Foto Sumber: ThingLink |
EKONOMI & PELABURAN: Ribuan pekerja China dilapor sedang giat menyiapkan kompleks penapisan dan petrokimia dekat sebuah jambatan yang menghubungkan ibu negara ini dengan Pulau Muara Besar, dekat utara Brunei.
Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan sebaik sahaja siap, fasa pertama kompleks bernilai AS$3.4 bilion (RM13.2 bilion) yang dikendalikan syarikat China, Hengyi Group itu akan menjadi projek pelaburan asing terbesar di Brunei dan muncul di saat amat diperlukan negara yang bergantung hasilnya kepada minyak.
Ketika kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat, pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan segera memperbaharui ekonomi negara dan mempelbagaikan sumber pendapatan sambil memerangi rasuah dan mengambil tindakan ke atas pembangkang.
Ketika firma perbankan seperti HSBC dan Citibank berundur dari negara ini tahun lalu dan 2014, Bank of China bagaimanapun mengambil langkah membuka cawangan pertamanya di sini pada Disember 2016.
Projek Muara Besar menjanjikan lebih 10,000 pekerjaan dengan separuh daripada angka itu mungkin diisi graduan baharu namun dakwaan ribuan pekerja China dihantar bagi membina kompleks itu mengakibatkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Tiada kerja untuk kami jadi mengapa wujudkan peluang pekerjaan untuk warga China?” soal seorang peniaga di sini.
Dalam pada itu, Hengyi Industries, syarikat tempatan yang membina pusat penapisan berkenaan yang dijangka siap penghujung tahun ini bagaimanapun tidak memberikan komen ketika ditanya mengenai isu berkenaan.
Menurut kenyataan syarikat, fasa kedua kompleks itu bernilai AS$12 bilion (RM46.8 bilion) akan mengembangkan kapasiti penapisan pusat berkenaan kepada 281,150 tong sehari selain membina unit untuk menghasilkan sebanyak 1.5 juta tan setahun ethylene dan dua juta setahun paraxylene.
Ketika ini, jumlah pelaburan keseluruhan China di Brunei dianggarkan bernilai AS$4.1 bilion (RM15.9 bilion) ketika China meningkatkan inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) negara itu.
Digelar sebagai Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, dasar itu dijangka menghubungkan China dengan Asia Tenggara, Afrika dan Eurasia menerusi rangkaian kompleks pelabuhan, jalan raya, kereta api dan taman perindustrian.
“Brunei merupakan sebuah negara penting sepanjang Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21,” kata Duta China ke Brunei, Yang Jian dalam satu kenyataan pada Februari tahun lalu.
Pelaburan Amerika Syarikat (AS) di Brunei hanya berjumlah AS$116 juta (RM452 juta) pada 2012, manakala China melabur kira-kira AS$205 bilion (RM799 bilion) di Asia Timur antara 2010-2017.
SUMBER: REUTERS