Rahsia Kekuatan Pejuang Islam







Rahsia Kekuatan Pejuang Islam




Perjuangan Islam telah memakan masa yang panjang sejak zaman Rasulullah saw, bahkan termasuk juga perjuangan para nabi terdahulu. Para pejuang pula telah melalui pelbagai pengalaman serta menghadapi pelbagai jenis rintangan dan musuh sedikit mahupun ramai. Kendatipun, musuh-musuh Islam sering kehairanan melihat ketahanan dan asas kekuatan pejuang-pejuang Islam. Dalam banyak medan peperangan, musuh Islam jauh lebih ramai dan mempunyai kelengkapan yang tidak setanding. Namun, bukan sahaja pejuang-pejuang Islam itu tidak gentar atau undur, bahkan kerap kali pula mereka berjaya mengalahkan musuh.

Kekuatan Islam dan perjuangan sebenarnya tidak langsung bergantung kepada jumlah (kuantiti) dan kelengkapan. Dalam hubungan ini, Allah swt berfirman dalam ayat 11, surah al-Ra’d, maksudnya: “Sesungguhnya Allah swt tidak akan mengubah apa yang ada (nasib) pada sesuatu kaum, sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka...[11]”

Rahsia kekuatan itu sebenarnya wujud di dalam diri pejuang-pejuang itu sendiri iaitu:

1: Menjadikan Aqidah Sebagai Asas

Asas ini merupakan faktor utama kekuatan Islam iaitu keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Kepercayaan yang jitu terhadap Tuhan yangsebenar dan wujudnya hari pembalasan menyebabkan pejuang-pejuang Islam tidak terikat dengan masalah dunia atau takutkan mati untuk bertemu Tuhannya. Segala kepayahan dan kekurangan di dunia dianggap sementara dan bila-bila masa Allah boleh memberi atau menariknya kembali.

Keyakinan yang terbina dalam diri pejuang-pejuang bahawa mereka berada di pihak yang benar menjadi alasan yang paling kukuh mengapa mereka perlu berjuang menentang setiap kebatilan. Dalam ayat lain pula, Allah berfirman (surah Ali Imran, ayat 139), maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa hina dan janganlah kame merasa sedih, bahkan kamulah yang lebih tinggi (kedudukannya) sekiranya kamu benar-benar beriman.[139]”
Allah menegaskan kepada pejuang-pejuang bahawa mereka tidak boleh merasa hina dan sedih walaupun dalam keadaan kalah dan lemah kerana asas yang membezakan mereka dengan orang lain adalah keimanan mereka Allah.

2: Melaksanakan Tanggungjawab Jihad

Persoalan jihad adalah persoalan yang amat penting di dalam Islam. Islam mewajibkan umatnya berjihad sepanjang zaman supaya Allah swt memberikan kemuliaan kepada mereka atas kesungguhan mereka mempertahankan dan mengembangkan agama-Nya. Firman Allah swt dalam ayat 95, surah al-Nisa’, maksudnya: “Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan setiap satu (dari dua golongan itu) Allah janjikan balasan baik, dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk dengan ganjaran pahala yang amat besar.[95]”

Rasulullah saw pula bersabda dalam satu hadith qudsi yang bermaksud: “Dari Anas ra katanya Sabda Rasulullah saw: “Allah swt berkata: Seorang mujahid di jalan Allah itu adalah di bawah jaminan-Ku. Sekiranya aku mencabut nyawanya, akan Ku wariskan dia syurga dan sekiranya Aku pulangkan dia (biarkan dia hidup) Aku akan pulangkan dia dengan ganjaran atau harta rampasan perang.”(Riwayat al-Turmudzi)

Kedua-dua nas di atas menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada orang yang berjuang demi Islam. Allah swt menyanjung orang yang berjuang dengan harta dan jiwa raga mereka lalu Dia mengurniakan darjat yang lebih tinggi dari orang lain. Bahkan Allah swt memberikan jaminan kepada pejuang-pejuang sama ada mereka dikurniakan syurga apabila mati atau mendapat pulangan dunia dalam bentuk harta rampasan perang dan lain-lain.

Sebaliknya, apabila tanggungjawab jihad diabaikan maka pelbagai musibah berlaku. Kita telah melihat di dalam sejarah di mana kehancuran yang menimpa umat Islam adalah kerana mereka mangabaikan tanggungjawab agama mereka. Umpamanya di dalam peristiwa serangan tentera Monggol ke atas Baghdad. Kehancuran dan kekalahan umat Islam berpunca dari kelalaian mereka serta berpecah-belahnya negara Islam. Namun, apabila mereka kembali dengan seruan jih, mereka mendapat kekuatan semula. Kerana itulah, Khalifah Abu Bakar dalam ucapannya menyebut (Maksudnya)“Tidaklah suatu kaum itu meninggalkan jihad pada jalan Allah melainkan Allah akan timpakan mereka kehinaan.”

Di dalam peristiwa tadi, merekmenyumbangkan nikmat yangdiberikan oleh Allah dengan slog“wa Islama!” yang bermaksud: ‘marilah menyelamatkan Islam’. Dengan slogan itu, umat Islam telah berjaya mengalahkan tentera Monggol dalam Perang ‘Ain Jalut yang difikirkan satu keajaiban oleh manusia.

3: Mengejar Kemuliaan Sebagai Syuhada

Dalam kebanyakan peperangan, tentera musuh Islam sering merasai kelainan pada tentera Islam. Kelainan itu terletak pada kesungguhan mereka berperang menghadapi musuh tanpa mengambil kira soal keselamatan diri mereka sendiri. Kenyataan ini jelas sekali disebut oleh utusan tentera Muqauqis selepas bertemu dengan tentera Islam yang diketuai oleh ‘Amru bin al-’Ash: “Kami melihat satu kaum yang mencintai maut lebih dari hidup. Mereka lebih suka merendah diri dari meninggi diri. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang suka kepada habuan dunia.”

Konsep mati syahid sebagai satu penghormatan dari agama dan penghargaan dari Tuhan menjadi nadi keberanian tentera Islam. Penganut agama Nasrani atau Kristian juga berjuang atas nama agama dan kerana inilah tempoh peperangan antara Islam dan Kristian dalam Perang Salib memakan masa yang lama iaitu selama 192 tahun. Konsep ini tidak ada pada musuh Islam yang tidak meletakkan kepercayaan keagamaan sebagai asas mereka berjuang.

Walaupun ia wujud pada kepercayaan Kristian, Yahudi dan Hindu, namun Islam mempunyai kelainan dan tersendiri. Kelainan itu adalah kerana berbezanya pegangan aqidah mereka dan kerana kejadian-kejadian yang lalu telah menunjukkan kelebihan orang-orang Islam yang mati syahid secara realiti. Contohnya ada di kalangan mereka yang mati dalam keadaan tersenyum, tubuh badan mereka tidak busuk walaupun sudah lama mati dan tubuh-tubuh mereka disinari cahaya biru pada waktu malam.

Allah swt telah menjanjikan pelbagai kelebihan kepada orang yang mati syahid, antaranya:
Orang yang mati syahid tidak mati di sisi Allah. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah, ayat 154, maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan bahawa sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang mati, bahkan mereka itu orang-orang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.[154]”

Mendapat balasan syurga. Firman Allah swt dalam surah al-Taubah, ayat 111, maksudnya: “Sesungguhnya Allah swt telah membeli dari orang-orang beriman itu jiwa-jiwa mereka dan harta mereka dengan bayaran syurga. Mereka itu berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh...[111]”

Orang yang mati syahid akan teringin untuk berperang lagi kerana melihat kelebihan janji Allah kepada mereka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Dari Anas bin Malik ra dari Rasulullah saw sabdanya: “Tiada seorang pun yang masuk ke syurga ingin kembali ke dunia dan memperolehi segala apa yang ada di bumi kecuali orang yang mati syahid. Dia bercita-cita untuk kembali ke dunia lalu dia berperang sepuluh kali kerana dia melihat kemuliaan (orang yang mati syahid).” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Turmudzi)

Dalam hadith riwayat al-Turmudzi dan Imam Ahmad, Rasulullah saw menyebut enam kelebihan orang yang mati syahid. Hadith itu bermaksud: “Dari al-Miqdam bin Ma’di Karb katanya: Rasulullah saw telah bersabda: “Orang yang mati syahid akan memperoleh enam perkara iaitu diampunkan dosanya ketika ia mula bergerak (untuk berperang) dan dia akan melihat tempatnya di syurga, dibebaskan dari seksa kubur, selamat dari huru-hara Hari Qiamat, kepalanya disarungkan mahkota kehormatan yang dibuat dari yaqut yang lebih baik dari dunia dan seisinya, dikahwinkan dengan pasangan bidadari seramai 72 orang dan dia boleh memberikan syafa’at kepada 70 orang kerabatnya.”

4: Adanya Bantuan Dari Allah

Allah swt tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman tertindas atau dipandang hina oleh manusia tanpa memberikan pertolongan. Bahkan pertolongan Allah-lah yang menjadi penentu kemenangan perjuangan Islam. Allah swt menjanjikan pertolongan kepada hamba-Nya sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Hajj, ayat 40, maksudnya: “Dan pastilah Allah akan menolong sesiapa yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa.[40]”

Selagi Allah tidak menurunkan pertolongan, walaupun jumlah tentera Islam lebih ramai, namun kejayaan belum pasti diperolehi. Unsur pertolongan Allah itu ada beberapa jenis:

Bala tentera malaikat: Dalam banyak peperangan, tentera Islam akan dibantu oleh malaikat yang turut sama berperang membunuh musuh di medan perang. Ini terbukti di dalam Perang Badar dan di dalam peperangan lain yang dilalui oleh umat Islam selepas itu. Firman Allah dalam surah al-Taubah, ayat 26, maksudnya: “Kemudian Allah swt menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman dan Dia menurunkan tentera-tentera yang kamu tidak nampak dan Dia menurunkan bencana ke atas orang-orang kafir. Itulah balasan orang-orang kafir.[26]”

Ketenangan: Allah swt memberikan ketenangan di dalam suasana peperangan supaya tentera Islam dapat bergerak dengan teratur dan tidak tergopoh-gapah. Ini dinyatakan dalam ayat tadi dan juga di dalam ayat 11, surah al-Anfal, maksudnya : “(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu).[11]”

Rasa gerun musuh: Salah satu dari kurniaan Allah yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad saw dan tidak diberikan kepada umat lain adalah rasa gerun musuh terhadap pejuang Islam walaupun mereka belum lagi berhadapan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Dari Jabir bin Abdillah ra bahawa Rasulullah telah bersabda: “Aku diberi 5 perkara yang tidak diberi kepada seorang pun sebelumku (nabi-nabi lain): aku diberi pertolongan dengan rasa gementar musuh dari jarak sebulan perjalanan dan dijadikan untuk seluruh bumi itu tempat sujud (solat) dan suci...” (Riwayat Buhkari)

5: Meletakkan Pergantungan Kepada Allah


Faktor pergantungan kepada Allah dan meletakkan harapan pada-Nya juga adalah faktor kemenangan Islam yang amat penting. Ia adalah natijah dari kemantapan aqidah sebagai asas utamanya. Inilah ciri yang membezakan di antara tentera dan pejuang Islam dengan pihak lawan. Walaupun mereka sama-sama berhadapan dengan masalah, kesukaran, tekanan dan mengorbankan belanja yang besar tetapi umat Islam mengharapkan sesuatu dari Allah swt, tidak seperti pihak lawan.

Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 104, maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa lemah dalam memburu musuh itu. Sekiranya kamu menderita sakit, maka mereka juga menderita sakit sebagaimana kamu menderita, tetapi kamu mengharapkan dari Allah (balasan akhirat) yang tidak mereka harapkan. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.[104]”

Pergantungan dan harapan kepada Allah inilah yang menjadikan orang-orang beriman itu tidak merasa lemah dan dukacita walaupun menghadapi saat kekalahan. Kerana itulah apabila Abu Sufyan menyatakan: “Hari ini adalah balasan hari Badar. Hari-hari itu bergilir dan peperangan adalah ...” Lalu Umar menjawab: “Tidak sama wahai Abu Sufyan. Yang mati dari kalangan kami masuk syurga sedangkan yang mati dari kalangan kamu masuk neraka.”(Riwayat Ahmad)

6: Perasaan ‘Izzah

Rasa bangga dan mulia dengan Islam menyebabkan pejuang-pejuang Islam tidak luntur semangat apabila berhadapan dengan musuh atau sebarang ancaman dalam perjuangan, bahkan ia menghilangkan rasa gerun dan takut terhadap musuh. Sikap padu dan teguh di dalam berjihad adalah merupakan sebahagian dari rasa agung dan mulia. Dalam hubungan ini, al-Syahid Syed Qutb menyatakan dalam Ma’alim Fi al-Thariq: “Perasaan agung dan mulia semestinya menjadi pegangan orang beriman di dalam menghadapi setiap kemungkinan iaitu di dalam menghadapi setiap realiti, setiap nilai dan setiap manusia, perasaan mulia dan agung memegang iman dan nilainya yang mengatasi segala bentuk nilai yang datang dari sumber yang lain.”

Sejarah mencatatkan beberapa peristiwa yang keberanian tentera Islam adalah natijah dari rasa bangga, agung dan mulia kerana Islam. Khalifah Islam Umar bin al-Khattab pernah berkata kepada Abu Ubaidah ketika di dalam perjalanan ke Syam: “Kita dahulu adalah sehina-hina kaum lalu Allah menjadikan kita mulia dengan Isla. Sekiranya kita mencari kedengan perkara yang lain dari apayang Allah muliakan kita dengannya (Islam), kita akan dihina oleh Allah.” (petikan Hayat al-Sahabah)

Di dalam satu riwayat Ibn Kathir (al-Bidayah wa al-Nihayah) tentang peperangan al-Qadisiyah diceritakan bagaimana sikap utusan tentera Islam ketika berhadapan dengan musuh:
Rab’i bin Amir masuk ke dalam bilik pejabat Rustam yang dihias begitu cantik , dengan bantal baldu bersulam dan hamparan permaidani yang indah. Rustam sendiri pula kelihatan memakai pakaian kebesarab bertatah berlian dan mahkota di kepalanya, sambil duduk di atas katil emas, Rab’i masuk dengan berpakaian biasa sahaja, dari kain kasar dan bersenjatakan sebuath perisai. Beliau menunggang kudanya terus ke dalam majlis perjumpaan dengan Rustam itu hingga sampai terus ke hamparan permaidaniu. lalu beliau turun dan mengikat kudanya di tepi bantal dan tilam berlapis itu sambil datang ke hadapan Rustam dengan mebawa senjata dan topi besi. Tetapi pegawai dan pengawal-pengawal Rustam mengherdiknya dan menyuruh beliau meletakkan senjatanya.

Beliau pun membantah: “Bukan aku yang minta datang ke mari, tapi kamulah yang menjemput kami. Kalau kamu beri kebebasan kepadaku membawa senjata bolehlah aku tinggal di sini, kalau tidak biarlah aku pulang sahaja.” Lau Rustam pun mengarahkan pengawalnya supaya membiarkan sahaja beliau membawa senjata seperti yang dimintanya. Lalu beliau pun masuk dan duduk sambil bertongkatkan lembing tajamnya di atas tilam empuk, sampai tembuslah berlubanglah tilam itu. Kemudian Rustam pun bertanya: “Apakah puncanya tuan-tuan datang berperang dengan kami?” Rab’i pun menjawab dengantegas: “Allah telah mengutus kami untuk menarik sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian kepada sesama hamba Tuhan kepada pengabdian kepada Allah sahaja, dari kesempitan dunai kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga dari kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam”

7: Mengejar Kelebihan dan Pengiktirafan Islam

Dalam beberapa keadaan, Islam menawarkan kemuliaan dan pengiktirafan kepada umat Islam yang bersungguh-sungguh berjuang. Para pejuang menjadi bertambah untuk mencapai pengiktirafan yang tidak ditentukan pemiliknya. Antaranya adalah gelaran syahid, penghulu syuhada’ atau panglima yang terbaik. Sabda Rasulullah saw yang bermaksudnya: “Penghulu bagi orang yang mati syahid adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seorang lelaki yang bangun di hadapan seorang pemimpin yang zalim lalu dia menegurnya. Lalu kerana itu dia dibunuh.”(Riwayat al-Hakim dari hadith Jabir)

Berdasarkan hadith di atas, umat Islam akan bersungguh-sungguh menentang mana-mana pemimpin yang zalim kerana melihat keutamaan yang ditawarkan sebagai penghulu syuhada’. Dalam contoh yang lain pula Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Dari Abdullah bin Basyr al-Khath’ami dari bapanya bahawasanya dia mendengar Nabi saw bersabda: “Akan dibuka kota Kostantinople. Maka sebaik-baik penglima adalah panglimanya dan sebaik-baik tentera adalah tentera itu.” Lalu Musalmah bin Abdul Malik memanggil aku lalu bertanya aku. Lalu aku memberitahunya hadith itu, maka dia pun memerangi Kostantinople.” (Riwayat Ahmad)

Hadith ini telah menjadi pendorong kepada umat Islam zaman berzaman berusaha membuka Kota Kostantinople. Di dalam sejarah, umat Islam telah mula berusaha untuk menawan kota ini sejak zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Thalib krw. di bawah pimpinan tentera Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Terdapat banyak percubaan untuk menawan kota ini dicatatkan oleh sejarah dilakukan oleh panglima tentera Islam di zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Abasiyah dan Uthmaniyah termasuk Umar Abdul Aziz dan Harun al-Rasyid kerana merebut gelaran ‘ni’m al-amir dan ni’m al-jaisy.’ Namun, hanya di pada tahun 857 Hijrah bersamaan 1453 Masihi,
Sultan Muhammad al-Fatih, sultan ketujuh dalam kesultanan Empayar Uthmaniyyah Turki, berjaya menawan kota ini dengan izin Allah swt. (Ketika penaklukan ini usianya hanya 24 tahun).

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...