Isnin, 2009 Julai 27

MALAPETAKA BAGI RAKYAT SELANGOR JIKA UMNO/BN MERAMPAS SELANGOR KEMBALI

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN RAKYAT

28hb JULAI 2009

MALAPETAKA BAGI RAKYAT SELANGOR JIKA UMNO/BN MERAMPAS SELANGOR KEMBALI

Angkatan Muda Keadilan Selangor menganggap misi-misi kotor pihak UMNO/BN untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat adalah merupakan malapetaka untuk rakyat. Rakyat Selangor pastinya tidak mahu igauan ‘penyapu’ sebagai hadiah dan kezaliman yang dilakukan kembali semula mentadbir di negeri Selangor. Pastinya selepas para pengundi bijak memilih Pakatan Rakyat dalam PRU-12 lepas, kini agenda usaha merakyatkan ekonomi Selangor semakin rancak dilaksanakan.

AMK Selangor yakin rakyat Selangor kini amat selesa menikmati kemudahan air percuma 20ml padu yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Salah satu usaha yang langsung tidak pernah diberi kepada rakyat Selangor oleh Kerajaan Barisan Nasional selama 50 tahun. Malah jika kerajaan Barisan Nasional kembali memerintah Selangor maka kita yakin nikmat yang besar ini akan dimansuhkan kerana selama ini jelas kerajaan Barisan Nasional/UMNO berusaha keras menentang usaha murni pemberian air percuma ini kepada semua rakyat Selangor.

Kajian soal selidik yang dijalankan terbaru juga menyaksikan trend rakyat Selangor semakin selesa dan menerima pembaharuan yang dilaksanakan dan digerakkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Usaha pihak-pihak tertentu yang tidak berhenti-henti menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor juga semakin tidak memberikan kesan kepada mereka kerana rakyat Selangor kini semakin bijak dan pintar memahami politik semasa dan gimik politik.

Rakyat Selangor kini juga dapat menilai pendedahan gaya hidup mewah dan boros kepimpinan terdahulu yang semakin terdedah dan terlondeh. Malahan kini rakyat Selangor sudah mengetahui ke mana wang rakyat Selangor habis dibelanjakan yang hanya untuk segelintir individu dengan mempergunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dan kroni. Ini belum diperkirakan dengan pendedahan pelbagai jenis skandal yang kini terpalit kepada kepimpinan kerajaan negeri terdahulu yang jelas mendahulukan kepentingan sempit mereka daripada agenda membangunkan rakyat dalam soal fizikal dan akal budi.

AMK Selangor juga yakin rakyat Selangor kini semakin merasai suasana perubahan semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor. Keyakinan para pelabur luar terhadap iklim ekonomi dan prospek masa hadapan Selangor semakin meningkat dan buktinya para pelabur asing kini berlumba-lumba melabur di Selangor walaupun iklim ekonomi dunia masih tidak menentu dan sukar diramal.

Keyakinan ini pastinya berasaskan kepada sikap ketelusan dan mesra perniagaan kerajaan negeri Selangor terhadap para pelabur asing serta tidak berkompromi dengan sebarang unsur-unsur penyelewengan dan rasuah. Dalam masa lebih 16 bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, suasana dan iklim ekonomi Selangor juga semakin menyakinkan dan memberangsangkan.

Walaupun pihak pembangkang di negeri Selangor ini iaitu UMNO/BN mengasak hebat daripada semua penjuru. Keyakinan rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat tidak berganjak malahan semakin diterima oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Suasana keadilan yang selama ini menjadi harapan baru untuk rakyat Selangor semakin terserlah daripada hari ke sehari.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas MB Selangor terdahulu yang mendakwa misi merampas Selangor adalah misi mudah merupakan satu kenyataan yang angkuh dan takbur. Kenyataan ini jelas cuba menidakkan kebijaksanaan rakyat Selangor yang berani membuat perubahan besar dalam 50 tahun yang merupakan titik tolak kepada penolakkan kepada kerajaan yang rasuah dan mendahulukan kepentingan sempit mereka.

