GLOBAL | MOSCOW: Presiden Russia Vladimir Putin pada 27 Februari 2022 mengarahkan ketua pertahanannya meletakkan 'pasukan pencegahan' negara itu dalam keadaan sangat bersedia - merujuk kepad'a unit yang termasuk senjata nuklear - susulan kenyataan agresif oleh pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekatan ekonomi terhadap Moscow.
Ini kerana beliau menuduh negara Barat mengambil langkah 'tidak mesra' terhadap negaranya di tengah-tengah pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor AGENSI pada 27 Februari 2022.
"Saya mengarahkan menteri pertahanan dan ketua kakitangan am angkatan tentera Russia untuk meletakkan pasukan pencegahan tentera Russia ke dalam mod khas perkhidmatan tempur," kata Putin dalam ucapan di televisyen.
Sementara itu di Washington, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, berkata arahan Putin untuk meletakkan pasukan nuklear Russia dalam keadaan berjaga-jaga adalah sebahagian daripada corak ancaman yang direka Moscow untuk mewajarkan pencerobohan.
"Kita telah melihat beliau melakukan ini berulang kali. Russia tidak pernah diancam oleh NATO, adakah Russia berada di bawah ancaman dari Ukraine," kata Psaki dalam program 'Minggu Ini' ABC.
"Ini semua adalah cara Presiden Putin dan kami akan menentangnya. Kami mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri, tetapi kami juga perlu bertindak terhadap apa yang kami lihat di sini daripada Presiden Putin," tambah Psaki.
Amerika Syarikat (AS) terbuka untuk memberikan bantuan tambahan kepada Ukraine, kata Psaki.
Siap Sedia Rundingan Di Sempadan Ukraine-Belarus
Dalam pada itu, pejabat Presiden Ukraine memaklumkan, rundingan tanpa prasyarat dengan Moscow akan dilakukan di sempadan Ukraine-Belarus, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 27 Februari 2022.
Perang yang tercetus sejak lima hari lalu menyebabkan pelbagai pihak sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, terutamanya Barat yang bimbang sektor ekonomi, strategi politik dan korporat mereka akan terjejas.
Sebanyak 27 negara Kesatuan Eropah buat pertama kali juga bersetuju untuk membekalkan senjata kepada Ukraine.
Eropah Bekal Senjata Ke Ukraine
PARIS: Banyak negara termasuk Sweden yang berkecuali, mula menghantar tentera serta bantuan kemanusiaan ke Ukraine, sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari 2022/Khamis lalu.
Amerika Syarikat (AS), Kanada dan 19 negara Eropah ketika ini sudah bertindak terhadap rayuan Ukraine, bagi mendapat bantuan peralatan tentera, lapor AFP.
Pada 26 Februari 2022/Sabtu lalu, Washington mengatakan sudah menghantar bantuan ketenteraan tambahan berjumlah AS$350 juta (RM1.47 bilion) kepada Kyiv, sekali gus menjadikan jumlah sokongannya kepada lebih satu bilion dolar sepanjang tahun lalu.
"Penghantaran ini termasuk bantuan pertahanan membunuh musuh bagi membantu Ukraine menghadapi serangan perisai, udara dan lain-lain yang sedang dihadapinya," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Pada 27 Februari 2022, Blinken mengumumkan AS$54 juta (RM226.8 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan baharu untuk dibelanjakan melalui badan bukan kerajaan (NGO).
Kanada pula menghantar senjata ketenteraan berbahaya ke Ukraine dan meminjamkan Kyiv setengah bilion dolar Kanada (AS$394 juta) untuk membantunya mempertahan diri.
Berlin melanggar pantang sekian lamanya untuk tidak mengeksport senjata ke zon konflik menerusi ikrar, membekalkan Ukraine 1,000 senjata antikereta kebal, 500 roket darat ke udara Stinger dan sembilan howitzer.
Jerman juga menyumbangkan 14 kenderaan perisai dan 10,000 tan bahan api.
Stockholm juga melanggar pendirian tidak berpihak (neutral) dengan menghantar 5,000 roket antikereta kebal ke Ukraine serta peralatan perang lain.
Ini kali pertama Sweden menghantar senjata ke negara dalam konflik bersenjata, sejak Kesatuan Soviet menyerang negara jiran Finland pada 1939.
Perancis yang sebelum ini menghantar bantuan, menghantar lebih banyak peralatan ketenteraan serta bahan api.
Paris berkata, mereka bertindak atas permintaan Ukraine sebelum ini, untuk pertahanan antipesawat dan senjata digital.
Belgium pula mengatakan pihaknya akan membekalkan Ukraine dengan 3,000 lagi senapang automatik dan 200 senjata antikereta kebal serta 3,800 tan bahan api.
Kementerian Pertahanan Belanda, berkata negaranya menghantar 200 pelancar roket Stinger, selepas menghantar senapang sniper dan topi keselamatan.
Ia memberi tambahan 20 juta euro (AS$ 22 juta atau RM92.4 juta) bantuan kemanusiaan yang sudah dijanjikan.
Prague pula akan menghantar 4,000 bom mortar serta 30,000 pistol, 7,000 senapang, 3,000 mesingan serta sejumlah raifal penembak tepat dan sejuta peluru.
Republik Czech pula berjanji membekalkan Kyiv 4,000 bom mortar bernilai 1.5 juta euro atau AS$1.6 juta (RM6.72 juta) yang belum dihantar.
Rom pula menghantar 110 juta euro (AS$123 juta atau RM516.6 juta) sebagai bantuan segera kepada kerajaan Ukraine seperti dimaklumkan Menteri Luarnya Luigi Di Maio menerusi twitter.
Portugal memberikan Ukraine peralatan cermin mata malam, jaket kalis peluru, topi keledar, bom tangan, peluru dan senapang automatik G3.
Greece yang mempunyai rakyat di Ukraine menghantar peralatan pertahanan serta bantuan kemanusiaan.
Bucharest yang berkongsi sempadan dengan Ukraine pula menawarkan untuk merawat mangsa yang cedera di 11 hospital tenteranya serta menghantar bahan api, jaket kalis peluru, topi keledar dan peralatan ketenteraan lain yang bernilai tiga juta euro (AS$3.3 juta atau RM13.86 juta).
Madrid turut berjanji untuk menghantar 20 tan bantuan ke Ukraine, kebanyakannya peralatan perubatan dan pertahanan seperti jaket kalis peluru.
Israel berkata, pihaknya akan menghantar 100 tan bantuan kemanusiaan seperti peralatan perubatan, penapis air, khemah dan beg tidur.