Singgang, Kari Tidak Boleh Rawat COVID-19 - Pakar

Foto: MSTAR


KUALA NERUS: Menu ikan singgang dan kari tidak boleh merawat COVID-19.

Demikian ditegaskan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berikutan penularan pelbagai dakwaan berkaitan menu yang didakwa boleh mengubati COVID-19.

Beliau berkata bukan sahaja menu ikan singgang tetapi kari juga antara menu yang kini tular kononnya mempunyai potensi merawat COVID-19 itu.

“Ikan singgang didakwa mempunyai potensi merawat COVID-19 kerana alasan mengandungi bahan tertentu seperti kunyit dan lengkuas yang boleh melawan mikrob.

“Menu kari pula didakwa berkhasiat dan mampu mencegah dan merawat COVID-19 kerana penduduk di India yang suka makan kari setakat ini tiada kes dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Forum COVID-19 antara Spekulasi dan Realiti di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Turut hadir dan menjadi panel pada forum itu, Pakar Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Darisah Lah dan Pengarah Pusat Kesihatan UMT Dr Arnie A Rahim.

Dr Sazaly berkata, virus SARS Coronavirus Dua itu masih baru oleh itu tiada sebarang kajian dan penyelidikan yang dibuat ke atas ikan singgang atau kari bagi membuktikan keberkesanan masakan itu melawan penyakit.

“Tiada mana-mana pihak yang pernah atau sedang menjalankan kajian klinikal ke atas menu ikan singgang ke atas COVID-19 itu dan tiada pihak yang boleh mengesahkan dakwaan berkenaan.

“Oleh itu saya meminta supaya menghentikan sebarang maklumat tidak benar berhubung COVID-19 dan memberi tumpuan terhadap langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun, jika suka dan gemarkan ikan singgang atau kari, boleh teruskan untuk makan kerana kedua-duanya memang hidangan yang sedap,” katanya.

Tambahnya, virus SARS Coronavirus Dua itu dijangkiti melalui tiga saluran utama iaitu mata, hidung dan mulut.

“Orang ramai perlu memastikan tangan tidak selalu menyentuh bahagian muka selain kerap mencuci tangan.

“Bagi yang mempunyai tanda penyakit seperti batuk, mereka perlu memakai penutup hidung dan mulut serta mendapat rawatan segera di klinik.

“Semua orang perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan penting bagi mencegah penularan wabak dengan membuat pemeriksaan sekiranya berisiko dijangkiti COVID-19,” katanya.

Menurutnya, penggunaan alat penghawa dingin juga boleh dikurangkan kerana virus SARS Coronavirus Dua gemar pada suhu yang sejuk.

“Bukan tidak boleh menggunakan alat penghawa dingin tetapi pastikan peredaran udara di dalam sesuatu bangunan itu baik dan sentiasa bertukar ganti,” katanya.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...