Rakyat Selangor masih belum lupa era pemerintahan terdahulu yang melupakan dan menzalimi rakyat kebanyakan. Bagaimana suasana ketika itu rumah setinggan rakyat dirobohkan dan dimusnahkan. Perobohan rumah-rumah ibadat tanpa belas ehsan. Pemborosan dan pembaziran wang rakyat yang sehingga kini jumlah sebenar belum masih ditaksirkan. Malahan suasana ceramah dan tazkirah di masjid-masjid juga terkongkong dan terhalang akibat perbezaaan sempit politik. Rakus menggondol bukit-bukau yang tidak mengira keseimbangan alam yang menyebabkan berlakunya banjir kilat dan tanah runtuh.

Kini, suasana di masjid-masjid serta surau-surau sudah jauh berbeza. Program-program pengimarahan,ceramah dan tazkirah semakin giat dan rancak. Masyarakat di estet-estet dan kawasan setinggan juga semakin mendapat perhatian dan pembelaan kerajaan negeri. Golongan peniaga di pasar-pasar juga mendapat perhatian sewajarnya. Itu belum lagi diperkirakan dengan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat daripada bayi yang baharu lahir sehingga warga tua dan soal-soal khairat kematian.

Justeru dengan melimpah-limpahnya pembaharuan dan nikmat sebenar yang dikecapi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Adalah mustahil kerajaan UMNO/BN akan mengekalkan program-program kebajikan rakyat yang telah dilaksanakan selama ini. Sudah menjadi tradisi kerajaan UMNO/BN untuk memansuhkan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat walaupun ianya jelas terbukti memberi faedah dan manfaat besar kepada rakyat. Rampasan kuasa di Perak sudah menjelaskan segala-galanya apabila keputusan-keputusan penting dan besar untuk rakyat ditarik balik atau dimansuhkan.

Maka, usaha kerajaan UMNO/BN merampas semula Selangor pada masa akan datang adalah satu malapetaka besar kepada rakyat Selangor sebenarnya. Rakyat Selangor daripada semua peringkat golongan serta bangsa sudah menikmati pembaharuan dan harapan baru yang mereka idam-idamkan selama ini. Ianya satu nikmat yang besar berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat yang berteraskan kebajikan rakyat,ketelusan dan keadilan sejagat.

Akhirnya, AMK Selangor mengulangi pendirian dan keyakinan bahawa rakyat Selangor sudah lama menghumban dalam PRU-12 budaya politik kotor yang dipalit rasuah,penyelewengan dan kezaliman kepada rakyat. AMK Selangor bersama-sama rakyat Selangor kini merasai nikmat dan harapan baru yang dibawa oleh agenda kebajikan rakyat oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Selangor kini adalah Selangor Baharu yang menjadi tempat kediaman dan impian untuk semua agama dan bangsa. Rakyat Selangor kini sudah boleh melupakan dan melupuskan UMNO/BN dalam kamus politik di negeri Selangor.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

Khamis, 2009 Julai 16

AMK SELANGOR DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN BEBAS



KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN SELANGOR

UNTUK EDARAN SEGERA

16hb JULAI 2009

AMK SELANGOR DESAK TUBUH SURUHANJAYA SIASATAN BEBAS

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak sebuah Suruhanjaya Penyiasatan Bebas diwujudkan untuk menyiasat insiden kematian Teo Beng Hock di bangunan Plaza Masalam Shah Alam yang juga menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14. AMK Selangor sehingga kini merasakan pelik dan hairan bagaimana kejadian tragis itu boleh berlaku yang membabitkan secara terus dengan pihak SPRM.

AMK Selangor juga menuntut agar semua pihak media massa melaporkan kejadian ini secara tepat dan tidak disongsangkan daripada fakta kejadian sebenar. Insiden tragis ini menuntut penjelasan kepada pihak SPRM segera. Adalah perlu semua pihak yang ada kaitan dengan insiden hitam ini disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan.

AMK Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Teo Beng Hock dan berharap tabah dan sabar menerima berita insiden yang sepatutnya tidak berlaku. AMK Selangor akan terus menuntut keadilan agar insiden ini mendapat pembelaan dan tidak dipendamkan begitu sahaja.

