FOTO: RAM RATING |
Pertumbuhan pembiayaan Islam dijangka berada sekitar 10-11 peratus pada 2019 dengan perbankan Islam masih menerajui pertumbuhan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhan, demikian menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Dalam edisi terkini penerbitan tahunannya, Tinjauan Insurans Perbankan Islam, RAM Ratings berkata perbankan Islam terus berkembang pada kadar lebih pantas berbanding pinjaman konvensional pada 2018, yang mencapai 11 peratus daripada 10.3 peratus pada 2017, sebagai perbandingan kepada pertumbuhan konvensional 3.3 pada 2018.
"Pada akhir Januari 2019, pembiayaan Islam terdiri daripada kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan sistem pinjaman," kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, RAM Ratings berpandangan bahawa pembiayaan Islam mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai sasaran 40 peratus Bank Negara Malaysia (BNM) dalam perkongsian sistem pinjaman keseluruhan menjelang 2020.
"Sementara ia memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai sasaran 40 peratus, industri perbankan Islam jauh dari segi kematangan dan keluasan," kata Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangannya, Wong Yin Ching.
Sementara itu, RAM Ratings mengekalkan tinjauan stabil terhadap sektor perbankan Islam negara, sejajar pandangannya ke atas sistem perbankan domestik secara keseluruhan.
Melangkah ke depan pada 2019, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pembiayaan Islam berlegar pada kadar dua angka, dengan petunjuk kualiti aset tetap berdaya tahan dan menyaksikan permodalan yang kukuh.
RAM Ratings juga menjangkakan sektor itu akan mencatatkan prospek stabil ke atas keuntungan walaupun terdapat sedikit mampatan marjin, menjelang pelaksanaan keperluan nisab pembiayaan stabil bersih (NSFR).
BNM tahun lalu mengumumkan ia merancang untuk melanjutkan tempoh pemerhatian NSFR untuk satu tahun lagi hingga 2020, walaupun bank pusat sebelum ini berhasrat melaksanakan standard kecairan baharu itu seawal 1 Januari 2019.
SUMBER: BERNAMA