PHOTO BY: NASA |
GLOBAL: Satelit risikan milik Amerika Syarikat (AS) yang dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida pada 7 Janurari 2018 dilaporkan gagal memasuki orbit seperti disasarkan sebelum ini.
Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan lebih malang, satelit itu dikatakan turut musnah, lapor dua pegawai AS berhubung misi yang dikenali sebagai Zuma itu.
Terdahulu, satelit yang dibangunkan oleh Northrop Grumman Corp. itu tidak dapat memasuki peringkat kedua selepas gagal dipisahkan daripada roket Falcon 9 milik syarikat aeroangkasa, SpaceX.
Satelit terbabit dipercayai rosak atau telah terjunam ke dalam laut, jelas mereka.
Difahamkan, laporan mengenai kemusnahan satelit itu pada mulanya diterbitkan oleh Wall Street Journal.
Ketika ini, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kedua-dua pegawai tersebut turut menolak kegagalan misi itu berpunca daripada perbuatan sabotaj atau campur tangan asing.
Dalam pada itu, jurucakap SpaceX, James Gleeson memberitahu, pihaknya tidak dapat mengulas mengenai misi berkenaan namun semakan terhadap data mendapati, roket Falcon 9 berfungsi secara nominal.
SpaceX atau syarikat Space Exploration Technologies Corp. yang diketuai usahawan, Elon Musk melancarkan satelit pertama mereka bersama roket Falcon 9 untuk tentera AS pada bulan Mei tahun lepas.
SUMBER: REUTERS