AMK Selangor berharap semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik,bangsa dan agama bersatu mendesak pihak kerajaan mempercepatkan siasatan kes ini. Jika perlu prosedur penyiasatan SPRM dikaji semula oleh panel bebas untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

Kini, SPRM perlu berhadapan dengan rakyat untuk memberikan penjelasan sebenar serta tidak melindungi mana-mana pegawai SPRM yang akan disiasat. Justeru, AMK berharap Suruhanjaya Penyiasatan Bebas ini dapat merungkai kematian Teo Beng Hock yang penuh misteri dan tanda tanya.

Angkatan Muda Keadilan Selangor

AMK SELANGOR MEMBANTAH TINDAKAN SPRM MENYERBU MASUK PEJABAT EXCO KERAJAAN SELANGOR


KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

PARTI KEADILAN SELANGOR

UNTUK EDARAN SEGERA

16hb Julai 2009

AMK SELANGOR MEMBANTAH TINDAKAN SPRM MENYERBU MASUK PEJABAT EXCO KERAJAAN SELANGOR

Angkatan Muda Keadilan Selangor membantah tindakan terbaru oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu masuk ke pejabat dua pemimpin DAP, termasuk seorang exco kerajaan negeri Selangor.Tindakan ini dibantah oleh AMK Selangor kerana ianya dikhuatiri bermotifkan politik sempit semata-mata dan tidak di atas kapasiti menjalankan tugas secara professional.

AMK Selangor pada dasar dan prinsipnya menyokong untuk mana-mana pihak disiasat dan didakwa dengan penuh keadilan dan secara professional oleh pihak SPRM. Malahan AMK Selangor tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur salah laku rasuah dan penyelewangan kuasa.

AMK Selangor mempersoalkan tindak-tanduk pihak SPRM mutakhir kini yang sewajarnya mempamerkan imej professional sejajar dengan pemerkasaan suruhanjaya tersebut. Malahan sehingga kini SPRM dilihat masih belum lagi memperlihatkan tindakan yang pantas dan tegas terhadap banyak laporan rasuah yang dikemukakan khususnya dalam isu Port Klang Free Zone (PKFZ), soal banglo mahal milik bekas Menteri Besar Selangor yang diragui, jenayah politik wang semasa pemilihan pimpinan UMNO dan pelbagai kes-kes lain yang melibatkan sejumlah wang yang mencecah Ringgit Malaysia berjuta-juta dan berbillion-billion.

Sehubungan dengan itu, AMK Selangor untuk ke sekian kalinya mendesak agar SPRM juga bertindak pantas dan tegas menangani persoalan rasuah dan penyelewangan kuasa yang sudah banyak kali dilaporkan kepada SPRM. Malahan laporan rasuah yang sudah dikemukan oleh pihak AMK terhadap bekas Menteri Besar sehingga kini tanpa sebarang tindakan susulan. Di manakah kewibawaan dan professionalisma SPRM dalam hal ini?.

AMK Selangor menegaskan tindakan SPRM yang bertindak dengan bermotifkan pengaruh politik pihak-pihak tertentu hanya akan mencemarkan imej dan kredibiliti suruhanjaya tersebut pada pandangan rakyat dan dunia antarabangsa. SPRM juga akan dipandang oleh masyarakat awam yang pantas dan tegas bertindak jika ianya daripada kalangan pihak Pakatan Rakyat namun jika ianya melibatkan kalangan daripada UMNO/BN seolah-olah SPRM kaku dan lumpuh dalam segala-segi.

AMK Selangor mencadangkan agar pihak SPRM sewajarnya belajar daripada agensi-agensi anti rasuah antarabangsa seperti ICAC (Independent Commission Against Corruption) Hong Kong yang berjaya menjadikan suruhanjaya bebas anti rasuah negara tersebut disegani dan dipandang tinggi di peringkat global. Lebih mengagumkan ICAC berjaya menjadikan Hong Kong salah sebuah negara antara yang terbersih dalam aspek pembasmian jenayah rasuah di dunia.

Akhirnya, AMK Selangor sekali lagi mendesak agar SPRM tidak dilihat bias dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberi. Sudah tiba masanya SPRM memperlihatkan mutu tugas professional yang adil,pantas dan tegas. Cabaran pembanterasan dan memerangi rasuah di negara ini tidak akan berjaya jika SPRM yang diharap oleh rakyat gagal dan lumpuh untuk menjalankan misi dan tugas sebenarnya.

Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor