Keris Tamingsari : Apakah Ini Keris Sebenar ?


KERIS Taming Sari   dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah  di Kuala Kangsar selama enam hari bermula semalam sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-83.

KUALA KANGSAR: Muzium Perak menolak dakwaan mengatakan Keris Taming Sari iaitu satu daripada alat kebesaran Diraja Perak yang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, di sini, adalah palsu atau replika.

Pengarah Muzium Perak yang juga pengurus galeri berkenaan, Nor Janati Ibrahim, berkata pihaknya sering menerima dakwaan sedemikian berikutan ada di kalangan pengunjung meragui keaslian keris itu.

“Keris Taming Sari dipamerkan di galeri ini adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.

Nor Janati berkata, mengenai ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak berkaitan, tetapi yang penting Muzium Perak tetap mengatakan Keris Taming Sari ialah satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

“Justeru, Muzium Perak dengan perkenan Tuanku (Sultan Perak) mengadakan pameran Keris Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah selama enam hari bermula hari ini (semalam) sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-83.

“Ia bertujuan memberi pendedahan serta gambaran sebenar mengenai keistimewaan keris yang pernah menjadi milik Laksamana Hang Tuah itu,” katanya.

Keris berkenaan yang diseliputi dedaun emas, manakala sarung atau hulunya diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Senjata itu dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan dan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Selain itu, ia juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Dipetik : Berita Harian Online ( 30 Mei 2011)

=======================================

Catatan dibawah dipetik daripada Al Qadry blog berkenaan Keris Tamingsari;

Keris Tamingsari adalah salah satu dari keris yang pernah dimilikki oleh Panglima Islam Tamingsari yang berkhidmat dan mengabdikan diri kepada kerajaan Majapahit yang bukan islam, beliau ialah seorang ahli pertapaan khusus untuk menuntut ilmu jirim. Keris kepunyaan Empu Sipolan dari perguruan tanah jawa adalah milik peribadi guru Si Tamingsari si Empu Sipolan. Keris ini telah diwariskan kepada anak murid kesayangan Empu Sipolan yakni Si Tamingsari supaya dijaga dan dipelihara oleh Tamingsari . Keris tersebut mengandungi hikmah kekuatan untuk dibawa berperang seperti kebanyakkan keris keris lain yang boleh mengebalkan tubuh dari dapat dicederakan oleh senjata besi dan lain lain.


Keris Tamingsari telah diwafa'kan dengan cara sulit untuk diisi dengan khadam jin perang dari bangsa khadam jin perang yang kebal seperti yang ada pada kebanyakkan batu batu tertentu atau peralatan senjata lain pada zaman dahulu. Senjata ini telah direka khas oleh Empu Sipolan yang menjadi guru Tamingsari dengan pengisian hikmah kebal kulit yang boleh di cubakan pada bila bila masa tanpa menunggu saat kecemasan. Wafa' ini sedikit berbeza dengan wafa' tulisan kertas atau huruf huruf biasa , kesannya tidak hanya sewaktu kecemasan sahaja.


Keris Tamingsari adalah satu satunya senjata yang boleh menyebabkan si pemakainya menjadi kebal dengan merasakan resapan halus dan kebas di seluruh tubuh serta menambahkan kekuatan tubuh untuk bergerak aktif dan tangkas selama berjam jam tanpa henti. Perkara ini tidak dapat diperolehi melalui latihan jasmani kebanyakkan tetapi hanya dapat di perolehi melalui meditasi tertentu yang dapat menyatukan gelombang gelombang tertentu sehingga dapat disatukan ke bilah senjata terpilih.


Keris Tamingsari bukanlah sebuah keris yang dibuat dari besi sehingga ada yang mengkhabarkan diperbuat dari 99 jenis besi termasuk besi yang diambil dari kaabah, seperti sangkaan kita dan saya sendiri sebelum ini.


Sebenarnya keris Tamingsari diperbuat dari 'Teras Kayu Kelor', orang jawa menyebutnya dengan panggilan 'Galeh Kelor'. Pokok 'kelor' sebenarnya menghasilkan buah yang boleh digunakan untuk merawat beberapa penyakit serius tertentu, dan ia amat dikenali oleh kebanyakkan orang jawa dan india mamak, malbari sebagai bahan perubatan tradisional yang sangat penting. Galeh atau Teras kayu ini jika umurnya telah matang dan berpuluhan tahun hidup akan mempunyai teras yang keras dan berbisa jika terkena kulit manusia mahu pun binatang dengan menggunakan beberapa kaedah tertentu. Teras kayu ini berwarna hitam pekat dan sedikit warna kekayuan.


Di kalangan orang jawa, kayu galeh kelor ini ramai yang memilikkinya kerana dipercayai sangat disukai oleh bangsa khadam jin timbulan perang, khadam jin kebal perang dan khadam jin perang yang bersifat kekal selama pemilik masih mengamalkan ritual tertentunya.


Ramai kanuragan dan paranormal yang mengetahui khasiat kayu ini pasti memakainya dijari sebagai cincin kecil berwarna hitam dalam bentuk empat segi tepat. Pemakai biasanya amat merahsiakan jenis dan khasiat batu cincin dari galeh kelor .

Kisah mengenai khasiat dan rahsia kayu teras kelor ini amat dimengerti oleh orang majapahit dan kanuragan serta paranormal dari kepulauan Indonesia. Maka tidak hairanlah jika Empu Si Polan tidak mensia siakan galeh kelornya untuk dijadikan sebilah keris yang menggegarkan Tanah Melayu diakhirnya nanti.

Teras kelor atau galeh kelor mempunyai sejarah mistiknya yang tersendiri. Pernahkah saudara sidang pelawat mendengar lembu lando..? Maka sejarahnya sangat rapat dengan lembu lando dan sekalian isi perut lembu lando. Biar sahabat sahabat kita dari Marang , pewaris kesultanan Demak Bintara memberikan komennya mengenai lembu lando.


Biasanya si pemakai yang diserang oleh musuh , jika dapat membalas balik dengan satu pukulan kepada penyerangnya dan tepat pada sasaran pasti akan menggelepar dan berbuih mulutnya akibat terkena bisa galeh kelor yang sangat terkenal sebagai senjata pukulan bersarung cincin di jari. Ia menyamai bisanya dengan kekuatan bisa kelabang sayuta yang di pakai oleh pewaris ilmu hitam zaman dahulu. Kayu ini sangat mahal harganya dan jika ada dijual di pasaran sekalipun hanya sebesar kuku jari. Kayu galeh kelor yang sudah matang dan tua amat sukar diperolehi.


Bismillahirrahmaanirrahiim..Dengan Nama Allah Daku menyambung Qalam yang benar. Demi Allah Dan Rasul. Diriku memperjuangkan kebenaran pahlawan Tamingsari yang kembali kepangkuanNya dalam keadaan membenarkan bahawa Allah adalah tuhan yang Esa, Muhammad Adalah PesuruhNya.


Adapun keris Tamingsari itu pula berwarna hitam. Pangkal kerisnya hanya selebar 1 inci setengah. Keris ini panjangnya hanya sejengkal lebih sahaja, tidak kurang daripada itu dan tidak lebih daripada yang demikian sebutnya dan tidak jua ia sama seperti keris yang lain. Oleh itu keris Tamingsari sering tidak kelihatan sewaktu diselit akan dia di pinggang pahlawan.


Keris Tamingsari berwarna hitam mirip seperti warna Keris Tamingsari dalam hayalan M.Nasir cerita Puteri Gunung Ledang. Telah dikhabarkan oleh mereka bahawa Hulu keris dan sarungnya berwarna kekuning kuningan seperti warna kayu jua . Wallaahu a'lam bissawab.


