktor termasuk AS yang berkemungkinan mencatat ekonomi lebih perlahan susulan pelaksanaan beberapa siri kenaikan kadar faedah.


Selain itu, katanya, krisis tenaga di Eropah dijangka menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) mengalami kemelesetan manakala ketidaktentuan pasaran hartanah China pula hanya memaparkan sebahagian kecil daripada masalah sebenar.


"Ini menjadikan dorongan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan bergantung sepenuhnya ke atas ekonomi domestik dengan pemangkin utama kekal terhad kepada pemulihan sektor pelancongan dan faktor yang boleh menaikkan permintaan," katanya dalam satu nota.


Sumber Berita : BH Online 



TERKINI

Turkiye Sedia Tawar Jet Pejuang Generasi Kelima KAAN Untuk Pertahanan Udara Malaysia

  Turkey’s Fifth-Generation Fighter Jet: The KAAN source:  Anadolu Agency PERTAHANAN | Turkiye sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam proje...