Banjir Besar Landa Eropah, Hampir 130 Maut

   Foto Sumber: World Meteorological Organization

GLOBAL | Banjir besar melanda Eropah memusnahkan perkampungan serta mengorbankan sekurang-kurang 128 nyawa, kebanyakannya di barat Jerman yang menyaksikan pasukan perkhidmatan kecemasan terus giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada 16 Julai 2021.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 17 Julai 2021 melaporkan penduduk terjejas langsung tidak menjangka bencana alam seburuk itu yang dipanggil sebagai 'banjir kematian' oleh akhbar Jerman, Bild.

Jalanan serta deretan rumah ditenggelami banjir di beberapa kawasan, selain kenderaan dilihat terbalik dan tersadai, manakala sesetengah daerah terputus hubungan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri Rheinland-Palatinate, Roger Lewentz, memberitahu Bild bahawa angka kematian dijangka meningkat dengan perkhidmatan kecemasan masih meneruskan operasi SAR di lokasi bencana.

"Apabila melakukan pencarian atau mengepam air keluar, kami banyak menemui mangsa yang terkorban akibat banjir ini," katanya.

Lima lagi mayat ditemui di negeri itu, petang semalam, menjadikan angka korban di seluruh negara meningkat kepada 108 orang, setakat ini.

Malah, sejumlah mangsa dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di bandar Erftstadt, Rhine-Westphalia Utara, yang tercetus rentetan banjir.

Di Belgium, kerajaan mengesahkan angka kematian telah mencecah 20 mangsa - laporan terdahulu menyatakan 23 terkorban - dengan lebih 21,000 orang terputus bekalan elektrik di sebuah wilayah.

Sambil menyifatkan banjir berkenaan sebagai 'mungkin malapetaka paling dahsyat pernah melanda negara itu', Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, mengisytiharkan Selasa sebagai hari berkabung kebangsaan.

Luxembourg dan Belanda turut dilanda hujan lebat, sekali gus menenggelamkan banyak kawasan sehingga ribuan penduduk terpaksa dipindahkan di bandar Maastricht.

Di daerah terkesan teruk di Jerman, Ahrweiler di Rhineland-Palatinate, beberapa rumah ranap sama sekali yang dilihat seolah-olah keadaan selepas dilanda tsunami.

Selain itu, sekurang-kurang 24 mangsa disahkan maut di Euskirchen, iaitu antara daerah paling teruk terjejas.

Di Ahrweiler, kira-kira 1,300 orang dilaporkan masih hilang berikutan tidak dapat dihubungi, walaupun pihak berkuasa tempatan memberitahu Bild bahawa ia berkemungkinan disebabkan talian telefon terjejas akibat banjir.

Bercakap kepada media tempatan, Lewentz memaklumkan bahawa 60 orang dipercayai masih hilang.

Ketua Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan dan Bandar Jerman, Gerd Landsberg, berkata jumlah kerosakan akibat banjir kali ini dijangka mencecah kos berbilion euro.

Di Belgium, tentera dikerah ke empat wilayah bagi membantu operasi SAR dan usaha memindahkan penduduk ke kawasan lain.

Presiden Wallonia, Elio Di Rupo, pula memberi amaran mengenai limpahan air Sungai Meuse yang dilihat sangat membahayakan bandar berdekatan, Liege dengan kira-kira 200,000 penduduk.

Di Switzerland, paras air tasik dan sungai turut meningkat susulan hujan lebat sepanjang malam.

Malah, air Tasik Lucerne sudah mula melimpah serta membanjiri kawasan di sekitar pusat bandar Lucerne.

Sesetengah kawasan di barat Eropah dilanda hujan lebat bersamaan taburan dua bulan, dalam tempoh hanya dua hari, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia.

Bagaimanapun, banjir di beberapa kawasan dilaporkan semakin pulih apabila paras air mulai surut, pada 16 Julai 2021. 

Sumber: AFP/ 17 Julai 2021

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...