Isnin, 2009 Oktober 12

AMK Selangor Anggap ‘Kemenangan’ UMNO/BN di DUN Bagan Pinang Hanya Menyukarkan Agenda Membanteras Rasuah

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor

Parti Keadilan Selangor

12hb Oktober 2009

AMK Selangor Anggap ‘Kemenangan’ UMNO/BN di DUN Bagan Pinang Hanya Menyukarkan Agenda Membanteras Rasuah

AMK Selangor merasakan keputusan pengundi di Dun Bagan Pinang dengan memilih calon yang telah dibuktikan terlibat dengan rasuah politik hanya akan menyukarkan agenda memerangi rasuah secara konsisten. Namun, AMK Selangor amat ‘menghargai’ dan ‘menerima’ segala keputusan pengundi di Bagan Pinang yang telah membuat ‘pilihan’ mereka sendiri atas prinsip semangat demokrasi dengan sikap terbuka.

AMK Selangor melihat proses perjalanan semasa pilihanraya kecil ini amat mengecewakan. Kejadian pergaduhan,provokasi keterlaluan dan keganasan sewajarnya tidak berlaku. AMK Selangor juga menggesa agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) selepas ini mengambil pendekatan yang lebih professional dan menjadi benteng kepada semangat demokrasi sebenar.

AMK Selangor juga terus mempertikaikan proses undi pos yang sewajarnya diganti dengan sistem yang lebih relevan dan tidak mudah terdedah kepada sebarang unsur manipulasi pihak-pihak tertentu. Pelbagai pihak berterusan mempertikaikan sistem undi pos yang tidak dipercayai ketelusannya dan kebebasan para pengundi pos membuat pilihan.

AMK Selangor juga mendesak agar SPR selepas ini membuat perubahan besar kepada daftar nama para pengundi pos dengan hanya menerima daftar undi pos kepada yang layak dan sesuai sahaja. Kita berharap agar daftar undi pos diteliti dan disemak dengan mengeluarkan senarai nama para pengundi pos yang sudah tidak layak dengan segera sebelum PRU-13. Malahan adalah perlu reformasi sistem undi pos tersebut dilaksanakan dengan segera oleh SPR sebagai badan yang mengendalikan perjalanan pilihanraya yang perlu professional dan tidak perlu menunggu arahan pihak parti pemerintah semasa.

‘Kemenangan’ Tan Sri Isa Samad sebenarnya hanya akan membenarkan ramalan Tun Mahathir Mohammad yang menyatakan sebelum ini ‘kemenangan’ Isa Samad hanya akan menyebabkan Barisan Nasional tumbang dalam PRU-13 kelak. Malahan selepas ini dijangka akan berlaku kejutan besar politik kerajaan Negeri Sembilan yang mempunyai dua individu karektor selaku Menteri Besar dan bekas Menteri Besar dalam satu pentadbiran negeri. Pertembungan sengit ini pasti sukar diduga dan akan menyebabkan nasib malang terus menimpa sepertimana krisis dalaman yang teruk dalam kepimpinan tertinggi MCA dan MIC.

AMK Selangor berharap rakyat kini dapat membuka mata dan hati untuk menilai kredibiliti parti UMNO dan komponennya yang terus tenggelam dengan budaya rasuah politik,skandal moral dan penyelewengan. Jelas kini UMNO dan kompenannya seperti MIC, PPP , Gerakan dan MCA terus bergelut untuk mencari individu pemimpin yang bersih dan amanah untuk memerangi rasuah dan agenda perubahan. Apakah harapan boleh diletakkan kepada pemimpin yang terbukti dan terpalit dengan rasuah dan skandal moral untuk membawa perubahan besar dan memerangi rasuah sehingga ke akar umbi?.