Keris Tamingsari direka oleh Empu Si polan khasnya untuk membocorkan perut panglima panglima yang kebal , dimana mereka memakai khadam jin kebal kebanyakkan. Jika mereka menerima anugerah kekebalan tubuh akibat kersani dibawah kulit dan didarah semula jadinya , maka Keris Tamingsari tidak dapat menembusinya kerana khadamnya lebih tinggi kedudukannya di atas dari khadam jin kebal yang kebanyakkan. Ertinya khadamnya itu lebih kuat.


Adapun dakwa mereka bahawa keris Tamingsari itu telah di buang ke sungai adalah suatu berita yang terkhilaf. Bahawa keris tersebut telah menjadi rebutan di kemudian hari oleh para kerabat di raja sultan sehingga direkakan cerita supaya tidak lagi dicari orang tertentu termasuk askar dari Majapahit yang menginginkan semula keris tersebut. Perintah itu di peroleh dari Patih Gajah Mada yang ternyata bukan islam.


Pada hari Bentara menyerahkan keris Tamingsari kepada Hang Tuah sebagai ucapan terimakasih kerana akhirnya Tamingsari terbunuh juga sebenarnya mereka tidak tahu bahawa keris itu mempunyai pengaruh besar kepada si pemakainya. Adalah bahawa Tamingsari handal sehandalnya serta kebal pula tubuhnya dari senjata, tidak pernah walau sekali beliau membukakan akan segala rahsianya.


Jika sekiranya mereka menyedari perkara ini pasti keris itu akan jadi milik kerajaan Majapahit itu sendiri di atas sifat keluarbiasaannya. Pada waktu itu jarang sekali diketemukan pahlawan yang kebal tubuhnya tidak lut senjata, amat jarang sekali. pada masa itu juga amat sukar menemui senjata kebal. Jika ada sekalipun pasti mulut tidak senang bicara. Khuatir terlalu banyak perampok. Sedangkan keris Nagasasra dan Sabukinten yang dijaga dengan baik sanggup dirompak orang. Nagasasra Sabukinten adalah salah satu keris yang mewarisi ilmu kebal serta mempunyai sinar pancaran cahaya tiga warna yang amat menakutkan jin segala khadam perang.( sesuai dgn nama kawulo gusti) dan (muhibbah) . Ini adalah khabaran dari alam sana.


Keris Tamingsari tidak berapa kelihatan bila diselitkan dipinggang. Kerana saiznya yang lebih kecil dan pendek dibandingkan ia dengan keris pahlawan pahlawan jawa yang lain.


Hang Tuah telah menerima isyarat kerohanian yang dikenal orang sebagai ilmu firasat batin. Dengan pengetahuan itu beliau sendiri dapat mengenal kesaktian keris yang digenggam erat oleh pahlawan islam siTamingsari. Sehinggalah akhirnya Hang Tuah mengkhabarkan perihal keris itu di Melaka. maka ramai yang menginginkannya.


Khadam keris Tamingsari telah kembali ke tempat asalnya semenjak berada di lain negeri. Kini ia keris itu bersemayam di salah sebuah negeri di Tanah Melayu sehingga tahun 2009. Selepas itu dikhabarkan bahawa keris Tamingsari telah dibawa keluar dari simpanannya dan tercicir katanya sehingga tahun ini ia tidak dikembalikan. Begitu menurut khabarnya.


Maka mereka menambah bahawa keris itu sudah tidak akan kembali lagi kecuali mungkin akan ditemukan orang pilihan tuhan , raja segala raja. Mohon Ampun, Sembah patik harap diampun. Bukan hamba berniat tetapi inilah kebenaran yang patik dengar di sebalik awan mahkota yang merinin. Ampun Tuanku.


Keris puaka itu dahulu menjadi buruan raja dan segala panglima. Maka diserahkan kembali oleh Hang Tuah kepada Sultan kerana itulah rahsia agungnya kota Melaka di zaman Tuah. Hang Tuah lalu berkelana membawa diri. Pertemuannya dengan khidir a.s lebih berharga dari keris Tamingsari...

Wallahu a'lam bissawaab.

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...