Indeks Rasuah Malaysia yang terus jatuh merudum saban tahun menyebabkan pandangan dunia dan pelabur asing semakin negatif. Ianya menyebabkan pelabur asing semakin ragu-ragu untuk melabur di negara ini. AMK Selangor amat komited dan konsisten untuk memastikan agenda memerangi rasuah ini terus dipikul oleh semua pihak di negara ini tanpa mengira perbezaan pegangan politik. Justeru itu, AMK Selangor menggesa agar rakyat menilai sejarah kejatuhan tamadun-tamadun besar dunia dahulu yang disebabkan oleh jenayah rasuah yang membiak-biak,penyelewengan wang rakyat menjadi-jadi dan skandal akhlak yang menjijikkan.

Justeru, AMK Selangor menggesa semua pihak dan rakyat seluruhnya terus komited memerangi rasuah dan pengamalnya. Sudah tiba masanya agenda memerangi rasuah ini digembeling oleh semua pihak dengan lebih bersungguh-sungguh dan konsisten. AMK Selangor berharap indeks rasuah negara ini dapat diperbaiki semoga keberkatan daripada usaha ini dapat membawa negara menuju menjadi negara maju dan hebat dalam ertikata sebenarnya.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor

AMK Selangor Cadangkan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor Sebagai Tahun ‘Bajet Untuk Generasi Muda’

Kenyataan Media

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

09hb Oktober 2009

AMK Selangor Cadangkan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor Sebagai Tahun ‘Bajet Untuk Generasi Muda’

Angkatan Muda Keadilan Selangor mengutarakan cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor sempena Bajet 2010 ini untuk terus komited dan memberi fokus khas kepada generasi muda di negeri ini. AMK Selangor berharap Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor memberikan penekanan khusus dan pemerkasaan generasi muda kerana jumlah populasi generasi muda adalah dalam lingkungan 45% daripada jumlah penduduk Selangor keseluruhannya.

Penekanan perlu difokuskan kepada aspek pembangunan insan dan usaha giat menjadikan generasi muda di Selangor sebagai contoh dan role-model kecemerlangan kepada generasi muda di negara ini. AMK Selangor mohon mencadangkan kepada kerajaan Negeri Selangor menaikkan peruntukan untuk dikhususkan kepada pembangunan keseluruhan generasi muda Selangor dalam Bajet 2010.

Justeru, AMK Selangor mencadangkan 3 agenda khusus untuk memperkasakan pembangunan insan,akal budi, sukan dan ekonomi generasi muda di Selangor dalam Bajet 2010 ini .

Pertama : Agenda Memperkasakan Kepimpinan, Sahsiah Dan Ilmu Generasi Muda.

AMK Selangor mohon mencadangkan agar diberi satu peruntukan khas yang akan diguna pakai untuk program-program pembangunan sahsiah, kepimpinan dan pemerkasaan ilmu generasi muda. Justeru dengan adanya peruntukan khas ini maka segala aktiviti untuk memantapkan program kepimpinan dan sahsiah dapat dijalankan dan dirancakkan. Malahan pertubuhan belia dan NGO dapat memperhebatkan program khusus untuk melatih generasi muda Selangor dalam soal kepimpinan,professionalisme dan pemerkasaan akal dan budi.

AMK Selangor memandang dengan penuh serius dan prihatin kepada cabaran gejala sosial generasi muda yang semakin meningkat dan membimbangkan. Peningkatan kes-kes jenayah dan salah laku moral generasi muda timbul akibat faktor dalaman dan luaran yang semakin hebat. Maka, dengan adanya program-program khusus yang melibatkan generasi muda dalam satu program khas dan agenda tersusun kerajaan Negeri bersama-sama NGO dan pihak-pihak lain gejala membimbangkan ini boleh atasi.

AMK Selangor mencadangkan agar sekurang-kurangnya 100,000 orang generasi muda Selangor mengikuti sekurang-kurang satu program khas yang dijalankan dengan modul-modul yang mantap dan berkualiti untuk 2010 ini. Para peserta yang telah mengikuti program khas ini akan terus dipantau prestasinya dan tidak dibiarkan terkapai-kapai selepas mengikuti program.

Kedua : Agenda Memperhebat Pencapaian Kesukanan, Aktiviti Riadah dan Kesihatan Negeri Selangor.

Sejajar untuk melahirkan generasi muda yang sihat,cergas dan bertenaga maka aktiviti riadah dan kesukanan perlu diperhebatkan. Pencapaian sukan generasi muda Selangor perlu ke hadapan untuk menyediakan atlit sehingga ke sukan Olimpik. Pasukan bola sepak yang sinonim sebagai satu kebanggaan pencapaian hebat sukan bola sepak negeri Selangor perlu melahirkan pemain dikalangan anak tempatan untuk dicungkil dan digilap sehingga bertaraf antarabangsa.

AMK Selangor mencadangkan satu peruntukan khas kepada aktiviti riadah dan kesukanan ditingkatkan dan disampaikan dana ini untuk digunakan sehingga ke akar umbi. Program khusus untuk mencungkil bakat dan menggilap potensi perlu digerakkan dalam melahirkan generasi muda yang bersukan dan beriadah. Ini secara tidak langsung menyediakan satu barisan pelapis generasi muda yang sihat dan mengamalkan riadah. Justeru masalah kesihatan yang disebabkan oleh aktiviti kurangnya mementingkan aspek riadah dapat dikurangkan.

Dalam hal ini, AMK Selangor berharap kerajaan negeri Selangor dapat memikirkan pelan dan rancangan khasnya untuk memudahkan penyertaan generasi muda dalam aktiviti riadah khususnya di kawasan pesat membangun yang semakin kurang kawasan untuk aktiviti riadah dan sukan.Kita tidak mahu melihat segelintir kecil generasi muda mengambil jalan singkat untuk terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram dan rempit sehingga mengorbankan nyawa sendiri dan orang lain. Ini satu kehilangan aset yang cukup besar untuk pembangunan negara dan ummah di masa hadapan.

Ketiga : Agenda Memantapkan Ekonomi Generasi Muda Selangor.

Menyedari cabaran peningkatan kos sara hidup dan kegawatan ekonomi global. Generasi muda turut sama menerima kesan dan tempiasnya. Justeru pelan memantapkan ekonomi generasi muda perlu dimantapkan melalui beberapa pendekatan yang boleh kerajaan negeri laksanakan. AMK Selangor mencadangkan agar program kursus keusahawanan dan bimbingan kejayaan perniagaan perlu dipertingkatkan.

AMK Selangor juga mencadangkan agar dalam Bajet 2010 ini,kerajaan negeri menyediakan geran khas perniagaan untuk memantapkan aspek perniagaan dan aktiviti ekonomi. Malahan pemberian diskaun atau potongan kepada khas kepada generasi muda yang memperbaharui lesen atau permit tapak perniagaan, menyewa premis perniagaan di bawah kerajaan negeri boleh diperhalusi dan dipertimbangkan.Ianya pasti memberikan semangat kepada generasi muda untuk memperkembangkan aktiviti ekonomi seterusnya membantu pertumbuhan pesat ekonomi negeri Selangor. AMK Selangor juga mencadangkan agar syarikat kerajaan negeri Selangor terus memberi bimbingan dan peluang perniagaan kepada generasi muda.

AMK Selangor memohon mencadangkan agar Bajet 2010 ini memberi signifikan kepada generasi muda dengan menjadikannya tahun ‘Bajet 2010 Untuk Generasi Muda. Ianya pasti memberikan pengiktirafan khas kepada generasi muda untuk terus bersama-sama memajukan Selangor menjadi negeri idaman,berkebajikan dan madani. Kita berharap cadangan dan idea ini dapat dipertimbangkan dan diperhalusi oleh semua pihak.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan

AMK Selangor